UMAT TERBAIK

UMAT TERBAIK

thumbnail human hands open palm up worship

Umat yang terbaik adalah umat yang mempunyai dua sifat utama iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran serta hatinya sentiasa tunduk dan beriman kepada Allah SWT serta mencintai sunnah Rasulullah SAW sebagaimana dalam sabda Baginda SAW:

“Sebaik-baik manusia ialah pada generasiku, kemudian generasi berikutnya, kemudian generasi berikutnya.” [HR : al-Bukhari dan Muslim]

Kehebatan generasi sahabat ini diakui dan disemadikan Allah SWT dalam firmanNya: 

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)”.

(Ali Imran : 110)

Dunia telah menyaksikan kebenaran sabda Rasulullah SAW melalui sifat yang telah ditunjukkan oleh para sahabat r.a sepanjang perjuangan mereka baik semasa bersama Rasulullah SAW mahupun selepas wafatnya baginda SAW.

Begitu juga dengan generasi tabi’in & tabi’ tabi’in sehingga digelar dengan ‘Zaman Kegemilangan Islam’ dari pelbagai aspek insani seperti pendidikan, ekonomi, sosial sehinggalah kepada pemerintahan yang mana Islam telah menguasai satu pertiga dunia.

Namun, bagi merealisasikan momentum umat terbaik ini terus subur dan segar, kita perlu menerapkan beberapa kriteria dalam masyarakat, komuniti dan institusi yang merangkumi aspek ilmu, harmoni, mesra, santuni, hormat dan berkasih sayang antaranya:

hand using laptop computer with virtual screen document online approve paperless quality assurance erp management concept

Jauhi sebarang bentuk fitnah dan penyebaran maklumat palsu. Sejak akhir-akhir ini penyebaran fitnah dan maklumat palsu dilihat menjadi trend dan kebiasaan dalam masyarakat.

Senario buruk ini berkembang dengan pantas seiring dengan kecanggihan perkembangan teknologi maklumat dalam dunia tanpa sempadan. Situasi ini amat membimbangkan kerana penyebaran fitnah dan maklumat palsu boleh mengancam keselamatan dan keharmonian masyarakat serta negara.

Firman Allah SWT maksudnya:

“Dan janganlah engkau (berkisar dari pendirianmu yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya). Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai).”

(Al-Qalam: 10 & 11)

islamic women friends fist bumps

Hindarkan diri daripada persepsi dan tanggapan negatif dengan mencetuskan sentimen fanatik perkauman, hasutan, penghinaan serta unsur-unsur yang bercanggah dengan nilai Islam.

Pupuklah nilai perdamaian dalam hubungan sesama manusia dengan tujuan saling memahami dan menghormati antara satu sama lain ibarat bukit sama didaki lurah sama dituruni.

Ini dapat dilihat, ketika kedatangan risalah Islam di Mekah, Rasulullah SAW telah mendukung dan memartabatkan hak-hak umat di Mekah dan Madinah sehingga berjaya membebaskan musyrikin Mekah daripada kezaliman dan kegelapan jahiliyyah kepada cahaya keadilan Islam, jauh dari sifat fanatik, malah mendamaikan puak-puak yang bermusuhan serta mempamerkan keindahan Islam.

Ini sesuai dengan sabda Rasulullah SAW :

“Sesungguhnya aku tidak diutuskan sebagai pembawa laknat (kepada orang lain) tetapi aku diutuskan sebagai pembawa rahmat”.

[HR : Muslim]

group kids friends arm around sitting together

Momentum umat terbaik perlu konsisten menyeru manusia beriman ke arah melakukan kebaikan dan menjauhi perbuatan mungkar.

Sebagai umat pilihan, pamerkanlah contoh teladan terbaik kepada bangsa dan penganut lain dengan akhlak mulia supaya Islam dan umat Islam itu disanjung dan dihormati.

Sentiasalah menjaga izzah umat dan agama Islam kerana ianya akan menjadi penentu kepada kejayaan sesebuah tamadun atau negara.

Firman Allah SWT :

“Mereka berkata lagi: “Demi sesungguhnya! Jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang), sudah tentu orang-orang yang mulia lagi kuat (pihak kita) akan mengusir keluar dari Madinah orang-orang yang hina lagi lemah (pihak Islam)”. Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi Rasul-Nya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

(Al-Munafiqun : 8)

Umat terbaik perlu bersama-sama menggembleng tenaga tanpa prejudis atau sebarang konspirasi demi menjamin kesejahteraan dan keharmonian. Negara tidak akan berdaya saing dan maju ke hadapan sekiranya kita masih terbelenggu dengan tabiat ‘tidak kisah’ dan ‘tidak ambil peduli’ terhadap isu-isu yang melibatkan kepentingan negara.

Firman Allah SWT  :

“Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada perkara yang makruf, dan mencegah daripada perkara yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Ali Imran : 104)

muslim prayers tashahhud posture 3

Dalam membina momentum umat terbaik, mulakan langkah menyantuni masyarakat tanpa mengira kaum dan agama dalam aspek kebersamaan dengan penekanan elemen keharmonian, toleransi dan perpaduan dalam hubungan masyarakat majmuk, Rasulullah istiqamah dalam berlaku adil dengan non-Muslim.

Baginda mempamerkan nilai kemanusiaan yang tinggi dalam aspek interaksi sosial. Ini menunjukkan Islam meletakkan penghormatan yang mulia dan tinggi kepada manusia tanpa mengira warna kulit, jantina, keturunan atau bangsa seseorang itu.

Ketika Asma’ Radiallahuanha didatangi oleh ibunya yang masih belum beriman Rasulullah berpesan kepada Asma’ supaya melayani ibunya dengan baik.

Malah, apabila delegasi Kristian Najran datang ingin berdialog dengan Rasulullah mereka dilayan dengan penuh hormat. Namun begitu, dalam menerapkan nilai umat terbaik, Rasulullah juga meletakkan sempadan yang jelas apabila melibatkan soal akidah dan kesucian agama Islam.

Umat yang terbaik perlulah menjauhi sifat sombong dan takabbur agar terbina minda dan jiwa yang positif hingga membentuk umat yang berakhlak mulia kesan menjiwai agama yang luhur.

Sifat ini amat penting, selaras dengan prinsip toleransi yang diamalkan dalam masyarakat di negara kita. Saling menghormati pegangan agama masing-masing untuk mencapai keharmonian antara kaum.

Yang penting, setiap orang Islam dan bukan Islam haruslah memahami dasar-dasar toleransi Islam dan dasar-dasar hidup bersama di antara pelbagai kaum dan agama.

top view quran books table

Ini kerana Islam bukan agama berasaskan paksaan ataupun agama yang menekan sesuatu golongan tertentu kerana dalam sejarah Islam, tidak ada satu pun peristiwa yang menunjukkan bahawa Islam memaksa atau menekan golongan bukan Islam.

Sebagai contoh, sikap toleransi ini telah dijelmakan oleh masyarakat Muslim dan Non-Muslim di Malaysia dalam amalan rumah terbuka ketika berhari raya untuk mencapai perpaduan antara kaum.

Peribahasa Melayu menyebut : “Bersatu teguh, bercerai roboh”

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor