Artikel Dakwah

ISLAM DAN VALENTINE
Saban tahun menjelang tanggal 14hb Februari merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh pasangan-pasangan yang sedang dilamun cinta. Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai suatu hari untuk menyerlahkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing. Justeru pada 14hb Februari pasangan-pasangan kekasih ini akan mengenakan pakaian-pakaian yang terbaik dan kebiasaannya berwarna merah manakala bunga ros yang berwarna merah menjadi sinonim dalam bertukar-tukar hadiah. Pasangan-pasangan kekasih ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah perbuatan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka. Boleh dikatakan saban tahun juga para ulamak memperingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Valentine namun masih ramai yang tetap menyambutnya juga. Sebagaimana yang telah tertulis di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah dan disepakati oleh generasi umat Islam yang lebih awal bahawa hari kebesaran bagi umat Islam yang disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 67: “Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus.” Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.”  (Riwayat al-Nasa’i) Oleh itu umat Islam hendaklah membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang hanya diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya. Setelah berakhirnya zaman salafussoleh iaitu tiga kurun terbaik bagi umat Islam, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam kalendar umat Islam seperti Mawlid al-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Qur’an dan lain-lain lagi. Namun demikian apa yang menyedihkan apabila umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam malah ianya berasal dari budaya serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah SWT seperti sambutan Hari Halloween dan juga Hari Valentine. Terdapat larangan daripada Baginda SAW untuk meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut. Sepertimana dalam sabdanya: “Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka”. (Riwayat Abu Daud) Justeru itu bagi mereka yang menyambut hari tersebut ditakuti dia tergolong dalam golongan tersebut sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW di atas. Apabila seseorang itu merayakannya bermaksud untuk mengenang kembali peristiwa kematian St. Valentine maka tidak dinafikan lagi bahawa perbuatan tersebut telah menyebabkan pelakunya mengiktiraf ikutan agama tersebut. Walaupun dia tidak bermaksud sedemikian dan menyambut Hari Valentine sekadar untuk bersuka-ria maka dia sebenarnya telah melakukan suatu kemungkaran yang besar kerana sambutan hari tersebut menyerupai perbuatan golongan yang derhaka kepada Allah SWT. Roh perayaaan tersebut mempunyai unsur-unsur ikutan dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat sama ada dari segi akidah, syariah dan akhlak Islamiah adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini kebiasaannya turut diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan, membuang masa dengan berpeleseran ke tempat-tempat yang tak tentu hala malah mencurigakan dan membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal. Tidak dapat dinafikan juga pergaulan bebas ketika sambutan Hari Valentine ini membuka ruang kepada perzinaan sedangkan Allah SWT memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan. Firman-Nya dalam surah al-Isra’ ayat 32: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” Oleh itu, bagi mereka yang mempopularkan sambutan Hari Valentine di negara-negara Islam dan menzahirkan sambutannya sebagai satu perkara yang indah bagi pasangan-pasangan yang ingin membuktikan perasaan cinta mereka. Inilah sebenarnya sikap syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyelubungi perbuatan maksiat agar kelihatan seperti satu perkara yang baik dan diamalkan oleh manusia tanpa rasa berdosa. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. “Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam,” Justeru, pihak berwajib hendaklah mengambil tindakan sewajarnya untuk menghalang budaya golongan yang ingkar kepada Allah ini dari diamalkan oleh umat Islam di Malaysia terutamanya golongan muda. Media Massa sepatutnya dihalang dari mewar-warkan sambutan Hari Valentine. Sebagai gantian media massa perlu digunakan untuk menyebarkan hukum dan kesan buruk dari sambutan Hari Valentine menurut Islam bukan sahaja dari segi akidah malahan dari segi moral dan akhlak. Islam agama yang mementingkan hubungan kasih sayang yang tidak terbatas pada ruang waktu yang tertentu tetapi kasih sayang yang sebenar dizahirkan sepanjang masa dengan disertakan niat yang ikhlas kerana Allah SWT dan membolehkan seseorang itu mendapat ganjaran pahala secara berterusan. Wallahu A’lam ISLAM DAN VALENTINE Saban tahun menjelang tanggal 14hb Februari merupakan hari yang dinanti-nantikan… Baca Lagi February 22, 2024 FAHAMI ANTARA BATAS AGAMA DAN BUDAYA Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai keistimewaan tersendiri dengan rakyatnya… Baca Lagi February 7, 2024 TANGGUNGJAWAB PEMIMPIN MEMELIHARA MAQASID SYARIAH Ketua dan pemimpin negara merupakan khalifah yang memikul amanah dan… Baca Lagi December 19, 2023 MEMULIAKAN PARA SAHABAT NABI SAW Sesungguhnya yang dikatakan Sahabat Rasulullah SAW ialah mereka yang hidup… Baca Lagi December 8, 2023 UMAT TERBAIK Umat yang terbaik adalah umat yang mempunyai dua sifat utama… Baca Lagi November 21, 2023
Baca Lagi
socmed-01
UMAT TERBAIK
Baca Lagi
socmed-03
ISLAM DAN ILMU
Baca Lagi
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor