QURBAN MANIFESTASI KETAATAN KEPADA ALLAH YANG MAHA ESA

QURBAN MANIFESTASI KETAATAN KEPADA ALLAH YANG MAHA ESA

close up farm with goats

Pada setiap tanggal 10 Dzulhijjah pada setiap tahun, semua umat Islam di seluruh dunia akan menyambut perayaan besar yang dinamakan sebagai Hari Raya Aidil Adha. Istimewanya pada hari tersebut, umat Islam yang berkemampuan disunatkan untuk melaksanakan ibadah yang sangat dituntut dalam agama Islam iaitu ibadah qurban.

Secara ringkasnya, adalah dapat difahami bahawa ibadah qurban adalah suatu ibadah yang mana haiwan-haiwan qurban akan disembelih dan kemudiannya daging sembelihan akan diagih-agihkan kepada umat Islam.

Secara lebih khusus, dari sudut bahasa qurban bermaksud ‘dekat’.  Manakala dari sudut istilahnya, qurban bermaksud binatang-binatang sembelihan berkaki empat seperti unta, lembu, kerbau atau kambing yang disembelih pada Hari Raya Aidil Adha di hari-hari Tasyriq (11,12 dan 13 Dzulhijjah) sebagai bentuk taqarrub (amalan mendekatkan  diri) kepada Allah SWT.

WhatsApp Image 2021 06 05 at 9.39.40 AM
Sumber imej: Kosmo

Pensyariatan qurban boleh dilihat melalui firman Allah SWT dalam surah Al-Kauthar ayat 1-3 yang bermaksud :

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat karena Tuhanmu, dan berqurbanlah. Sesungguhnya orang-orang yang membencimu dialah yang terputus.

Selain itu, Allah SWT turut berfirman dalam surah Al-Hajj ayat 36 yang bermaksud ;-

Dan telah Kami jadikan untuk kamu unta-unta itu sebagai syiar Allah. Kamu banyak memperoleh kebaikan dari padanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya.

Ibadah qurban hukumnya sunat Muakkad (amalan yang sangat dituntut untuk dilaksanakan) ini mempunyai keutamaan yang sangat besar sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW dari  Aisyah r.a yang berbunyi : “Tidak ada suatu amalan pun yang dilakukan oleh manusia pada hari raya qurban yang lebih dicintai Allah SWT dari menyembelih haiwan qurban. Sesungguhnya haiwan qurban itu kelak pada hari kiamat akan datang beserta tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Dan sesungguhnya sebelum darah qurban itu menyentuh tanah, ia (pahalanya) telah diterima di sisi Allah, maka beruntunglah kalian semua dengan (pahala) Korban itu.” (HR : Tirmidzi).

korban daging

Sesungguhnya setiap pensyariatan dalam Islam pasti terkandung di dalamnya 1001 hikmah dan kebaikannya tersendiri. Allah SWT tidak pernah menjadikan sesuatu itu secara sia-sia.

Begitu juga pada pensyariatan ibadah qurban. Ibadah qurban disyariatkan Allah salah satunya sebagai mengenang sejarah pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim as yang sangat mentaati perintah Allah SWT yang memerintahkan baginda untuk menyembelih anak lelakinya iaitu Nabi Ismail  as  melalui mimpi Nabi Ibrahim as.

Peristiwa besar ini telah dirakamkan oleh Allah SWT dalam Al-Qur’an melalui  surah As-Saffat ayat 102 yang berbunyi: Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata:

“Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Nabi Ismail pun menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.

Setelah perbincangan antara keduanya sudah selesai, meledaklah tangisan kedua-duanya. Nabi Ibrahim tidak mampu menahan air matanya untuk tidak mengalir.

Di satu sisi, dia harus melaksanakan perintah Allah SWT dan pada sisi yang lain, dia sangat sayang dan cinta pada anaknya. Namun, sebagai seorang hamba Allah yang sangat taat akan perintah Allah SWT, Nabi Ibrahim harus merelakan anaknya untuk dijadikan qurban saat itu.

Begitu juga dengan Nabi Ismail, ia masih tidak ingin berpisah dengan ayah dan ibunya. Namun baginya, perintah Allah harus lebih diutamakan daripada segalanya.

muslim praying sujud posture min

Melihat kepada manifestasi ketaatan yang ditunjukkan oleh kedua-duanya itu, maka turunlah firman Allah dalam surah yang sama pada ayat 104-108 yang berbunyi: Lalu Kami panggil dia, “Wahai Ibrahim! Sungguh, engkau telah membenarkan mimpi itu.

” Sungguh, demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Kami abadikan untuk Ibrahim (pujian) di kalangan orang-orang yang datang kemudian”.

Kebenaran iman melalui ketaatan yang ditunjukkan  oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail tanpa keraguan telah ditebus oleh Allah SWT dengan perintah mengurbankan haiwan sembelihan bagi menggantikan Nabi Ismail.

Sesungguhnya peristiwa ini mengajar kita umat Islam, bahawa ibadah qurban merupakan penghubung ikatan tauhid seorang hamba kepada Tuhannya yang rela mengenepikan segala hasutan nafsu, semata-mata demi mendahulukan ketaqwaan diri kepada setiap perintah Allah.

Kerelaan ini  juga membuktikan iman dan cinta yang bertepatan dengan kehendak Allah SWT.

illuminated minaret symbolizes spirituality famous blue mosque generated by ai min

Selain daripada membuktikan tauhid kepada Allah, ibadah qurban juga mengukuhkan lagi makna tauhid dalam masyarakat yang bersama-sama melaksanakannya dengan mengorbankan harta, masa dan tenaga pada setiap tahun demi mencapai keredhaan Allah.

Oleh yang demikian, setiap umat Islam diseru untuk berusaha sedaya upaya mengambil kesempatan melaksanakan ibadah qurban ini yang hanya berlaku sekali dalam setahun dan mengambil iktibar untuk menjadi muslim yang soleh.

Akhir kalam, marilah kita renungi firman Allah dalam surah Al-Hajj ayat 37 yang bermaksud;-

Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya”.

Semoga amalan Korban kita diterima disisi Allah SWT.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor