FIDYAH
DEFINISI FIDYAH
Fidyah ialah sesuatu yang dibayar untuk menebus diri, baik berbentuk harta atau tindakan lain yang dilakukan kerana kekurangan dalam salah satu amal ibadah.
DALIL PENSYARIATAN FIDYAH
Al-Quran
Firman Allah SWT:
أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ ۚ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ ۚ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Yang bermaksud: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 184)
Al-Hadis
Hadis daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
من مات وعليه صيامُ شهرٍ فليُطعمْ عنه مكانَ كلِّ يومٍ مسكينًا
Yang bermaksud: “Sesiapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadan, hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkannya.” (Riwayat al-Tirmizi)
HIKMAH PENSYARIATAN FIDYAH
a. Sebagai bentuk penebusan terhadap ketidaksempurnaan dalam melakukan sesuatu ibadah yang menyebabkan pelakunya berdosa;
b. Sebagai jalan keluar yang disediakan oleh Islam bagi mereka yang menghadapi masalah dalam melakukan ibadah; dan
c. Sebagai rukhsah (keringanan) bagi mereka yang tidak mampu melaksanakan ibadah secara badaniyyah dengan menggantikannya dalam bentuk maliyyah
HUKUM FIDYAH
Fidyah adalah satu bentuk ibadah niyabah (gantian) yang diberi pahala kepada pelakunya. Hukum membayar fidyah adalah WAJIB. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Dengan membayar fidyah tidak bermaksud mereka tidak perlu lagi menggantikan puasanya kerana puasa tersebut tetap wajib digantikan mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkannya. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.
SEBAB-SEBAB DIKENAKAN FIDYAH
Orang tua yang tidak mampu berpuasa dan jika mereka berpuasa akan memudaratkan dirinya sendiri dan kesihatan tubuh badannya.
Orang yang sakit berpanjangan dan tidak diharapkan boleh sembuh berdasarkan pengesahan doktor perubatan.
Wanita yang bimbang akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Mereka hendaklah membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.
Ibu yang merasa bimbang akan memudaratkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Mereka hendaklah membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.
Musafir dan Pesakit yang tidak menggantikan (qada’) puasa pada tahun ia ditinggalkan wajib menggantikan (qada’). Sekiranya tidak menggantikan (qada’) puasanya sehingga telah memasuki Ramadan berikutnya, ia diwajibkan untuk membayar fidyah dan kekal menggantikan (qada’) puasanya.
Mereka yang melambat-lambatkan ganti (qada’) puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadan) dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.
Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.
TAKSIRAN FIDYAH
(Hari yang ditinggalkan) X (Tahun gandaan) X (1 Cupak) = FIDYAH
KADAR BAYARAN FIDYAH
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-5/2020 yang bersidang pada 17 Rabi’ul Awal 1442H bersamaan 3 November 2020 telah memutuskan bahawa kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah 1/4 daripada zakat fitrah yang dibayar.
Kadar zakat fitrah yang ditetapkan bagi umat Islam di Negeri Selangor pada bulan Ramadan tahun 2023 bersamaan 1445 Hijrah ialah sebanyak RM 7.00 seorang. Penetapan kadar ini adalah berdasarkan kepada harga bagi 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A yang lazimnya digunakan oleh masyarakat di Selangor.
Walau bagaimanapun, MAIS turut menggalakkan golongan yang berkemampuan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan iaitu sebanyak RM 14.00 seorang bagi yang memakan beras putih import/ beras perang/ beras pulut/ herba ponni/ beras wangi. Manakala RM 21.00 seorang bagi individu yang memakan beras basmathi/ beras jepun/ beras merah.
Oleh yang demikian, kadar bayaran fidyah semasa yang ditetapkan adalah RM 1.75 atau RM 3.50 atau RM 5.25. Pihak MAIS juga diharuskan mengambil upah sebanyak 15% tidak termasuk kadar sebenar fidyah bagi tujuan pengurusan. Maka, umat Islam boleh memilih untuk membayar fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan termasuk upah sama ada RM 2.00 atau RM 4.00 atau RM 6.00.
KONSEP GANDAAN BAGI PENENTUAN BAYARAN FIDYAH
Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor Bil.1/2001 pada 16 Januari 2001 telah sebulat suara membuat keputusan bahawa:
Harus menggunakan 2 kaedah:
i. Gandakan fidyah dan kifarah mengikut tahun.
ii. Tidak digandakan kadar pembayaran fidyah dan kafarah.
Oleh yang demikian, apabila seseorang meninggalkan puasa dan tidak menggantikan puasanya pada tahun semasa dan kemudian memasuki bulan Ramadan yang berikutnya, maka adalah digalakkan untuk menggandakan bayaran fidyahnya.
Contoh:
Jika seseorang meninggalkan puasa selama 3 hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga 3 kali bulan Ramadan, maka kiraan fidyahnya ialah:
Tekan pada butang dibawah untuk membuat pengiraan Fidyah puasa bagi orang yang masih hidup atau meninggal dunia.
PROSEDUR MEMBAYAR FIDYAH DI MAIS
Bayaran fidyah boleh dibuat secara atas talian melalui e-MAIS atau di kaunter Baitulmal MAIS atau Baitulmal Daerah yang terdapat di Pejabat Agama Islam Daerah dalam Negeri Selangor secara tunai atau melalui cek/pos berdaftar atas nama MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR.
Hasil bayaran fidyah perlu diserahkan kepada Baitulmal dan akan dimasukkan ke dalam akaun Amanah Harta Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor sebelum urusan pengagihan kepada fakir miskin dalam bentuk beras dan bekalan makanan dilaksanakan.
MAIS LANCAR KALKULATOR FIDYAH PUASA
Kalkulator Fidyah Puasa ialah sebuah platform digital kalkulator yang telah dibangunkan oleh MAIS bagi memudahkan masyarakat Islam untuk membuat pengiraan kadar fidyah sebelum membuat bayaran. Fidyah ialah sesuatu yang dibayar untuk menebus diri, baik berbentuk harta atau tindakan lain yang dilakukan kerana kekurangan dalam salah satu amal ibadah.
Menariknya, Kalkulator Fidyah Puasa ini mempunyai 3 kadar bayaran iaitu RM2.00, RM4.00 dan RM6.00 dan mempunyai kaedah bayaran berganda dan tidak berganda. Masyarakat Islam yang ingin menggunakan Kalkulator Fidyah Puasa boleh melayari laman web MAIS di laman Kalkulator Fidyah.
SEBARANG PERTANYAAN, HUBUNGI KAMI
Sektor Baitulmal
Majlis Agama Islam Selangor
Tingkat 10 Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah
40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Tel: 03-5514 3773 atau 3772 Faks: 03-5512 4042
Email: pro@mais.gov.my