BID’AH: APA YANG RASULULLAH SAW TIDAK BUAT

BID’AH: APA YANG RASULULLAH SAW TIDAK BUAT

muslim boy learning how make dua allah

Perbahasan bid’ah seringkali menimbulkan tanggapan negatif dalam masyarakat.

Istilah ini sering dikaitkan dengan kesesatan dalam kalangan masyarakat secara melulu tanpa sebarang perincian maknanya yang sebenar. Keadaan ini menjadi lebih parah apabila diiringi budaya menyesatkan dan mengkafirkan golongan yang tidak bersependapat.

Dalam perbahasan ini, slogan bid’ah sering dilabel terhadap perkara yang tidak dilakukan Rasulullah SAW yang secara tidak langsung terkait dengan perbahasan konsep al-tark, iaitu perkara yang ditinggalkan oleh Baginda SAW.

Persoalannya, sejauh manakah label bid’ah sesuai untuk merujuk kepada perkara yang ditinggalkan oleh Baginda SAW? Adakah setiap perkara yang ditinggalkan atau tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah perkara yang tercela?

Definisi Bid’ah & al-Tark

Makna bid’ah pada bahasa ialah rekaan. Dalam perbahasan ini, ia merujuk kepada perkara baharu dalam agama[1] yang tidak mempunyai contoh atau bandingan. Berdasarkan nukilan Imam al-Baihaqi, Imam al-Shafi’i berkata:

المحدَثاتُ من الأمور ضربان: أحدهما: ما أُحدثَ يخالف كتابًا أو سنةً أو أثرًا أو إجماعًا، فهذه ‌البدعة الضلالة. والثاني: ما أُحدث من الخير لا خلاف فيه لواحد من هذا، وهذه محدثة غير مذمومة.

Maksudnya: Perkara baharu [dalam agama] ada dua jenis. Pertama, perkara yang diadakan yang menyalahi al-Kitab atau Sunnah atau athar atau ijmak. Inilah bid’ah yang sesat. Kedua, perkara baik yang diadakan yang tidak menyalahi salah satu daripada perkara tadi. Inilah perkara baru yang tidak tercela.[2]

[1] Muhammad Mukram bin Alī Abu Faḍl Jamal al-Din Ibn Manzur al-Anṣari (m. 711H). Lisan al-‘Arab. (Beirut, Lubnan: Dar al-Ṣadir, 1414H/ 1993M). 8/6.

[2] Abu Bakr Ahmad bin al-Husayn al-Baihaqi. al-Madkhal ila ‘Ilm al-Sunan. (Beirut: Lubnan: Dar al-Minhaj, 2017M). 2/633.

still life crucifix held hand

Adapun al-tark dari segi bahasa bermaksud meninggalkan sesuatu perkara. Dalam istilah syarak pula, al-tark ialah sesuatu yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW sama ada dengan tujuan tertentu atau tidak[3]. Perkara yang ditinggalkan tersebut adalah atas beberapa sebab berikut[4]:

  • Perkara tersebut dilarang atau ditegah oleh syarak seperti meninggalkan perkara khurafat.
  • Perkara tersebut bukan adat kebiasaan yang dilakukan seperti Rasulullah SAW tidak memakan biawak dhab.
  • Perkara tersebut dibimbangi menjadi kewajipan kepada umat Islam lantas membebankan umatnya seperti Rasulullah SAW meninggalkan solat tarawih secara berjemaah.
  • Meninggalkan sesuatu perkara disebabkan Baginda SAW tidak terlintas untuk melakukanya seperti para Sahabat membina mimbar untuk Rasulullah SAW berkhutbah.
  • Meninggalkan sesuatu disebabkan maslahah umat seperti pembinaan Kaabah kerana dibimbangi kaum Quraisy kembali kufur jika ketiadaan Kaabah.

[3] Quṭb Muṣṭafā Sanū. Mu‘jam Muṣṭalaḥāt Uṣūl al-Fiqh. (Dimashq: Dār al-Fikr al-Mu‘āsir, 2000). 132.

[4] Muḥammad Salaḥ al-Itrabī. Kitab al-Turuq al-Nabawiyyah. (Qatar: Wizarah wa al-Shuun al-Islamiyyah, 1422H/2012M). 1/265.

  • Meninggalkan sesuatu  disebabkan  ia  merupakan  sesuatu  perkara  yang bebas untuk dilakukan atau ditinggalkan seperti perkara-perkara sunat seperti memperbanyakkan sedekah, zikir, solat-solat sunat dan lain-lain.
  • Meninggalkan sesuatu  disebabkan  terlupa seperti  Rasulullah SAW pernah solat dengan rakaat yang kurang disebabkan terlupa bilangan rakaat ketika solat. Kemudian, Baginda SAW menambah bilangan rakaat yang tertinggal serta diikuti dengan sujud sahwi.
  • Meninggalkan sesuatu disebabkan ia perkara Khususiyyah kepada Baginda SAW dan kaum keluarga Baginda sahaja seperti Rasulullah SAW melarang kaum keluarganya menerima sedekah dan meninggalkan harta sedekah dan zakat.
  • Meninggalkan sesuatu  perkara  bagi  menyatakan  bahawa  meninggalkan perkara   tersebut adalah sunnah seperti Rasulullah SAW meninggalkan azan dan iqamah ketika mengerjakan solat hari raya.
high angle quran table 1

Pembahagian Bid’ah Menurut Ahlul Sunnah Wal Jama’ah

Imam al-Shafi’i telah membahagikan bid’ah kepada dua bahagian iaitu Bid’ah Hasanah (baik) dan Bid’ah Dalalah (sesat). Katanya:

البدعة بدعتان: محمودة ومذمومة، فما وافق السنّة فهو محمود، وما خالفها فهو مذموم[5].

Maksudnya: Bid’ah itu dua jenis: Bid’ah yang dipuji dan bid’ah yang dikeji. Apa yang selari dengan sunnah itu, maka ia dipuji dan apa yang bertentangan dengannya, maka ia dikeji.

Berdasarkan kenyataan di atas jika sesuatu perkara baharu itu selari dengan sunnah Nabi SAW atau tidak bertentangan dengan al-Quran, sunnah, athar Sahabat RA dan ijmak maka ia disebut sebagai Bid’ah Hasanah (baik) atau Bid’ah Mahmudah (terpuji).

Manakala, jika sesuatu perkara baharu itu bertentangan dengan sunnah Nabi SAW atau bertentangan dengan al-Quran, sunnah, athar Sahabat dan ijmak maka ia disebut sebagai Bid’ah Dalalah (sesat) atau Bid’ah Mazmumah (tercela).

[5] Al-‘Asqalānī, Aḥmad bin Ali bin Ḥajar (m. 852H). Fatḥ al-Bārī bi Syarḥ Saḥiḥ al-Bukhārī. (Beirut: Dar al-Ma’rifah, 1379 H). 13/253.

muslims reading from quran

Bahkan dalam pembahagian bid’ah ini juga, terdapat ulama di dalam Mazhab Shafi’i yang memperincikan lagi pembahagian bid’ah hasanah dan bid’ah dalalah kepada lima bahagian.

Antaranya ialah pembahagian yang disebut oleh Imam ‘Izz al-Din Abd al-Salam. Menurut beliau, pembahagian tersebut adalah kerana bid’ah adalah perkara baharu dan bukan hukum.

Hukum hanya ada lima iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Oleh itu, setiap perkara baharu mestilah ditimbang berpandukan neraca hukum yang lima ini[6]:

  1. Bid’ah Wajib seperti mengkaji Ilmu Tatabahasa (Nahu) untuk memahami al-Quran dan Hadis.
  2. Bid’ah Sunat seperti mendirikan sekolah dan tempat pengajian.

3. Bid’ah Harus seperti bersalam

[6] Sultān al-Ulamā, ‘Izz al-Dīn ‘Abd al-Salām (m. 660H). Qawāid al-Aḥkām fī Maṣāliḥ al-Anām. (Kaherah: Dar Umm al-Qura, 1414H/1991M). 2/204.

  1. Bid’ah Makruh seperti menghias masjid dengan ukiran.
  2. Bid’ah Haram seperti mengikut fahaman Qadariyah dan Jabariyah.

Berikutan ini, Imam ‘Izz al-Din Abd al-Salam telah merumuskan bahawa Bid’ah Hasanah adalah merangkumi Bid’ah Wajib, Bid’ah Sunat dan Bid’ah Harus. Adapun Bid’ah Dalalah pula merangkumi Bid’ah Makruh dan Bid’ah Haram.

camel rides erg chebbi morocco

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan di atas, segala perkara baru yang tidak berlaku pada zaman Rasulullah SAW tidaklah semuanya buruk dan tercela, serta tidak pula semuanya baik dan terpuji.

Hukum segala perkara baru yang tidak berlaku pada zaman Rasulullah SAW adalah tertakluk kepada hukum taklifi yang lima iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram.

Pengklasifikasiannya juga mestilah mengikut neraca yang di ambil kira oleh syarak berdasarkan sandaran dan pertimbangan dalil-dalil umum yang lain.

Artikel13Poster2

TANGKAL DAN AZIMAT

Sumber imej: Ai Azimat atau tangkal merupakan sesuatu benda yang dipercayai memberikan tuah...

Baca Lagi
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor