MERDEKA ANUGERAH YANG PERLU DISYUKURI

MERDEKA ANUGERAH YANG PERLU DISYUKURI

01
Sumber imej: Faiz Zaki/Shutterstock

Kemerdekaan merupakan salah satu nikmat Allah yang dianugerahkan kepada manusia. Oleh itu, kita wajib bersyukur atas nikmat Allah itu kerana kita diberi kesempatan menyambut kemerdekaan setiap tahun dalam suasana yang penuh aman, damai dan sejahtera.

Merdeka menurut Kamus Dewan, bermaksud bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan dan sebagainya. Ia juga bermaksud lepas daripada tebusan atau tuntutan serta berdiri sendiri dan tidak bergantung pada yang lain. Dalam bahasa Arab pula, kemerdekaan disebut sebagai ‘استقلال’ iaitu bersendiri dalam memiliki kemuliaan, berdikari dan bangkit daripada penindasan atau melepaskan diri daripada sesuatu ikatan.

Menginsafi akan nikmat kemerdekaan yang dianugerahkan Allah SWT kepada kita dengan pelbagai kekayaan hasil bumi, kemudahan infrastruktur, pendidikan, pekerjaan dan lain-lainnya, maka eloklah kita merenung diri sendiri dan bertanya: Adakah kita telah bersyukur dan dalam waktu yang sama apakah sumbangan kita terhadap agama, bangsa dan negara selepas sekian lama negara kita mencapai kemerdekaan.

Sekiranya kita menyedari akan hakikat kemerdekaan sebagai titik permulaan terhadap kebebasan dalam erti yang sebenar-benarnya, maka sewajarnya kita bersyukur akan nikmat Allah SWT ini sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Maaidah :

Picture 1

Maksudnya: Dan (ingatkanlah mereka wahai Muhammad), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (Yang diberikan) kepada kamu ketika Ia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan Ia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhamba oleh Firaun dan orang-orangnya), dan Ia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat (yang ada pada masa itu)”.

Islam pada hakikatnya ialah agama pembebasan dan kemerdekaan. Kemerdekaan bagi seorang muslim membawa maksud bahawa ia bebas merdeka apabila mengisytiharkan pengabdiannya yang hakiki kepada Allah SWT. Merdekanya manusia daripada syirik kepada hanya mengesakan Allah SWT. Merdekanya manusia daripada menjadi tawanan hawa nafsu kepada pengabdian kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Adz-Zaariyat :

02 3
Sumber imej: ai
Picture 2

Maksudnya : “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

Sejarah membuktikan bahawa pembukaan Islam ke serata pelusuk tanah Arab telah menyaksikan sebuah kelahiran semula dan kebebasan hidup sehingga sifat manusiawi diberi penghormatan tanpa sebarang bentuk penindasan dan kezaliman. Sebagai contoh, bagaimana Salahuddin al-Ayyubi buat pertama kalinya menguasai Baitul Maqdis selepas dikalahkan oleh musuh Islam dan ucapan Sultan Muhammad al-Fateh ketika pembukaan kota Konstantinopel dengan penuh tawaduk dan toleransi serta tasamuh yang amat tinggi. Begitu juga peristiwa pembukaan Kota Mekah yang jika boleh dianggap sebagai satu perjuangan kemerdekaan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dengan toleransi yang amat tinggi dengan mengembalikan hak insani dan kemuliaan manusia.

Justeru, kemerdekaan tanah air juga perlu diisi dengan mengajak seluruh umat kembali kepada kehidupan Islam. Jika sebelum merdeka, penjajah yang mentadbir dan merekalah yang meletakkan peraturan dan undang-undang untuk dipatuhi oleh rakyat tanah jajahannya. Sudah tentunya penjajah akan mengurus dan mentadbir negara ini mengikut undang-undang dan perlembagaan yang mengikut kehendak mereka dan sudah tentu jauh daripada saranan al-Quran dan al-Sunnah.

03
Sumber imej: malaysiakini.com

Kemerdekaan ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai kerana generasi terdahulu yang terdiri daripada para pejuang telah mengorbankan seluruh jiwa dan raga mereka dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air tercinta. Sebagai tanda kesyukuran, kita hendaklah menghargai jasa para pejuang negara dengan memastikan keamanan dan kemakmuran yang dikecapi ini berkekalan. Bagi menterjemahkan rasa syukur ini, kita hendaklah berusaha menjadi ummah yang taat dengan melaksanakan amar ma’ruf dan nahi munkar bagi meraih keberkatan dan pertolongan Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Hajj:

Picture 3

Maksudnya : Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

Mensyukuri nikmat kemerdekaan dan tidak mengkufurinya bererti kita memanfaatkan segala anugerah Allah SWT dengan melakukan kerja-kerja yang bermanfaat dalam melestarikan pembangunan fizikal dan rohani sebagaimana yang dihasratkan dalam gagasan Malaysia Madani. Kestabilan ekonomi, kekayaan hasil bumi dan kebebasan rakyat mencari rezeki di setiap inci muka bumi kita merupakan anugerah Allah SWT dan wajib untuk kita bersyukur.

 Allah SWT berfirman dalam surah Ibrahim :

Picture 4
Sumber imej: http://gerakanpenamalaysia.blogspot.com

Maksudnya : Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.

553
Sumber imej: Mstar

Jelas bahawa bersyukur itu merupakan tugas pertama dan utama bagi mereka yang ingin mematuhi kehendak Allah SWT. Setiap muslim wajib mensyukuri setiap nikmat yang telah diterimanya dari Pencipta-Nya.

Maka, mempertahankan kemerdekaan negara dengan penuh kesyukuran adalah kewajiban kita bersama sebagai rakyat jelata. Sebagai contoh, piagam Madinah yang diasaskan oleh Baginda SAW telah menyebut bahawa semua rakyat jelata hendaklah sama-sama mempertahankan kota Madinah. Di samping itu, membina negara ke arah yang cemerlang dari semua aspek agar kita sentiasa bersama dengan negara maju dan moden serta tidak ketinggalan dalam pelbagai bentuk pembangunan adalah sesuatu yang amat perlu untuk dilakukan.

Di samping itu, adalah perlu untuk kita pamerkan rasa cinta kepada negara yang mesti ditanam sejak kecil lagi kepada anak-anak. Ini menjadikan setiap warganegara sentiasa menghargai tanah tumpah lahirnya yang sudah pasti akan ada perasaan setia kepada negara. Hal ini sudah pasti akan menatijahkan banyak kebaikan dalam kehidupan kita serta perasaan seronok untuk menetap dan berbangga dengan negara kita.

05 beritaharian
Sumber imej: https://assets.bharian.com.my/

Kesimpulannya, kemerdekaan negara yang dinikmati ini adalah anugerah Allah SWT yang wajib disyukuri dan dipelihara. Pelbagai nikmat telah dirasai oleh kita sebagai rakyat hasil daripada kemerdekaan yang dicapai. Ini ditambah lagi dengan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh pemimpin sejak dahulu, makanya kita dapati pelbagai pembangunan dan prasarana untuk keselesaan rakyat telah disediakan sebaiknya untuk memenuhi keperluan rakyat.

Artikel13Poster2

TANGKAL DAN AZIMAT

Sumber imej: Ai Azimat atau tangkal merupakan sesuatu benda yang dipercayai memberikan tuah...

Baca Lagi
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor