ETIKA PERBOMOHAN @ PENGAMAL PERUBATAN ISLAM

ETIKA PERBOMOHAN @ PENGAMAL PERUBATAN ISLAM

incense holder with burning charcoal incense resin myrrh rustic wooden table

Perbomohan merupakan salah satu ikhtiar manusia untuk mencari kesembuhan dan menyelesaikan masalah.

Dalam sirah juga terdapat catatan yang merekodkan sahabat menggunakan kaedah mirip dengan perbomohan yang diharuskan oleh syarak bagi kegunaan perubatan.

Namun keharusan ini boleh menjadi haram apabila amalan yang dilakukan semasa perbomohan bertentangan dengan syarak.

Amalan perbomohan yang diwarisi turun temurun khususnya di Malaysia banyak dipengaruhi dengan unsur daripada agama lain dan ada di antara amalan-amalan itu yang boleh menyebabkan terselewengnya akidah seseorang Muslim jika dipraktikkan.

Sebagai contoh, tangkal azimat yang digunakan sebagai perantaraan ketika perbomohan dan jampi menggunakan perkataan yang tidak difahami serta menyediakan haiwan untuk dikorbankan selain kerana Allah SWT.

top view quran books table scaled

Islam amat menitikberatkan soal aqidah, syariah dan akhlak. Segala amalan dan kepercayaan yang bertentangan dengan Al-Quran, Hadith, Ijmak dan Qias adalah ditolak.

Dalam urusan perubatan kepada pesakit, satu perkara harus diingat oleh semua pihak, bahawa hanya Allah SWT sahaja berkuasa mutlak menentukan sesuatu dan menjadikannya, lebih-lebih lagi sakit dan sembuh adalah hak-Nya, manusia hanyalah disuruh berusaha dan berikhtiar.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, bomoh merupakan seseorang yang mengubati pesakit dengan menggunakan ubat tradisional atau menggunakan jampi untuk mengubat penyakit tersebut.

Namun ada juga bomoh yang diupah orang bagi mengenakan sihir kepada orang lain untuk tujuan mencelakakan individu lain. Justeru, perbomohan bermaksud sebarang aktiviti yang berunsur perubatan yang dilakukan oleh bomoh.

high angle star david candles arrangement

Di dalam sejarah Islam memang wujud cara perubatan tertentu sepertimana yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan Para Sahabat RA. Selain dari cara pengubatan biasa, mereka juga telah menggunakan doa-doa, khusus bagi mengubati penyakit.

Walau bagaimanapun mereka tidak menggunakan kaedah atau kepercayaan seperti yang difahami oleh sesetengah pihak yang tidak dibolehkan syarak seperti dengan memanggil roh datuk nenek, roh wali-wali, syeikh-syeikh dan khadam-khadam tertentu.

Hari ini nama bomoh atau pawang atau dukun membawa konotasi negatif kepada sesetengah pihak yang merujuk kepada kes-kes yang pernah berlaku dengan memberi imej yang buruk antaranya melakukan amalan-amalan yang bercanggah dengan syariat Islam sehingga melibatkan ancaman kepada nyawa seseorang.

front view man preparing yerba mate

Justeru, apabila timbul kesedaran dalam kalangan umat Islam, ada di antara bomoh telah mengubah penampilan dan modus operandi mereka dengan menggunakan nama Pengamal Perubatan Islam sehingga ada di antara mereka yang benar-benar mengikut landasan syariat turut terpalit dengan penyelewengan yang dibawa.

Namun begitu, umat Islam hendaklah sentiasa berhati-hati ketika memilih untuk melakukan pengubatan dari mereka yang bergelar bomoh atau Pengamal Perubatan Islam sebagaimana garis panduan yang pernah diterbitkan oleh JAKIM.

Antara Matlamat Perbomohan yang perlu diberi perhatian oleh setiap umat Islam;

  • Matlamat perbohoman hendaklah bermatlamat baik seperti untuk kesihatan tubuh badan, kerukunan hidup bermasyarakat dan berumahtangga.
  • Dilarang sama sekali untuk membalas dendam, membuat aniaya, menakut-nakutkan, mengugut orang lain dan lain-lain perkara yang bertentangan dengan syariat.
front view female scientist with hijab lab

Bagi memastikan perbomohan tidak bercanggah dengan ajaran Islam, perkara berikut hendaklah dikenalpasti;

  • Tidak menggunakan sebarang bentuk amalan sihir, ilmu hitum, tilik tenung, tukang nujum, ramalan tapak tangan dan silap mata.
  • Tidak boleh mengaitkan sesuatu pengeras dengan suatu akibat.
  • Tidak boleh percaya kepada sial mudarat yang menimpa seseorang atau diri.
  • Tidak boleh melakukan perkara-perkara yang berunsur syirik seperti semah pantai, sembelihan binatang dan lain-lain.
  • Tidak boleh menyembelih binatang untuk sesuatu tujuan yang bukan syar’ie.
  • Tidak boleh melakukan perbomohan atau bacaan tertentu yang menggunakan unsur-unsur meminta izin atau bantuan dari kuasa-kuasa makhluk ‘ghaib’ dalam acara perbomohan.
  • Tidak boleh menyajikan makanan untuk menjamu penunggu.
  • Tidak boleh mentaati bomoh atau seseorang pada perkara-perkara yang jelas bercanggah dengan akidah dan syariat Islam.
  • Menolak sebarang syarat yang diberikan yang bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak Islam.

Berkaitan bomoh atau Pengamal Perubatan Islam;

  • Bomoh hendaklah beragama Islam, aqil dan baligh serta mengetahui apa yang diucapkannya.
  • Tidak melakukan perkara-perkara yang boleh membawa syirik, samada melalui I’tikad, perkataan atau perbuatan.
  • Tidak meninggalkan ibadat-ibadat wajib dalam Islam seperti solat fardu, puasa dan zakat.
  • Tidak melakukan maksiat, jenayah dan yang bertentangan dengan undang-undang negara.
  • Tidak memecahbelahkan masyarakat dan keluarga.
  • Tidak mentafsirkan ajaran agama Islam mengikut hawa nafsu.
  • Tidak memasukkan atau menggunakan unsur-unsur yang bercanggah dengan Islam seperti sihir, ilmu hitam dan menurun kerana pengamalnya termasuk dalam kategori penyeru iblis dan syaitan dengan ucapan-ucapan yang tidak wajar atau boleh membawa kepada kufur dan syirik.
  • Tidak boleh bersahabat dan meminta pertolongan dengan makhluk ghaib seperti jin dengan tujuan mendapat pertolongan dalam perkara yang ditegah oleh syarak.
  • Tidak boleh melakukan ramalan tentang buruk atau baik pada masa akan datang.
  • Hendaklah mengikhlaskan hati dengan amalan, semata-mata mencari keredhaan Allah SWT.
man reading holy book

Umat Islam juga tidak boleh taat secara membuta tuli kepada bomoh atau pengamal perubatan Islam. Mereka boleh mengikut suruhan bomoh tertentu selagi mana tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Perlu diingat bahawa setiap individu atau kumpulan tidak boleh mendakwa bahawa perbomohannya bersumber dari Nabi Muhammad SAW, para anbiya atau diambil dari al-Quran dan hadith atau berasal dari amalan para sahabat Nabi SAW atau lain-lain jika tidak ada alasan atau sandaran yang kukuh berdasarkan nas al-Quran dan Hadith.

POSTER ARTIKEL22

NIKAH MISYAR

Pendahuluan Secara asasnya, Allah SWT menjadikan manusia hidup secara berpasangan...

Baca Lagi
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor