Sumber imej: evoting.kuis.edu.my BELIA adalah golongan yang menjadi tonggak dan penerus generasi dalam sesebuah masyarakat. Perlu diakui, golongan ini mempunyai keupayaan yang luar biasa terutama dari segi tenaga dan daya fikir dalam melakukan pelbagai perkara yang sukar dan mencabar. Secara umum, belia ditakrifkan sebagai golongan muda yang berumur antara 15 hingga 40 tahun. Justeru, belia atau pemuda hari ini adalah bakal pemimpin pada masa hadapan dan menunggu masa untuk mengisi saf kepimpinan negara pada masa akan datang. Oleh itu, sebarang usaha dan inisiatif untuk memperkasakan lagi keperluan, kehendak, kebajikan dan hak asasi golongan yang penting ini sangat dialu-alukan dan perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak. Biarpun begitu, kelompok belia atau pemuda secara objektifnya mempunyai idealisme mereka yang tersendiri dan tidak wajar dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan. Oleh yang demikian, mereka perlu tegas dan berani menyatakan hasrat dan pandangan tanpa berpihak kepada mana-mana pihak serta bebas mengkritik dan memberi pendapat dalam semua perkara. Tidak dinafikan, belia melalui kekuatan jasmani dan rohani yang dimiliki sentiasa menjadi aset penting kepada negara. Hal ini kerana, generasi muda yang terdiri dari golongan belia yang mantap ilmu dan ketaqwaannya akan turut memiliki kekuatan dari sudut pertimbangan akal, jati diri, integriti dalam melaksanakan tanggungjawab serta berakhlak tinggi. Sebagaimana kita ketahui, Islam sebagai ad-Din iaitu satu cara hidup yang lengkap meliputi seluruh aspek kehidupan manusia. Ia datang bersama kerangka dasar aqidah (kepercayaan), syariah (undang-undang dan peraturan) dan akhlak (nilai-nilai murni dan budi bahasa), yang kemudiannya datang bersama lima tujuan utama Islam yang dijadikan sandaran kehidupan yang kita sebut sebagai maqasid al-syariah. Salah satu daripadanya ialah Hifz ad-Din iaitu menjaga agama. Prinsip Hifz ad-Din memerlukan kita sebagai umat Islam untuk menjaga keutuhan Islam dan iman dalam diri kita dan orang-orang sekeliling dan pada masa yang sama memelihara Islam daripada sebarang ancaman dalaman dan luaran. Justeru, adalah menjadi kewajipan semua untuk meletakkan kepentingan agama mendahului malah mengatasi segala kepentingan yang lain. Hal ini demikian kerana agama merupakan pembimbing kehidupan setiap umat yang ingin mencapai kejayaan yang hakiki di dunia dan di akhirat. Tanggungjawab mempertahankan agama merupakan suatu kewajipan bagi setiap umat Islam. Sesiapa yang membela agama-Nya, maka Allah SWT pasti akan memberi pertolongan kepadanya. Allah SWT berfirman dalam surah Muhammad : Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu. Justeru, kita yang mengaku sebagai seorang muslim sewajarnya mengambil berat tentang agama Islam iaitu dengan cara kita mempelajari dan mengamalkan ajaran Islam serta memelihara dan membela kesucian agama Islam dari dihina dan dikeji oleh orang-orang yang memusuhi Allah dan rasul-Nya. Sebagai kelompok yang penting dalam sesebuah masyarakat, golongan belia seharusnya diberi ruang dan peluang bukan sahaja dalam membangunkan negara malah berperanan penting dalam urusan-urusan agama. Mereka yang bakal menggantikan golongan pemimpin di setiap peringkat sama ada keluarga, masyarakat, organisasi mahupun negara seharusnya dibentuk dengan elemen kepimpinan dan nilai-nilai yang terbaik. Namun begitu, golongan belia masa kini hanya sebahagian yang celik untuk menyumbang dalam perkembangan agama manakala sebahagian yang lain masih lagi leka dibuai keseronokan dunia. Justeru, wajar untuk diperkasakan peranan belia dalam mempertahankan agama untuk kemaslahatan bersama melalui langkah-langkah berikut : Sumber imej: http://beliamasjidperlis.weebly.com Pertama, belia Islam perlu memiliki pandangan hidup yang syumul berkaitan dengan Islam itu sendiri. Pengamatan sedemikian akan mewujudkan belia yang berwawasan serta dapat berperanan secara sesuai dan berdaya maju. Islam hendaklah difahami dan diyakini sebagai sistem penyusunan umat manusia dalam membina sebuah tamadun yang mulia dan tinggi bersesuaian dengan sifatnya yang menepati nilai kemanusiaan sejagat. Islam perlu dihayati bukan sebagai reaksi kepada kemusnahan tamadun sekular semasa, bahkan pada awal lagi ia diutuskan untuk memberi rahmat kepada keseluruhan umat manusia termasuk yang bukan beragama Islam. Prinsip-prinsip Islam dalam menyusun dan membangun masyarakat adalah bersesuaian dengan nilai kemanusiaan yang membolehkannya menangani perubahan cara hidup dan ruang tempat yang berbeza. Di atas semangat kebenaran, keadilan dan kasih sayang, pendekatan Islam akan sentiasa sesuai dan berdaya maju. Kedua, membina keutuhan akhlak di kalangan semua lapisan masyarakat Islam khususnya belia. Akhlak belia yang tinggi akan menjadi asas kepada perjuangan dan cita-cita hidup mereka ke arah menjayakan keluhuran Islam. Ia melahirkan keikhlasan dan ikatan emosi (emotional attachment) seseorang kepada perjuangan Islam. Akhlak tidak boleh difahami sebagai perilaku individu yang jujur dan lurus semata-mata. Ia harus dilihat dalam rangka yang lebih luas yang melibatkan perjuangan ke arah mendaulatkan nilai kebenaran dalam semua aspek kegiatan kehidupan. Ia turut meliputi usaha dan peningkatan ibadat serta memiliki sifat ehsan kepada sesama manusia yang lain dalam menjalani urusan hidup. Sumber imej: https://belia.org.my/ Kemuncak kepada penghayatan akhlak ialah anggota masyarakat akan berusaha melaksanakan nilai dan semangat keadilan dalam penyusunan hidup bermasyarakat dan bernegara. Rata-rata orang Islam memahami dan masih menganggap bahawa memiliki akhlak yang mulia akan membentuk individu menjadi seorang yang lurus dan jujur dalam menerajui hidup dan pekerjaannya dengan tidak banyak menimbulkan keburukan kepada masyrakat. Kefahaman yang terhad seperti itu akan hanya membentuk individu yang membina perilakunya sahaja dan tidak ingin berperanan dalam membaiki dan membangun akhlak masyarakat. Justeru, sebagai insan yang bersifat individu sosial, sikap sedemikian tidak menepati peranan seorang Islam yang positif. Maka, adalah sangat perlu umat Islam terutama para belia untuk berperanan lebih jauh dalam masyarakat. Pada masa ini, rata-rata akan bersetuju bahawa akhlak belia Islam khususnya di Malaysia perlu ditingkatkan untuk perubahan positif demi memajukan negara. Amalan rasuah, menipu, menindas, memfitnah dan memiliki beberapa sifat lain yang hina, perlu dikikis dan dihapuskan. Sifat-sifat ini adalah penghalang kepada semua bentuk kemajuan. Hal ini tidak akan berlaku jika setiap dari anak muda berpegang teguh kepada ajaran agama kerana agama akan membentuk jati diri anak muda untuk menjadi lebih baik dan mampu untuk menentukan antara hak dan batil serta baik dan buruk. Seorang tokoh Islam pernah berpesan: ”Jika kamu ingin melihat masa depan sesebuah negara lihatlah pada generasi mudanya”. Kata-kata ini membuktikan bahawa anak-anak muda khususnya belia Islam mampu memberi manfaat yang besar kepada agama dan negara. Sumber imej: https://www.ukas.gov.my Kesimpulannya, belia hari ini perlu meletakkan diri mereka sebagai pencetus, penggerak dan pembina tamadun Islam yang unggul, dihormati dan disegani oleh masyarakat dunia. Sekiranya golongan ini mengambil inisiatif untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan maka akan lahirlah generasi cemerlang yang akan menaikkan martabat agama dan kedaulatan negara di tahap yang tertinggi dan terbaik. Jadi, bangkitlah para belia dan ambillah setiap peluang yang disediakan untuk memajukan diri dan seterusnya menjadi kelompok belia muslim yang berguna yang dapat memberi sumbangan kepada pembangunan agama, negara dan kemajuan ummah. PERANAN BELIA DALAM MEMPERTAHANKAN AGAMA Sumber imej: www.voaindonesia.com ‘Idul Ghadir atau Perayaan Hari Ghadir merupakan… Baca Lagi June 26, 2024 WASPADA DENGAN SAMBUTAN HARI GHADIR Sumber imej: www.voaindonesia.com ‘Idul Ghadir atau Perayaan Hari Ghadir merupakan… Baca Lagi June 13, 2024 BERHATI-HATI MEMILIH PERKHIDMATAN BADAL HAJI Haji dari segi bahasa ialah menuju atau mengunjungi ke sesuatu… Baca Lagi May 30, 2024 PENYELEWENGAN DALAM AJARAN AL-ARQAM Al-Arqam merupakan salah satu ajaran salah yang terawal difatwakan di… Baca Lagi May 15, 2024 PERDAMAIAN TANPA BERSENGKETA (SULH) Sulh adalah konsep penyelesaian pertikaian dalam Islam yang menggalakkan keamanan… Baca Lagi April 23, 2024