TANGGUNGJAWAB PEMIMPIN MEMELIHARA MAQASID SYARIAH

TANGGUNGJAWAB PEMIMPIN MEMELIHARA MAQASID SYARIAH

beautiful shot people walking with their camels desert erg lihoudi morocco

Ketua dan pemimpin negara merupakan khalifah yang memikul amanah dan tanggung jawab untuk melaksanakan pemerintahan dengan menegakkan kebenaran serta memainkan peranan yang sangat besar dalam menjaga dan memastikan kesejahteraan agama Islam dan umatnya sentiasa terpelihara tanpa mengabaikan hak beragama masyarakat lain.

Ini sesuai dangan peringatan Allah Taala kepada Nabi Daud a.s dalam firmanNya yang bermaksud :

”Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu karena ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat kerana mereka melupakan hari perhitungan”.

(Sad : 26)

Ia bukanlah suatu tugas mudah yang boleh dipikul oleh sembarangan orang. Oleh yang demikian, Allah SWT telah memerintahkan supaya amanah kepimpinan ini hendaklah diserahkan kepada individu yang layak lagi berkemampuan.

Kepimpinan dalam Islam adalah suatu tanggungjawab yang dibebankan ke atas setiap individu yang dilantik dan diberi kuasa sebagai ketua sama ada untuk keluarga, masyarakat, negara dan dunia.

Kepimpinan melalui tauladan yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW dalam memelihara maqasid syariah selama 10 tahun kepimpinan Baginda SAW iaitu; melaksanakan  amar makruf dan nahi mungkar, menegakkan keadilan, keamanan serta melahirkan kesejahteraan sejagat, perlu dijadikan pertimbangan dan ikutan sepanjang zaman oleh semua pemimpin dunia pada hari ini.

5 maqasid syariah tersebut yang perlu diperjuangkan dan dititik-beratkan oleh seorang pemimpin yang bertanggungjawab adalah seperti berikut;

top view islamic new year with quran book

Pertama :  Memelihara Agama

Dalam konteks Malaysia, memelihara Agama (ad-din) adalah menjalankan segala usaha bagi mengelakkan apa-apa yang mungkin melanggar dan memusnahkan asas-asasnya termasuk mempertahankan negara dan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Selari dengan itu juga, masyarakat lain bebas mengamalkan agama dan adat resam mereka secara aman dan harmoni sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai pemerintah, adalah menjadi kewajipan pemimpin untuk meletakkan kepentingan Islam pada kedudukan yang tertinggi.

Pemeliharaan akidah umat Islam adalah perkara utama yang patut diberi perhatian agar ketaatan dan ketakwaan kepada Allah SWT dan RasulNya menjadi keutamaan, serta ketaatan kepada pemimpin turut dititikberatkan yang akhirnya akan menjadi sebab musabbab negara tersebut memperolehi keberkatan dari Allah SWT.

Firman Allah Taala yang maksudnya : “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”.

(al-‘Araf : 96)

aggression arguing conflict stress fight

Kedua : Memelihara Nyawa

Memelihara nyawa (hifz an-nafs) adalah memelihara maruah, persaudaraan dan kesaksamaan sosial, keadilan, keselamatan masyarakat dan harta pemerintahan yang baik, mengurangkan kadar kemiskinan dan memenuhi keperluan pekerjaan, pengagihan saksama pendapatan dan kekayaan, kehidupan keluarga yang stabil, perpaduan sosial dan pengurangan jumlah jenayah serta memelihara keamanan dan kestabilan secara konsisten.

Sebagai pemerintah, menjadi tanggungjawab kerajaan mengelakkan pertumpahan darah dengan jalan yang tidak benar di semua peringkat, mengekang berlakunya kes buli dalam semua peringkat institusi kehidupan masyarakat. Kegagalan pemerintah memelihara nyawa, menyebabkan  sesebuah negara itu bakal jatuh ke dalam kancah peperangan  dan kemusnahan.

close up idea concept

Ketiga : Memelihara Akal

Pemeliharaan akal ertinya memberikan perlindungan kepada akal manusia dari  sebarang bentuk anasir yang boleh merosakkannya. Akal wajib dipelihara dan dipupuk dengan nilai-nilai mulia dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat.

Semua unsur-unsur yang menjurus kepada kehilangan dan merosakkan akal serta pemikiran seperti arak, dadah serta filem yang merosakkan, sudah semestinya wajib dibanteras dan dihalang dengan segera supaya tidak menjadi barah yang mampu membunuh akal masyarakat.

Selain itu, penyediaan infrastuktur dan sistem pendidikan yang holistik serta terbaik menjadi tanggungjawab kerajaan bagi membolehkan setiap rakyat mendapat pendidikan sempurna. Penguasaan ilmu pengetahuan merupakan asas untuk mencapai kemajuan dan mewujudkan umat yang bertamadun.

Firman Allah Taala yang bermaksud : ”…..Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat”.

(Mujadalah : 11)

Dalam menghadapi cabaran globalisasi, faktor ilmu bersepadu, kemajuan sains dan teknologi sewajarnya menjadi fokus bagi melahirkan sumber tenaga manusia yang bukan sahaja mempunyai ilmu dan akhlak tetapi juga memiliki nilai-nilai murni yang sifatnya menyumbang terhadap pembangunan negara, bangsa dan manusia sejagat.

father son playing park sunset time people having fun field concept friendly family summer vacation 1 1

Keempat : Memelihara Keturunan

Konsep memelihara keturunan iaitu melibatkan perlindungan dan pemeliharaan keturunan seseorang. Ia adalah sangat penting untuk membentuk kehidupan masyarakat yang harmoni, sihat, produktif dan bertamadun.

Keturunan wajib dipelihara demi menjaga sistem sosial dalam masyarakat dari seawal peringkat sebelum alam perkahwinan lagi.

Keturunan boleh rosak dengan sebab seseorang itu menyanggahi perintah dan suruhan agama serta melanggar tabi’ie kemanusiaan yang sihat dan waras seperti melakukan penzinaan.

Oleh kerana itu Allah Taala mengingatkan kita supaya menjauhi zina dalam firmanNya yang bermaksud : ”Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”  (al-Isra’ : 32)

Bukan sahaja zina haram dilakukan bahkan perbuatan jijik dan hina seperti liwat, lesbian, gay, dwiseksual dan sebagainya juga diharamkan oleh Syarak yang mana ianya boleh menyebab struktur sosial akan menjadi kacau bilau dan akhirnya menyebabkan runtuhnya jalur keturunan yang suci serta merosakkan maruah agama, bangsa dan negara.

Memadai untuk kita mengambil pengajaran daripada kisah Nabi Lut a.s sebagaimana firman Allah Taala yang maksudnya :

Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?. “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”.

(al-‘Araf : 80-81)

miniature bank with coins stacks jar beside 1 scaled

Kelima : Memelihara Harta

Memelihara harta bermakna melindungi harta kekayaan masyarakat daripada kehancuran dan daripada peralihan harta ke tangan orang lain dengan cara yang tidak sah termasuk larangan terhadap ketidakadilan, menafikan hak dan sebagainya.

Sebagai pemerintah wajib memelihara dan mengharamkan segala bentuk penindasan, amalan riba, penipuan, rasuah, monopoli yang tidak seimbang, cetak rompak, menipu hak intelek, manipulasi pasaran dan segala bentuk penyelewengan atau perkara-perkara yang menzalimi dan merugikan.

Pembangunan ekonomi ini boleh dilakukan melalui pengukuhan sumber manusia, pendidikan, kemajuan teknologi, etika kerja, menggubal dasar-dasar kewangan yang betul untuk mempercepatkan pembangunan, akses kepada modal melalui pembiayaan mikro kepada golongan miskin, serta memberi pekerjaan dan peluang pekerjaan.

Kesimpulannya, dapatlah difahami bahawa dengan terpeliharanya 5 maqasid syariah ini, maka seorang pemimpin tersebut telah melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin  yang telah diberi amanah dalam memastikan rakyat dan negaranya sejahtera, hidup dengan kerukunan dan damai walau dalam masyarakat majmuk.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor