Artikel Dakwah

SYAWAL: PELIHARA KEMULIAANNYA
Menjelang 1 Syawal pada saban tahun, umat Islam akan merayakan hari yang penuh bermakna iaitu Hari Raya Aidilfitri. Alhamdulillah, seharusnya kita bersyukur ke hadrat Ilahi, pada tahun ini seluruh umat Islam dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman masing-masing setelah 2 tahun kita berhadapan dengan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan. Pelbagai ragam masyarakat Islam dapat dilihat ketika merayakan hari kemenangan ini dengan menampilkan citarasa masing-masing dengan cara berpakaian, menghias rumah, menyediakan aneka makanan dan kuih muih serta memeriahkan budaya ziarah menziarahi. Aidilfitri dirayakan sebagai meraikan kemenangan setelah berjaya menyempurnakan ibadah puasa, melakukan amal ibadah, kebaikan dan kebajikan di Bulan Ramadan. Memahami makna Aidilfitri juga iaitu kembali kepada fitrah berkaitan dengan bebas dari dosa dan akidah yang lurus setelah sebulan menjalani madrasah Ramadan yang penuh dengan pengampunan dosa. Maka dengan kembalinya kita kepada fitrah ini, sewajarnya menjadi satu matlamat yang besar untuk kita memulakan langkah baharu dan beristiqamah untuk terus hidup sebagai Muslim yang benar-benar taat kepada tuntutan syariat dan meninggalkan perkara-perkara yang tidak bermanfaat serta bercanggah dengan syariat. Oleh hal yang demikian, dalam meraikan hari kemenangan dan kesyukuran ini hendaklah kita mengelakkan daripada melakukan pelbagai perkara yang tidak sepatutnya sehingga mencemarkan kemuliaan bulan Syawal. Tidak dinafikan kegembiraan menyambut hari raya bersama keluarga adalah perkara yang ditunggu-tunggu. Justeru itu, sebaiknya kita hendaklah mengambil peluang ketika bersama ahli keluarga untuk menghidupkan malam raya Aidilfitri dengan laungan takbir raya walau seketika. Kita barangkali terlupa bahawasanya bergembira pada malam raya dengan memuja dan memuji kebesaran Ilahi dan bertakbir merupakan dua perkara yang digalakkan selain daripada mengeluarkan zakat fitrah: Menghidupkan malam raya dengan berqiamullail. Hal ini berdasarkan hadis riwayat Abu Umamah, Rasulullah SAW bersabda: مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْعِيدِ مُحْتَسِبًا لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَومَ تَمُوتُ الْقُلُوبُ Maksudnya: “Siapa yang mendirikan malam raya dengan penuh penghisaban, nescaya tiada mati hatinya pada hari matinya segala hati.” Riwayat Ibn Majah Bertakbir pada malam raya dan pagi hari raya sehingga solat raya. Hal ini berdasarkan hadis riwayat Anas bahawa Rasulullah SAW bersabda: زَيَّنُوْا أَعْيَادَكُمْ بِالتَّكْبِيرِ Maksudnya:  “Hiasilah hari raya kamu dengan bertakbir.” Riwayat al-Tabarani Selain itu, sinonim dengan masyarakat Malaysia yang kaya dengan pelbagai jenis makanan tradisi dihidangkan di pagi raya mahupun rumah terbuka. Perkara ini tidak salah namun sikap kita yang seakan membalas dendam dengan makan apa sahaja makanan dalam kuantiti yang melampau adalah merupakan bentuk kesyukuran yang tercemar. Sebulan puasa menahan lapar dan dahaga, mengenang kesusahan golongan yang tidak bernasib baik dan akhirnya kalah dengan nafsu makan yang melampau di hari raya yang mulia. Berpada-padalah kerana sesungguhnya berlebihan dalam makanan adalah salah satu perkara yang tidak dianjurkan oleh Syara’. Seterusnya dalam kita merayakan Aidilfitri, maka janganlah kita lupa akan batasan-batasan pergaulan dalam Islam. Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah menundukkan pandangan daripada melihat perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Tidak dilupakan bahawa pastinya ramai akan menggayakan busana raya masing-masing namun mestilah diingatkan agar tidak mengenakan fesyen yang disangka sudah menutup aurat tetapi hakikatnya tidak. Umpama memakai pakaian yang ketat sehingga menonjolkan bentuk tubuh atau pakaian yang jarang sehingga menampakkan warna kulit walaupun memakai tudung. Oleh itu, marilah kita kembali kepada konsep sebenar menutup aurat sepertimana yang telah digariskan dalam Islam. Sebenarnya pergaulan antara lelaki dan perempuan sering berlaku dalam kehidupan seharian kita malah tidak terkecuali berlaku dalam suasana hari raya. Justeru itu, kita sebagai umat Islam perlu ambil tahu dan akur akan batasan dan adab-adab yang telah ditetapkan dalam Islam dalam pergaulan antara mahram dan bukan mahram. Islam tidak melarang untuk mengucapkan Selamat Hari Raya antara sesama lelaki dan perempuan tetapi bukanlah sehingga berlakunya persentuhan dan gurauan berbentuk fizikal antara lelaki dan perempuan yang tidak sepatutnya. Perkara ini perlu dijaga bagi mengelakkan fitnah dan meninggikan syiar Islam. Disamping itu, antara perkara yang dinanti-nanti di hari raya adalah aktiviti kunjung-mengunjung sanak saudara, jiran tetangga, sahabat handai yang sudah lama tidak bersua muka bagi merapatkan kembali ikatan ukhuwah. Amalan ziarah ini sangat dituntut dalam Islam bahkan sebaiknya dilakukan pada bila-bila masa dan tidak terhad pada hari perayaan. Namun apa yang menyedihkan adalah sekiranya kita tidak mengutamakan perkara wajib iaitu menunaikan solat. Perlu diambil muhasabah jika kita terlalu mengejar berapa banyak rumah hendak diziarah sehingga meninggalkan solat wajib atas alasan penat atau terlepas dan sebagainya. Begitu juga sebaiknya dikurangkan hiburan seperti konsert nyanyian yang melalaikan dan lebihkan program yang bermanfaat terutama di siaran-siaran media. Akhir sekali, marilah kita bertawakal kepada Allah SWT yang menguasai segalanya. Mudah-mudahan kita dan ahli keluarga kita sentiasa terpelihara daripada perkara-perkara yang melalaikan dan dikurniakan taufiq dan hidayah dalam kehidupan sehari-hari. Aidilfitri ini seharusnya diraikan dengan penuh kesyukuran atas nikmat pemberian Allah SWT serta  medan menambah keberkatan bukan menghilangkan segala ganjaran yang telah diperolehi semasa bulan Ramadan. Wallahu a’lam. SYAWAL SUATU ANUGERAH DARI ALLAH Sumber Foto:Kementerian Perlancongan Seni dan Budaya Malaysia Satu Syawal adalah… Baca Lagi April 11, 2023 AKU TERIMA NIKAHNYA Foto: @yumi_photog “Aku terima nikahnya” adalah lafaz kemuncak yang dinanti… Baca Lagi April 10, 2023 ISLAMOPHOBIA – KESAN TERHADAP MASYARAKAT ISLAM Pendahuluan Rakyat Malaysia sering dikejutkan dengan penghinaan atau sindiran agama… Baca Lagi March 30, 2023 KEBEBASAN BERFIKIR DI MANA HADNYA? Keupayaan berfikir merupakan satu fungsi akal yang dikurniakan oleh Allah… Baca Lagi March 16, 2023 PENGUATKUASAAN PERINTAH MAHKAMAH : SOLUSI BAPA CULAS NAFKAH ANAK Setiap perhubungan dalam institusi kekeluargaan akan melibatkan tanggungjawab dan hak…. Baca Lagi March 1, 2023
Baca Lagi
Picture 4
SAYANGI ANAK YATIM
Baca Lagi
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor