PUASA HANYA MENAHAN LAPAR DAN DAHAGA

PUASA HANYA MENAHAN LAPAR DAN DAHAGA

alarm glass water near fruits

Daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ، وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ[1]

Maksudnya: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang melakukan qiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam”.

[HR : Ibnu Majah]

[1] Muhammad Yazīd bin Mājah al-Qazwinī (m. 273H).  Sunan Ibn Mājah. Damsyik, Beirūt: Dār al-Risālah al- ‘Alamiyyah. 2009M/1430H. Jil. 2. ms. 591 No. 1690.

Dari sudut syarak, maksud puasa itu ialah menahan diri daripada makan, minum dan dari perkara-perkara yang membatalkan puasa. Persoalannya, sejauh manakah kita benar-benar mengamati hakikat sebenar puasa tersebut?

Adakah sekadar menahan lapar dan dahaga? Siapakah orang yang hanya akan mendapat lapar dan dahaga? Kenapakah mereka dihukum sedemikian rupa dan bagaimana pula dengan status puasa mereka? Adakah dikira puasanya sebagai puasa yang sia-sia?

Hakikat Puasa Yang Sebenar Di Sisi Ulama

Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 183 :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu agar kamu bertaqwa”.

teenage girl with praying sunny nature

Allah SWT memfardukan ibadah puasa sebagai salah satu kurniaan sama seperti yang telah difardukan kepada umat terdahulu kerana padanya terdapat syariat-syariat dan perintah-perintah yang menjadi kemaslahatan bagi setiap makhluk sepanjang zaman.

Sheikh as-Sa’di dalam karya tafsirnya [2] telah mentafsirkan frasa ‘agar kamu bertakwa’ iaitu puasa berperanan melatih diri agar sentiasa mengingati Allah dengan meninggalkan apa sahaja yang tunduk kepada hawa nafsu yang gemar melanggar perintah-Nya.

Sifat puasa itu sendiri menyempitkan laluan syaitan untuk menghasut anak Adam dan mengurangkan kehendak syahwat dari melakukan maksiat. Selain itu juga, puasa mendidik manusia agar sentiasa taat kepada Allah.

Maka jelas tafsiran ini menunjukkan bahawa objektif pensyariatan puasa di bulan Ramadhan sebagai satu madrasah yang mampu mendidik jiwa manusia agar kembali kepada fitrah yang sebenar.

Justeru, sesiapa yang melalui Ramadhan dengan penuh ketakwaan dan keimanan nescaya hari rayanya digambarkan dalam bentuk ketaatan, sekali gus menjadikan seseorang itu lebih baik dari yang sebelumnya.

Beliau juga ada menyebutkan bahawa sesungguhnya ibadah puasa itu adalah salah satu sebab terbesar yang membawa kepada taqwa kerana padanya (ibadah puasa) itu sendiri menguji manusia untuk sentiasa melaksanakan perintah-perintah Allah serta menjauhi segala larangan-Nya yakni untuk memelihara puasa tersebut maka harus menjaga hukum-hakam puasa, melazimi perkara-pekara sunat puasa serta menjauhi perkara sia-sia yang boleh mengurangkan pahala puasa.

[2] ‘Abdul Rahman bin Nāṣir bin ‘Abdullah As-Sa’dī (w. 1376H). Tafsīr As-Sa’dī = Taysīr Al-Karīm Al-Rahman fī Tafsīr Kalām Al-Manān. (Beirut: Muassasah Ar-Risālaḥ) 1420H/2000M. Ms. 86.

Sebab Puasa Menjadi Sia-sia

marah

Daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : 

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ، فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وشرابه[3]

Maksudnya: Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya. 

[HR : Al-Bukhari]

Perkataan keji yang dimaksudkan termasuk berdusta, berpaling dari kebenaran dan menuduh sehinggakan Allah SWT tidak menghiraukan puasanya dan tidak menerimanya.

Sepatutnya ibadah puasa itu sendiri menjadikan manusia itu seseorang yang mampu menahan diri dan mencapai kesempurnaan puasa tersebut akan tetapi terdapat orang yang sah puasanya namun tidak diberi pahala padanya kerana tidak menjaga perkara yang sepatutnya dijaga seperti meninggalkan kata-kata yang kotor dan keji, meninggalkan perkara-perkara yang melalaikan, kosong dari niat yang suci dan dari makna sebenar amal tersebut maka untuk mencapai hakikat sebenar puasa itu perlulah dia memelihara dirinya daripada batalnya puasa dan daripada batalnya pahala puasa.

Imam Al-Baihaqi ada menyebutkan dalam satu riwayat, bahawa Imam As-Syafi’i pernah mengatakan, “Aku telah bersahabat dengan para sufi selama sepuluh tahun, aku tidak memperoleh dari mereka kecuali dua kalimat ini, “Waktu adalah pedang” dan “Termasuk kemaksuman, engkau tidak mampu” (maknanya, sesungguhnya manusia lebih cenderung berbuat dosa, namun Allah menghalangi, maka manusia tidak mampu melakukannya, hingga terhindar dari maksiat).

Jelas bahawa Imam Al-Baihaqi memahami bahwa Imam As-Syafi’i mengambil manfaat dari para sufi tersebut yang hakikatnya, manusia itu apabila dia tidak disibukkan dengan perkara-perkara yang hak maka dia akan menyibukkannya dengan perkara yang sia-sia .[4]

Imam Abu Abdullah Muhammad bin Salim Al-Hifni juga pernah berkata : “Jika tidak berlaku tundukan yang haram pada pandanganku, yang sia-sia pada ucapanku, dan tiada memekakkan yang haram pada pendengaranku dan aku pernah berkata aku berpuasa, maka hakikatnya aku tak pernah berpuasa. Habuan yang aku peroleh daripada puasaku hanyalah mendapat lapar dan dahaga semata”.

[3] Abū Abdullah Muhammad bin Ismail al-Bukhari al-Ja’fi (m. 256H). Ṣahīh al-Bukhārī.(Damsyik, Syria:  Dār Ibn Katsīr) 1993M/1414H. Jil. 2, Ms. 673, No. 1804.

[4] Abū Bakr Ahmad bin Al-Husayn Al-Bayḥaqī. (384-458H). Manāqib As-Shāfi’ī lil Bayḥāqī. (Kaherah: Maktabah Dar Al-Turath. 1390H/1970M. Jil. 2, ms. 207.

Apabila Hadirnya Ujian Katakanlah Aku Sedang Berpuasa

people sharing some dried dates

Juga diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

ليس الصيامُ من الأكلِ و الشربِ ، إنما الصيامُ من اللَّغوِ و الرفَثِ ، فإن سابَّك أحدٌ أو جهِل عليك فقل : إني صائمٌ ، إني صائمٌ[5]

Maksudnya: “Puasa bukanlah hanya menahan diri dari makan dan minum sahaja, akan tetapi puasa adalah dengan menahan diri dari perkataan yang melalaikan dan buruk. Jika seseorang menghinamu atau tidak mengetahui tentangmu, katakanlah, ‘sesungguhnya aku sedang berpuasa, sesungguhnya aku sedang berpuasa”.

[HR : Ibnu Khuzaimah & Ibnu Hibban]

[5] Muhammad Nāṣir Ad-Dīn Al-Albānī. Sahīh At-Targhīb wa At-Tarḥīb. (Riyadh: Maktabah Al-Ma’arif li An-Nasyr wa At-Tauzī’) 1421H/2000M. Jil. 1, Ms. 625, No. 1082.

Kita dianjurkan untuk mengatakan ‘sesungguhnya aku sedang berpuasa’ sebagai peringatan untuk diri sendiri bahawa kita sedang beribadah kepada Allah yakni dalam keadaan yang mulia dan tidak sepatutnya menyibukkan diri dalam urusan-urusan yang tidak sepatutnya.

Pada hakikatnya walaupun ujian-ujian tersebut berada di depan mata seorang hamba namun kerana takut kepada Allah maka dia dapat menahannya dengan sabar.

Orang yang berpuasa melatih dirinya untuk berpegang bahawa walaupun dia sedang berseorangan diri tanpa diawasi oleh sesiapa namun kerana dia berpegang bahawa Allah itu Maha Memerhati maka dia mampu menahannya.

Inilah yang telah diajarkan oleh Nabi kita Muhammad SAW dan diertikan sebagai hakikat sebenar puasa seorang hamba yang dipersembahkan kepada tuannya.

Antara Amalan Batin Yang Hanya Diketahui Oleh Allah SWT

breathtaking sunset casting golden hues vast desert expanse

Rasulullah SAW bersabda bahawasanya Allah SWT telah berfirman :

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ، فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ[6]

Maksudnya : Setiap amalan manusia adalah untuknya kecuali puasa, sebab ia hanyalah untuk-Ku dan Akulah yang akan memberikan ganjaran padanya secara langsung.

[HR : Al-Bukhari]

[6] Abū Abdullah Muhammad bin Ismail al-Bukhari al-Ja’fi (m. 256H). Ṣahīh al-Bukhārī. )Damsyik, Syria:  Dār Ibn Katsīr) 1993M/1414H. Jil. 2, Ms. 673, No. 1805.

Hadis ini menyatakan bahawa istimewanya ibadah puasa dari ibadah lainnya di mana Allah SWT telah mengkhususkan ibadah puasa ini untuk-Nya.

Puasa dengan meninggalkan hawa nafsu dan makan semata-mata kerana Allah merupakan amalan batin dan niat yang tersembunyi, tidak diketahui kecuali oleh Allah SWT. Berbeza dengan sedekah, solat, haji, dan amalan-amalan zahir lainnya kerana amalan-amalan ini boleh dilihat oleh orang lain.

Adapun puasa ia lebih kepada amalan yang bersifat rahsia antara hamba dan Rabb-nya dan tidak boleh dilihat oleh seorang pun kerana berbalik kepada hakikat puasa itu sendiri tidak hanya terbatas meninggalkan makan dan minum atau meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa, namun lebih dari itu. Ia memerlukan mujahadah dan hati yang harus benar-benar ikhlas serta  bersungguh-sungguh dan ini tentunya tidak diketahui kecuali Allah Azza wa Jalla.

Kita ketahui bahawa semua amalan baik ada tanda dan sudah pun tertulis pahalanya sama ada amalan tersebut busuk ( jahat ) atau wangi ( baik ) oleh malaikat. Begitu pula tidak dengan puasa. Puasa tiada tanda sehinggakan kita sendiri tidak akan mengetahui keadaan seseorang itu sama ada dia sedang berpuasa ataupun tidak kecuali jika diberitahu, maka ianya milik Allah sepenuhnya.

Allah yang akan memberi ganjaran dan pahala kepada orang-orang yang berpuasa sepertimana hamba tersebut telah melakukan apa yang disifatkan kepada Tuhannya dengan mengambil akhlak Rabb Al-Jalil iaitu tidak makan dan tidak minum pada waktu dia sedang berpuasa.

Maka disebabkan hamba tersebut telah mengikuti perintah  berpuasa dengan penuh kesungguhan,  hanya Rabb-Nya sahaja yang mengetahui bilangan pahala yang diperoleh. Masha-Allah.

muslim praying sujud posture

Tidak Pernah Disertakan dengan Unsur Syirik

Amalan puasa tidak pernah disertakan dengan dosa syirik, sebagaimana amalan lain yang pernah disertai dengan syirik dan dipersembahkan kepada selain Allah SWT seperti nazar, menyembelih haiwan, doa, rasa takut, harapan, yang mana kaum musyrikin seringkali beribadah pada tuhan sembahan mereka selain Allah dengan ibadah-ibadah seperti ini kecuali puasa.

Tidak ada satu kaum musyrikin pun yang menyatakan bahwa ia berpuasa untuk berhala dan tuhan-tuhan sembahan mereka selain Allah kerana puasa merupakan ibadah khusus untuk Allah SWT.

Kesimpulan

Orang yang dihukum oleh Allah sebagai orang yang berpuasa sekadar mendapat lapar dan dahaga adalah orang yang bukan sahaja tidak melazimi perkara sunah puasa bahkan masih tunduk kepada hawa nafsunya dan masih cenderung terhadap melakukan perkara-perkara yang melalaikan.

Puasa mereka dikira sah namun dianggap sia-sia. Oleh itu marilah kita memperbanyak doa agar kuat dan mampu menjalankan ibadah puasa dengan penuh rasa khusyuk sebagaimana kita dituntut untuk berlaku khusyuk dalam solat lima waktu. Penuhilah seruan ahli Rayyan (syurga bagi orang-orang yang berpuasa) dan semoga puasa menjadi pelindung kita di dunia dan di akhirat. Wallahu A’lam.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor