Artikel Dakwah

KENALI ANTARA CIRI-CIRI AJARAN SESAT
Penyelewengan akidah melalui ajaran sesat yang menular serta mencengkam lubuk jantung dan minda sebahagian umat Islam dari dulu sehingga ke hari ini, ibarat mencantas lalang hari ini, esok ianya tumbuh subur kembali seolah-olah tiada penghujungnya. Ajaran sesat telah menjadi satu barah yang perlu dibenteras sehingga ke akar umbi dan tidak boleh diberi ruang serta peluang untuk ianya berputik sehingga tumbuh subur seperti cendawan galak selepas hujan di negeri Selangor khususnya dan Malaysia umumnya. Oleh kerana itu, masyarakat perlu diberikan suatu pendedahan  dan kefahaman yang jelas tentang apakah yang dikatakan atau dimaksudkan dengan ajaran sesat serta bahayanya serta ciri-cirinya  kepada umat Islam terutamanya golongan remaja pada masa kini dan tidak terkecuali golongan tua, demi memastikan akidah mereka benar-benar terpelihara dan tidak rapuh dan mudah dirodok oleh kesesatan yang membawa kepada syirik, akhirnya membawa kepada kecelakan dan kerugian di dunia mahupun akhirat. Firman Allah Taala : وَلَقَد أوحِيَ إِلَيكَ وَإِلَى الَّذينَ مِن قَبلِكَ لَئِن أَشرَكتَ لَيَحبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكونَنَّ مِنَ الخٰسِرينَ Bermaksud : “Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi daripada orang-orang yang rugi”. (Az-zumar : 65) Definisi ajaran sesat ialah apa-apa ajaran, fahaman atau amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam atau bukan Islam yang didakwa sebagai ajaran Islam sedangkan hakikatnya bukan dari ajaran Islam, bahkan bertentangan dengan Al-Quran dan Al-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas serta pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah dan telah diputuskan sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor. Ini amat bertentangan sekali dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah sebagaimana yang ditakrifkan oleh mantan Mufti Mesir Syeikh Ali Jumuah yang mana Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah  itu ialah golongan yang mengikuti pegangan Nabi SAW atau mengikuti jalan hidup Baginda SAW, dan jamaah para sahabat terutamanya para khulafa al-Rasyidin mengenai akidah, syariah dan akhlak yang dibawa semenjak zaman Nabi SAW serta para sahabat baginda. Dalam pada itu, masyarakat Islam juga harus cakna dalam mengenali ciri-ciri ajaran sesat supaya tidak mudah diperdaya, dipujuk rayu oleh pemimpin dan pengikut ajaran sesat dan akhirnya terjebak ke dalam lautan neraka kesyirikan. Antara ciri-ciri ajaran sesat tersebut ialah; Mempersenda, Menghina dan Ingkar Kandungan Al-Quran iaitu sama ada sebahagian dari mana-mana ayat Al-Quran atau keseluruhannya atau mengubah, menambah dan meminda serta menafikan keaslian Al-Quran yang sedia ada sebagaimana iktiqad ajaran Syiah dan Qadiani. Mempersenda, Menghina dan Ingkar Syariat baginda Nabi Muhammad SAW iaitu ajaran yang mempersenda atau menghina atau ingkar dan menidakkan syariat yang baginda Nabi SAW bawa, baik secara keseluruhan atau sebahagiannya. Contohnya ajaran agama Bahai, Qadiani, ajaran ayah Pin dan Tuhan Harun. Menyamakan Agama Islam Dengan Agama Lain iaitu tiada bezanya agama Islam dengan agama selain Islam sebagaimana kefahaman liberalisma dan pluralisma yang cuba dipupuk oleh mereka yang berpentingan sama ada melalui medsos mahupun penulisan-penulisan. Mencela Dan Mengkafirkan Isteri-Isteri Serta Para Sahabat Baginda Rasulullah SAW iaitu sebagaimana yang diiktiqad, dilakukan dan disebarluaskan oleh puak-puak Syiah di seluruh dunia. Menyerahkan Diri, Harta, Keluarga dan Membayar Zakat Kepada Ketua Kumpulan Sahaja iaitu memperdaya, memperkuda serta mempergunakan pengikut agar mengumpul dana, menyerahkan semua harta sama ada kereta, rumah, wang ringgit dan sebagainya yang kononnya atas dasar perjuangan, Jihad serta pergorbanan yang suci. Menjadikan Silat Sebagai Wasilah Bagi Mendapat Pengikut iaitu sebagaimana yang pernah diamal oleh pengamal silat Nasrul Haq yang telah diharamkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahu 1987 yang mana ajaran Nasrul Haq telah berselindung dibelakang ayat-ayat suci Al-Quran dan hadis sehingga boleh mengelirukan orang lain tentang perkara-perkara yang ghaib. Mengaku Sebagai Imam Mahdi iaitu merekrut pengikut-pengikut yang ta’sub kepada pemimpin kemudian mengaku sebagai Imam Mahdi atau diangkat oleh pengikut sebagai Imam Mahdi bagi menarik perhatian serta dukungan dalam dan luar negara. Menjadikan Tarekat Tertentu Sebagai Tapak Mencari Pengikut Dan Pengaruh Bagi Mengaburi Mata Masyarakat iaitu sebahagian daripada mereka yang berkepentingan telah mengambil kesempatan menjadikan tarekat sebagai jalan pintas untuk mendapat sokongan pengikut-pengikut yang cetek ilmu agamanya. Mengamalkan Wirid-Wirid Tertentu Untuk Mencapai Maqam Tertentu iaitu sebagaimana yang diamalkan oleh sesetengah tarekat yang sesat seperti tarekat Mufarridiyah yang difatwakan sesat pada tahun 1987. Sepatutnya wirid-wirid yang diamalkan adalah untuk mensucikan jiwa seseorang dari sifat mazmumah kepada seorang yang berjiwa mahmudah dan bukannya untuk menjadi insan suci setelah berwirid sehingga akhirnya meninggalkan syariat. Sumber imej: nasihatdarihati.wordpress.com Kepelbagaian sudut tipu helah sebagaimana ciri-ciri ajaran sesat di atas, yang masih subur, telah banyak memakan korban. Ia telah menyebabkan institusi kekeluargaan hancur, kehidupan bermasyarakat terancam, nilai budaya dan pemikiran umat Islam direnggut kejam kerana kepentingan diri dan kumpulan. Sekiranya perkara ini terus dibiarkan berlarutan, ia pasti akan bingkas bangun menggoncang keselamatan negara kita yang tercinta ini. Maka perlu ada satu mekanisma yang tuntas dalam menyelesaikan isu ajaran sesat ini, mendidik dan membimbing umat Islam, bermula dari bangku sekolah sehingga ke peringkat universiti selain memberikan penerangan berterusan,  menyebarkan ilmu yang sahih dan betul melalui jendela medsos, masjid-masjid serta surau-surau. Ibarat kata cendikiawan melayu kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Tidak cukup dengan itu, semua pihak baik masyarakat dan Majlis Agama Islam setiap negeri serta pihak berwajib lain seperti PDRM, SKMM, MKN dan Jabatan Imigresen Malaysia mesti berkerjasama erat ibarat isi dan kulit, jangan hanya berpeluk tubuh, bagi memastikan ajaran sesat ini dapat dibenteras sehingga ke akar umbi. Ini bagi menyahut seruan Allah Taala melalui firmanNya : وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ Bermaksud : “Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat siksaan-Nya”.  (Al-Maidah: 2) KENALI ANTARA CIRI-CIRI AJARAN SESAT Penyelewengan akidah melalui ajaran sesat yang menular serta mencengkam lubuk… Baca Lagi August 26, 2023 JANGAN PERSENDA KUASA KESULTANAN Sumber imej: Yusof Mat Isa Pengenalan Pilihanraya Negeri akan dilaksanakan… Baca Lagi August 4, 2023 BID’AH: APA YANG RASULULLAH SAW TIDAK BUAT Perbahasan bid’ah seringkali menimbulkan tanggapan negatif dalam masyarakat. Istilah ini… Baca Lagi August 3, 2023 ETIKA PERBOMOHAN @ PENGAMAL PERUBATAN ISLAM Perbomohan merupakan salah satu ikhtiar manusia untuk mencari kesembuhan dan… Baca Lagi July 21, 2023 QURBAN MANIFESTASI KETAATAN KEPADA ALLAH YANG MAHA ESA Pada setiap tanggal 10 Dzulhijjah pada setiap tahun, semua umat… Baca Lagi July 10, 2023
Baca Lagi
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor