PERKAHWINAN YANG DISEMBUNYIKAN
PERKAHWINAN YANG DISEMBUNYIKAN
Perkahwinan adalah satu ikatan melalui akad nikah yang sah demi menghalalkan hubungan antara lelaki dengan perempuan hidup bersama sebagai suami isteri dan melaksanakan hak dan tanggungjawab masing-masing.
Firman Allah SWT dalam surah Al Nur, ayat 32 yang bermaksud:
“Dan kahwinkanlah orang orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang orang yang soleh dari hamba hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat Nya dan limpah kurnia Nya), lagi Maha Mengetahui.”
Ayat ini menjelaskan galakan untuk berkahwin kerana penting dan indahnya alam perkahwinan itu. Namun keindahan ini adakalanya dicemarkan oleh sikap negatif suami atau isteri. Sebuah perkahwinan yang sah mestilah diiktiraf, bukanlah disembunyikan dengan kata lain, mesti direkod dan didaftarkan mengikut undang undang.
Pada masa kini, masih terdapat pihak pihak yang menyembunyikan status perkahwinan. Mereka menyembunyikan daripada pengetahuan wali, keluarga atau isteri kerana kepentingan tertentu. Terdapat banyak sebab mengapa perkara ini boleh berlaku, seperti berkahwin dengan bukan warganegara yang tidak mempunyai rekod diri yang jelas, berkahwin kerana keterlanjuran pasangan, poligami dan sebagainya.
Sesungguhnya agama Islam menuntut supaya perkahwinan itu hendaklah diumumkan kepada keluarga, jiran tetangga, sanak saudara dan sahabat handai dan ianya tidak disembunyikan supaya tidak menimbulkan sebarang fitnah.
Sepertimana dalam sebuah hadis daripada Aisyah Radhiallahuanha berkata bahawa Nabi SAW bersabda:
“Hebahkanlah akan pernikahan.” (HR : Tirmidzi).
Dalam Hadis yang lain daripada Anas bin Malik Radhiallahuanhu beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Buatlah kenduri kahwin (walimah) walaupun hanya dengan seekor kambing biri biri.” (HR : Bukhari).
Berdasarkan rekod pihak berkuasa agama, terdapat banyak kes perkahwinan yang dilaksanakan secara sembunyi atau sindiket, sama ada di dalam atau di luar negara. Perkahwinan ini tidak diusahakan untuk didaftarkan oleh pasangan sehingga ke tahap anak anak pasangan telah dewasa dan ingin berkahwin. Terdapat pihak pihak mendaftarkan perkahwinan setelah keadaan mendesak, akibatnya, pihak Pendaftar perkahwinan di Jabatan Agama Islam didesak dan dimarahi sedangkan kecuaian daripada diri mereka sendiri.
Perkahwinan yang tidak didaftarkan ini boleh memberi banyak impak atau kesan yang buruk kepada diri sendiri, keluarga dan juga masyarakat. Antaranya :
Pertama: Penganiayaan terhadap isteri. Isteri yang kematian suami menghadapi kesukaran menuntut harta pusaka kerana tiada bukti wujudnya pendaftaran perkahwinan, hanya arwah suami yang mengetahui segala urusan dan proses pernikahan sindiket mereka. Keadaan ini menambahkan kesukaran untuk isteri menguruskan pendaftaran secara persendirian demi menuntut hak dalam pusaka arwah suami.
Kedua: Wujud penipuan status diri bagi tujuan kahwin lain. Oleh kerana perkahwinan tidak didaftarkan, status seseorang itu tidak dapat dibuktikan sama ada dia bujang, duda atau telah berkahwin. Akibatnya terdapat kes suami yang berpoligami tanpa kebenaran dan ada juga kes isteri yang mempunyai dua suami.
Ketiga: Penganiayaan terhadap anak anak. Ini kerana anak anak yang dilahirkan hasil perkahwinan tidak berdaftar akan didaftarkan kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negara sebagai anak yang tidak sah taraf.
Keempat: Kecelaruan nasab atau keturunan. Perkahwinan yang tidak didaftarkan boleh menyebabkan berlakunya perkahwinan mahram yang sama seperti pernikahan adik beradik, ibu atau bapa saudara dan sebagainya. Perkara ini akan memberi kesan terhadap perkahwinan tersebut kerana perlu di faraq atau dipisahkan.
Kelima: Kesukaran bagi anak perempuan untuk berkahwin kerana perkahwinan bapanya tidak didaftarkan secara rasmi. Ianya memberi tekanan dan kesukaran kepada anak untuk melengkapkan dokumen permohonan perkahwinan mengikut peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan.
Sanggupkah seorang bapa menganiaya anak-anak hanya kerana keengganan, keegoan dan kelalaian untuk memastikan perkahwinannya diiktiraf?
Sanggupkah seorang suami itu membiarkan nasab keturunannya tidak diiktiraf dari sudut undang-undang hanya kerana enggan mendaftarkan perkahwinan?
Sanggupkah seorang suami itu membiarkan balunya merintih atas kesan buruk yang mereka terima selepas kematiannya?
Adakah seorang suami yakin, nikah yang disembunyikan itu adalah nikah yang sah mengikut syarak? Terdapat kes di mana pihak mahkamah tidak mengesahkan perkahwinan, sedangkan si suami telah meninggal dunia. Persoalannya, apakah hukum hubungan mereka selama ini?
Perbuatan yang mengikat sebuah hubungan dengan akad nikah yang sah tetapi tidak diuruskan untuk didaftarkan mengikut perundangan merupakan satu kezaliman terhadap diri sendiri, isteri dan juga anak-anak. Ia juga menyukarkan pihak-pihak lain yang turut terlibat, seperti pihak Jabatan Agama Islam dari sudut rekod pendaftaran perkahwinan, pihak Jabatan Pendaftaran Negara dari sudut Pendaftaran kelahiran anak serta pihak Jabatan Kehakiman dari sudut penentuan nasab anak dan tuntutan berbangkit dari perkahwinan.
Islam adalah agama yang adil dan melarang berlakunya kezaliman. Termasuklah kezaliman yang berlaku dalam alam perkahwinan. Sanggupkah seorang suami meninggalkan anak anak dan isteri dalam keadaan mereka dizalimi?. Terdapat ayat al Quran dan hadis Rasulullah SAW yang mencela dan melarang perbuatan zalim.
Allah SWT berfirman dalam surat Hud ayat 18:
“Ingatlah, laknat Allah (ditimpakan) atas orang orang yang zalim.”
Jika kita menghayati pesanan dan peringatan Rasulullah SAW tentang pentingnya memperlakukan isteri dengan baik, sudah tentu kehidupan rumah tangga dihiasi dengan keindahan dan syurga dunia bagi setiap pasangan berkahwin.
Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Berbuat baiklah pada para wanita. Kerana wanita diciptakan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok ialah bahagian atasnya. Jika engkau mencuba untuk meluruskannya (dengan kasar), engkau akan mematahkannya. Jika engkau membiarkannya, tetap saja tulang tersebut bengkok. Maka berbuat baiklah pada para wanita.” (HR : Bukhari & Muslim).
Marilah kita sama-sama mengambil beberapa pengajaran untuk dijadikan panduan dalam hidup kita iaitu:
- Umat Islam hendaklah yakin dan sedar bahawa suatu pernikahan antara suami dan isteri itu adalah sunnah Rasulullah SAW dan syariat yang amat dituntut oleh agama.
- Umat Islam perlu mengutamakan maslahat ummah dengan menghebahkan dan mendaftarkan suatu pernikahan itu kerana merupakan tuntutan Islam dan undang-undang negara.
- Setiap muslim hendaklah tahu bahawa pernikahan adalah suatu amanah dan tanggungjawab yang besar daripada Allah SWT.
- Setiap muslim hendaklah berusaha menghindari segala masalah atau fitnah kepada keluarga yang ditinggalkan apabila kematiannya telah sampai kelak.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa ayat 58:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat”.
Justeru, fikir-fikirkanlah akibat dan kesudahannya jika tidak mahu mendatangkan masalah di kemudian hari, jangan fikir seronok hari ini tetapi yang menanggungnya adalah anak-anak yang tidak bersalah. Wallahu A’lam
(Suntingan dari Khutbah JAIS yang dibaca pada 9 Ogos 2024)
Sumber imej: https://medium.com/ Usaha-usaha mengembangkan ajaran Islam pada hari ini...
Sumber imej: https://www.ppsignature.com/ Perkahwinan adalah satu ikatan melalui akad nikah...
Sumber imej: Faiz Zaki/Shutterstock Kemerdekaan merupakan salah satu nikmat Allah...
Sumber imej: Ai Azimat atau tangkal merupakan sesuatu benda yang dipercayai memberikan tuah...
Taubat itu bermaksud kembali daripada apa yang tercela di sisi...