Wang Orang Berhutang

DEFINISI HUTANG

Hutang atau al-qard merujuk kepada penyerahan sesuatu barang atau harta daripada pemiutang kepada penghutang dengan syarat barang tersebut atau sesuatu yang sama nilai dengannya akan digantikan kepada pemilik asal tanpa sebarang penambahan. Orang yang berhutang mempunyai tanggungjawab untuk memulangkan barang yang sama atau serupa dengan apa yang dipinjam tanpa apa-apa tambahan terhadap harta yang dipinjam itu.

DALIL PENSYARIATAN HUTANG

Al-Quran

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنْتُمْ بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُبْ بَيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).” (Surah al-Baqarah: 282)

Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

نفس المؤمن مُعَلّقة بدَيْنِه حتى يُقْضى عنه

Yang bermaksud: “Jiwa seseorang yang beriman tergantung dengan hutangnya sehingga dia melunaskannya.” (Riwayat al-Tirmizi)

HUKUM MEMBERI HUTANG DAN BERHUTANG

Hukum memberi hutang adalah sunat dan sangat digalakkan kerana orang yang memberi hutang akan mendapat ganjaran yang istimewa di sisi Allah SWT. Ia merupakan satu amalan yang mulia jika tujuannya untuk menolong meringankan bebanan orang yang dalam kesusahan dan kesempitan hidup. Bukan dengan tujuan mengambil kesempatan atau faedah daripada orang-orang yang berhutang. Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Yang bermaksud:  “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” (Surah al-Ma’idah: 2)

Hukum berhutang pula adalah harus. Walau bagaimanapun dalam lain-lain perkara, hukum berhutang berubah mengikut keadaan. Jika seseorang itu benar-benar kesuntukan dan memerlukan wang untuk membiayai keluarganya, maka wajib untuk dia berhutang. Manakala hukum berhutang bagi pemberi hutang (pemiutang) adalah berubah mengikut keadaan dalam tiga bentuk iaitu:

1. Haram > Jika pemiutang mengetahui hutang tersebut akan digunakan untuk tujuan yang diharamkan seperti minum arak, judi dan sebagainya;

2. Makruh > Jika pemiutang mengetahui hutang tersebut akan digunakan untuk perkara yang tidak bermanfaat atau menunjuk-nunjuk, ataupun penghutang tahu dia tidak mampu membayar semula hutang tersebut; dan

c. Wajib > Jika pemiutang mengetahui orang yang berhutang amat memerlukan hutang tersebut untuk menampung hidupnya dan keluarganya dan tiada cara lain untuk dia memperolehinya kecuali dengan cara berhutang.

 

TANGGUNGJAWAB PENGHUTANG

Allah SWT memerintahkan agar kita menunaikan amanah. Hutang merupakan amanah yang terpikul di atas bahu penghutang. Firman Allah SWT:

فَإِنْ أَمِنَ بَعْضُكُمْ بَعْضًا فَلْيُؤَدِّ الَّذِي اؤْتُمِنَ أَمَانَتَهُ وَلْيَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ

Yang bermaksud: “Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya.” (Surah al-Baqarah: 283)

Manakala dalam Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah An-Nisa’: 58)

Seseorang yang berhutang hendaklah berniat untuk membayar hutangnya semula. Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

مَن أخَذَ أمْوالَ النَّاسِ يُرِيدُ أداءَها أدَّى اللَّهُ عنْه، ومَن أخَذَ يُرِيدُ إتْلافَها أتْلَفَهُ اللَّهُ

Yang bermaksud: “Sesiapa yang mengambil harta orang lain (berhutang) dengan tujuan untuk membayarnya (mengembalikannya), maka Allah akan tunaikan untuknya. Dan sesiapa yang mengambilnya untuk tujuan tidak melunasinya, maka Allah akan membinasakannya.”  (Riwayat  Bukhari)

Seseorang yang berhutang hendaklah membayar hutangnya dengan baik. Sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ خِيَارَكُمْ أَحْسَنُكُمْ قَضَاءً

Yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik dalam pengembalian (hutang).” (Riwayat al-Bukhari)

ANCAMAN UNTUK ORANG YANG ENGGAN MEMBAYAR HUTANG

1. Mati dalam keadaan berhutang, pahala kebaikannya menjadi ganti.

Seseorang yang mati dalam keadaan hutangnya masih belum dilunaskan dan waris-warisnya tidak melangsaikan melalui harta pusaka si mati, maka pahala kebaikan si mati akan digantikan untuk membayar hutang tersebut. Hadis daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ومن مات وعليه دَينٌ فليسَ ثَمَّ دينارٌ ولا درهمٌ ، ولكنَّها الحسناتُ والسيِّئاتُ

Yang bermaksud: “Sesiapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang, maka di hari Akhirat tidak ada lagi urusan dinar dan dirham, yang ada hanyalah urusan berkaitan pahala kebaikan dan dosa kemaksiatan.” (Riwayat Abu Daud)

2. Urusan orang yang berhutang akan kekal tergantung.

Kewajipan membayar hutang jelas terpikul di bahu orang yang berhutang dan tidak akan terlepas sekalipun. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

نفسُ المؤمنِ مُعلَّقةٌ بدَيْنِه حتَّى يُقضَى دَيْنُه

Yang bermaksud:“Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dia melunaskannya.”(Riwayat At-Tirmidzi)

3. Orang yang berniat untuk tidak mahu melunaskan hutang akan dihukum sebagai pencuri.

Hadis daripada Suhaib bin Sinan ar-Rumi r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أيُّما رجلٍ يَدَّينُ دَينًا وهو مجمعٌ أن لا يوفِّيه إيَّاه لقي اللهَ سارِقًا

Yang bermaksud: “Siapa sahaja yang berhutang lalu berniat untuk tidak mahu melunaskannya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari kiamat) sebagai pencuri.” (Riwayat Ibnu Majah)

4. Orang yang berkemampuan tetapi melengahkan pembayaran hutang dianggap sebagai zalim.

Bagi orang-orang yang berhutang tetapi melengahkan pembayarannya sedangkan dia mampu untuk membayarnya adalah termasuk sebagai orang yang zalim. Ini jelas berdasarkan daripada hadis daripada  Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَطلُ الغنيِّ ظلمٌ

Yang bermaksud: “Penundaan pembayaran hutang oleh orang yang mampu adalah suatu kezaliman.” (Riwayat al-Bukhari)

sasun bughdaryan e11Oa3kvx4c unsplash scaled 1

5. Dosa hutang tidak akan terampun walaupun mati syahid.

Hadis daripada Abdullah bin Amru r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يُغْفَرُ لِلشَّهِيدِ كُلُّ ذَنْبٍ إلَّا الدَّيْنَ

Yang bermaksud: “Diampunkan semua dosa bagi orang yang terkorban mati syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia).” (Riwayat Muslim)

6. Orang yang berhutang tergolong sebagai pendusta.

Orang yang berhutang dan mempunyai niat untuk tidak membayar hutang biasanya akan lebih cenderung untuk berdusta. Ini adalah disebabkan oleh pelbagai alasan yang tidak benar akan diberikan untuk mengelakkan diri daripada membayar hutang. Peringatan yang jelas telah diberikan oleh Rasulullah SAW melalui hadis daripada Aisyah r.a.:

أنَّ رَسولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ كانَ يَدْعُو في الصَّلَاةِ ويقولُ: اللَّهُمَّ إنِّي أعُوذُ بكَ مِنَ المَأْثَمِ والمَغْرَمِ، فَقالَ له قَائِلٌ: ما أكْثَرَ ما تَسْتَعِيذُ يا رَسولَ اللَّهِ مِنَ المَغْرَمِ؟ قالَ: إنَّ الرَّجُلَ إذَا غَرِمَ حَدَّثَ فَكَذَبَ، ووَعَدَ فأخْلَفَ

Yang bermaksud: “Nabi S.A.W biasa berdoa di akhir solat: (Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari berbuat dosa dan banyak hutang).” Lalu ada yang berkata kepada baginda SAW, “Kenapa engkau sering meminta perlindungan dalam masalah hutang?” Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Jika orang yang berhutang apabila dia berkata, dia akan sering berdusta. Jika dia berjanji, dia akan mengingkari.” (Riwayat Al-Bukhari)

TANGGUNGJAWAB WARIS MELUNAS HUTANG SI MATI

Seseorang yang mempunyai hutang kemudian meninggal dunia, hutangnya hendaklah dilangsaikan oleh waris-warisnya atau wasi atau pentadbir yang dilantik melalui harta pusakanya. Ia sebagaimana firman Allah SWT:

مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ

Yang bermaksud: “(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.” (Surah al-Nisa’: 11)

Dari segi pelaksanaan, Rasulullah SAW mendahulukan pembayaran hutang daripada pelaksanaan wasiat berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali r.a. yang bermaksud: “Apabila kamu memerhatikan susunan ayat itu, maka Baginda SAW menetapkan pembayaran hutang si mati didahulukan dari wasiat.” (Riwayat al-Tirmiz)

Menurut Dr. Mohd Zamro Muda dan Almarhum Prof. Madya Mohd Ridzuan Awang dalam Undang-Undang Pusaka Islam,  hikmah didahulukan pembayaran hutang daripada pelaksanaan wasiat ialah hutang tetap menjadi beban kepada orang berhutang sama ada ketika hidup atau sesudah mati. Orang berhutang masih dituntut penghutang dan apabila dia meninggal dunia, menjadi tanggungjawab waris menjelaskan hutang. Manakala wasiat adalah amal kebajikan semata-mata dan tiada kaitan dengan pihak ketiga.

Menurut Jumhur Ulama, hutang terhadap Allah tidak gugur walaupun seseorang itu meninggal dunia. Ia perlu dijelaskan menggunakan harta pusaka si mati walaupun tidak diwasiatkan supaya dijelaskan. Ia termasuklah zakat, fidyah, kafarah dan haji fardu. Mazhab Shafie berpendapat bahawa hutang terhadap Allah perlu didahulukan pembayarannya sebelum hutang sesama manusia.

Jika ada hutang arwah yang bayarannya perlu dijelaskan setiap bulan atau ada hutang yang rumit diselesaikan, waris bertanggungjawab melantik seorang pentadbir yang akan menguruskan hutang sehingga selesai.
Namun, sekiranya si mati tidak meninggalkan sebarang harta atau harta yang dimilikinya tidak mencukupi untuk membayar hutang yang ditinggalkan, maka waris tidak harus untuk membayar hutang-hutang si mati tersebut. Hal ini sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT:

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ

Maksudnya: “Dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).” (Surah al-An’am: 164)

Walaubagaimanapun, sekiranya waris menolong membayar hutang yang ditinggalkan itu, maka ia termasuk sebagai perbuatan ihsan kepada si mati dan semestinya diberikan ganjaran pahala oleh Allah SWT. Sudah pasti perkara tersebut adalah baik kepada si mati dan terlebih baik kepada ahli waris tersebut.

TANGGUNGJAWAB PENGHUTANG MELUNAS HUTANG WALAUPUN PEMIUTANG TELAH MENINGGAL DUNIA

Harta yang ditinggalkan oleh si mati selepas kematiannya akan menjadi milik waris yang ditinggalkan. Ini jelas sepertimana yang dinyatakan di dalam hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW telah bersabda:

مَنْ مَاتَ وَتَرَكَ مَالاً فَمَالُهُ لِمَوَالِي الْعَصَبَةِ

Yang bermaksud: “Sesiapa yang mati dan meninggalkan harta, maka hartanya itu adalah untuk wali asabah.” (Riwayat al-Bukhari)

Dalam pembahagian harta pusaka orang Islam, hutang penghutang terhadap si mati adalah termasuk dalam definisi harta pusaka. Ulama mendefinisikan harta pusaka sebagai semua yang ditinggalkan oleh si mati daripada harta, hak dan manfaat. Hutang adalah harta si mati yang dipinjam dan wajib dikembalikan semula kepada ahli waris sebagai harta pusaka kerana pemilikan si mati sudah beralih kepada para waris.

Dalam hal ini, wajib kepada penghutang untuk membayar hutang tersebut kepada ahli waris si mati kerana hutang tersebut telah menjadi sebahagian daripada harta pusaka. Harta si mati telah beralih pemilikan dengan sendirinya menjadi milik waris sesudah ketiadaan si mati. Oleh itu, hutang tersebut tertakluk kepada pembahagian secara faraid yang telah ditetapkan oleh hukum syarak.

PERANAN BAITULMAL KE ATAS WANG ORANG BERHUTANG

Keghairahan masyarakat berhutang dan kejahilan masyarakat sama ada yang hidup atau waris kepada si mati untuk melunaskan hutang sering mengatasi kehendak syarak terutama dalam perkara yang melibatkan hutang. Sesetengah masyarakat memandang remeh dan enteng akan perihal ini dan sebahagian lagi langsung tidak peduli akan kesan yang akan diterima di akhirat kelak oleh sebab sikap culas mereka.

Hutang pada asalnya hendaklah dibayar kepada pemiutang dalam apa jua keadaan. Namun, kadang-kala berlaku keadaan di mana hutang tidak dapat dibayar kepada pemiutang oleh kerana pemiutang atau warisnya gagal dikesan. Hal ini berlaku oleh kerana hutang yang ditanggung oleh penghutang ditangguhkan pembayarannya untuk satu tempoh jangka masa yang agak lama.

Lantaran itu, Baitulmal mengambil peranan ini untuk merwar-warkan kepada masyarakat khususnya umat Islam supaya sentiasa peka akan perihal hutang masing-masing. Hutang yang melingkari kehidupan perlu dilunaskan sama ada ianya berupa hutang berjadual seperti pinjaman rumah, kenderaan, bank dan seumpamanya atau hutang tidak berjadual seperti meminjam wang daripada rakan atau saudara-mara.

Di bawah Subseksyen 5(4), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, “Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai wasi sesuatu wasiat atau sebagai pentadbir harta pusaka seseorang si mati atau sebagai pemegang amanah mana-mana amanah” dan di bawah Seksyen 81 (2), enakmen yang sama yang memperuntukkan bahawa: “Baitulmal hendaklah terdiri daripada semua wang dan harta, alih atau tak alih, yang menurut Hukum Syarak atau di bawah Enakmen ini atau peraturan-peraturan atau kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya, terakru, atau disumbangkan oleh mana-mana orang, kepada Baitulmal.”

Berdasarkan kepada peruntukan di atas, Baitulmal MAIS telah menerima pandangan daripada Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Sohibus Samahah Dato’ Setia Haji Mohd Tamyes bin Abd Wahid berhubung kedudukan MAIS selaku penerima pembayaran hutang umat Islam.

Beliau menjelaskan bahawa MAIS selaku pemegang amanah harta umat Islam selayaknya menerima pembayaran hutang dengan tujuan untuk menyerahkan harta yang diamanahkan apabila dituntut oleh tuannya. MAIS hendaklah sentiasa membuat hebahan atau penerangan melalui media massa supaya pemiutang atau warisnya dapat menuntut hutang tersebut.  Kedudukan penghutang selepas menyerahkan hutang kepada MAIS adalah ia terlepas daripada tanggungjawab membayar hutang sama seperti pembayar zakat yang telah menyerahkan zakatnya kepada amil.

Oleh kerana itu sebagai sebuah agen tazkiyatul amwal (penyuci harta), MAIS melalui Baitulmal dengan kuasa yang diperuntukkan mampu melaksanakan amanah umat Islam ini ke arah mendidik masyarakat dengan nilai-nilai agama yang kukuh dan mantap.

Walau bagaimanapun, pelunasan hutang kepada MAIS adalah tertakluk kepada hutang-hutang yang gagal disampaikan kepada pemiutang seperti dalam keadaan berikut:
i. Pemiutang dan waris gagal dikesan;

ii. Hutang kepada orang bukan Islam yang tidak dapat dikesan;

iii. Deposit pembantu rumah yang gagal dikesan atau telah pulang ke negara asal;

iv. Pemiutang meninggal dunia dan tiada waris atau warisnya tidak dapat dikesan;

v. Deposit atau pampasan pekerja yang tidak dapat dikesan;

vi. Hasil jualan yang tidak dapat dibayar kepada peniaga;

vii. Hutang di kedai yang telah tidak wujud; atau

viii. Hutang kepada pembekal barangan yang tidak dapat dikesan.

Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kita semua sebagai penghutang untuk menentukan hutang kita sama ada kesemuanya telah dilunaskan ataupun belum. Sekiranya penghutang telah meninggal dunia, kita sebagai waris hendaklah menentukan berapa banyak hutang-piutang peninggalan si mati yang belum sempat dijelaskan.

Kewajipan melunaskan hutang juga terkandung di bawah Subseksyen 13 (1) Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 yang memperuntukkan bahawa, “Pada penentuan pendengaran pemungut hendaklah melalui perintahnya membuat peruntukkan bagi pembayaran dari harta pusaka bagi duti estet, jika ada, dan perbelanjaan pengebumian  dan hutang simati…”

Oleh itu, pihak kami mengajak seluruh umat Islam agar bersungguh-sungguh menyempurnakan pembayaran hutang kepada pemiutang yang memberi pinjaman kepada kita. Jika berlaku keadaan yang menyulitkan iaitu pemiutang atau warisnya nya gagal dikesan, maka serahlah kepada Baitulmal MAIS untuk ditadbir mengikut hukum syarak.

Serahan wang orang berhutang boleh dibuat secara tunai di kaunter Baitulmal ibu pejabat atau di pejabat-pejabat agama Islam daerah dalam negeri Selangor atau cek atas nama “Majlis Agama Islam Selangor” atau pindahan wang melalui sistem e-MAIS.

SEBARANG PERTANYAAN, HUBUNGI KAMI

Sektor Baitulmal
Majlis Agama Islam Selangor
Tingkat 10 Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah
40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan

Tel: 03-5514 3773 atau 3772    Faks: 03-5512 4042
Email: pro@mais.gov.my

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor