SHAH ALAM, 17 OKTOBER 2026 – Ijtimak Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor Tahun 2026 telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Auditorium, Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, dengan menghimpunkan seramai 2000 orang Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor. Penganjuran program ini merupakan platform strategik dalam memperkukuh hubungan dan jalinan kerjasama antara pihak berkuasa agama dengan pemegang tauliah, di samping menjadi medium penyampaian dasar, polisi serta perkembangan semasa berkaitan pentadbiran hal ehwal Islam dan pengurusan tauliah mengajar di Negeri Selangor. Program ini turut memberi penekanan terhadap usaha memperkasa profesionalisme, kewibawaan dan integriti Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab menyampaikan ilmu dan dakwah kepada masyarakat berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Antara pengisian utama program ialah sesi Bicara Fatwa bertajuk “Fahaman, Ajaran, Pegangan atau Amalan Salafi Wahabi” yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Profesor Madya Dr. Muhammad Ayman Al-Akiti, Anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor. Sesi ini memberikan pendedahan dan kefahaman berhubung isu-isu berkaitan akidah serta kepentingan memelihara kesucian ajaran Islam daripada fahaman yang bertentangan dengan pegangan yang diterima pakai di Negeri Selangor. Program diteruskan dengan segmen khas Bicara Tauliah bertajuk “Pendakwah Berwibawa: Antara Ilmu, Akhlak dan Hikmah” yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Profesor Dr. Hj. Mohd Izhar Ariff bin Mohd Kashim, Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pengisian ini menekankan kepentingan penguasaan ilmu, penghayatan akhlak serta pendekatan dakwah yang berhikmah sebagai asas pembentukan pendakwah yang berwibawa dan berkesan dalam mendepani cabaran dakwah semasa. Majlis turut diserikan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Amat Dihormati Dato’ Setia Dr. Hj. Anhar bin Hj. Opir, Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tauliah MAIS. Seterusnya, majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Amat Dihormati Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin bin Saidin, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Salah satu agenda penting program ini ialah Pelancaran Pelaksanaan Menyeluruh Rekod Kehadiran Mengajar (RKM) Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor, yang merupakan inisiatif ke arah memperkukuh sistem pengurusan, penyelarasan dan pemantauan aktiviti pengajaran agama Islam di Negeri Selangor. Pelancaran ini turut disusuli dengan penyampaian Kod QR Masjid kepada sembilan (9) orang Pegawai Tadbir Agama Daerah sebagai langkah memperkemas pelaksanaan dan pemantauan rekod kehadiran mengajar secara lebih sistematik dan berkesan. Kemuncak majlis menyaksikan penyampaian Anugerah Tokoh Penghantar Ilmu dan Dakwah Negeri Selangor bagi Kategori Lelaki dan Wanita sebagai manifestasi penghargaan dan pengiktirafan kepada Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor yang telah menunjukkan kecemerlangan, kewibawaan serta sumbangan yang signifikan dalam bidang pengajaran agama Islam dan dakwah. Penganugerahan ini bukan sahaja mengiktiraf jasa dan khidmat bakti tokoh yang terpilih, malah diharap dapat menjadi inspirasi serta dorongan kepada seluruh pemegang tauliah untuk terus istiqamah dalam menyampaikan ilmu, membimbing masyarakat dan memperkasakan syiar Islam di Negeri Selangor. Secara keseluruhannya, penganjuran Ijtimak Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor Tahun 2026 mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam memperkukuh tadbir urus tauliah mengajar, meningkatkan profesionalisme serta memartabatkan peranan pemegang tauliah sebagai penyampai ilmu dan pendakwah yang berintegriti, berwibawa serta berakhlak mulia. Usaha ini diharap dapat terus memperkasa institusi pengajaran agama Islam di Negeri Selangor demi memelihara kesucian agama dan kesejahteraan ummah. #MAISsantuniAnda #MAIS #MenjunjungAmanah