JANGAN PERSENDA KUASA KESULTANAN

JANGAN PERSENDA KUASA KESULTANAN

Yusof Mat Isa
Sumber imej: Yusof Mat Isa

Pengenalan

Pilihanraya Negeri akan dilaksanakan serentak pada 12 Ogos 2023 bagi Negeri yang belum melaksanakannya mengikut tempoh yang dibenarkan undang-undang.

 Isu penting yang sedang diperkatakan pada hari ini ialah keperluan untuk menjaga tertib berkempen agar elemen 3R, iaitu raja, agama dan kaum tidak disalahgunakan bagi tujuan menarik sokongan kepartian.   Banyak insiden yang mencabar kedudukan 3R berlaku kerana kurangnya pendidikan kenegaraan.

Rencana ini membicarakan aspek kenegaraan secara khususnya batasan sistem demokrasi, kupasan tentang kuasa kesultanan DYMM Sultan Selangor dan cadangan untuk memelihara kelangsungan institusi Diraja.

Perbincangan ini penting untuk menjelaskan bahawa pemain politik dalam sistem demokrasi di Malaysia tidak bebas untuk mempersoalkan kuasa kesultanan kerana sistem tersebut tidak berada lebih tinggi daripada Institusi Diraja.

Pada masa yang sama, kelangsungan Institusi Diraja perlu diperkasakan kerana hak kebebasan bersuara yang dibenarkan oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan sering disalahgunakan.

Kefahaman aspek ini dapat meningkatkan kesedaran tentang justifikasi tindakan Dewan di-Raja Selangor dalam memelihara, melindungi dan mempertahankan kewibawaan Institusi di-Raja Selangor yang berdaulat apabila berdepan dengan isu-isu sensitif.

Selangor Royal Office
Sumber imej: Selangor Royal Office

Demokrasi Berperlembagaan

Sistem demokrasi di Malaysia diperkenalkan di Tanah Melayu melalui perkenan raja-raja Melayu untuk dilaksanakan di peringkat Negeri dan Persekutuan selaras dengan peruntukan dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Sistem tersebut kemudiannya berkembang mengikut peruntukan undang-undang perlembagaan namun begitu masih tertakluk kepada kedaulatan raja-raja Melayu serta keluhuran Perlembagaan.

Perlembagaan tertinggi di Persekutuan dipanggil Perlembagaan Persekutuan manakala di Negeri terdapat undang-undang tubuh kerajaan Negeri masing-masing. Bagi Negeri yang tidak beraja seperti Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak, dipanggil perlembagaan negeri.

Sistem demokrasi di Malaysia tidak mutlak seperti amalan Westminster walaupun ia dipopularkan sebagai demokrasi berparlimen. Secara perundangan dan amalannya, sistem demokrasi berparlimen di negara kita adalah bersifat demokrasi berperlembagaan.

Oleh kerana Malaysia menjunjung kedaulatan raja-raja maka istilah demokrasi tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tubuh kerajaan Negeri dan perlembagaan Negeri. Demokrasi itu bermaksud kedaulatan rakyat.

Hakikatnya, kedaulatan di Persekutuan dan Negeri yang tidak beraja terletak pada Yang di-Pertuan Agong, manakala penguasa tertinggi Negeri yang masing-masing memakai gelaran Sultan, Raja dan Yang di-Pertuan Besar merupakan pemerintah berdaulat yang melaksanakan kuasa kedaulatan melalui amalan syura.

male business executive giving speech

Sistem demokrasi yang ada membenarkan calon pilihanraya kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dipilih sebagai wakil rakyat jika mendapat undi majoriti mudah.

Dalam penggubalan undang-undang, suatu rang Undang-undang perlu disokong oleh undi majoriti seperti ditetapkan oleh undang-undang perlembagaan. Terdapat banyak peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mensyaratkan perkenan Majlis Raja-Raja.

Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor juga membataskan kuasa perundangan DUN. Mana-mana pihak yang menguasai jumlah kerusi di DUN Selangor tidak bebas menggubal apa jua rang undang-undang yang dihasratkan. Mereka tertakluk pada prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan.

Begitu juga halnya dengan pihak yang melaksanakan fungsi kuasa kedaulatan dari aspek eksekutif dan kehakiman. Mereka juga tidak bebas untuk berbuat sesuka hati kerana mereka perlu patuh kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan.

Prinsip tersebut amat jelas kerana kuasa semua pelaksana fungsi kedaulatan dalam cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman mengikrarkan sumpah berjawatan untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.

wooden judges gavel table courtroom enforcement office

Kuasa Kesultanan

Kedaulatan itu merupakan kuasa kesultanan. Kuasa kesultanan DYMM Sultan Selangor meliputi perundangan, eksekutif dan kehakiman.

Antara kuasa kesultanan adalah memanggil persidangan DUN, memperkenan penggubalan undang-undang, melantik pelaksana fungsi kuasa baginda seperti Menteri Besar dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor, Yang di-Pertua dan ahli Majlis Agama Islam Selangor, Mufti, Ketua Hakim Syar’ie serta banyak lagi perkara di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor dan enakmen Negeri.

Fungsi kuasa tersebut boleh dilaksanakan oleh baginda sendiri, atau pihak lain, sama ada mengikut budi bicara atau atas nasihat. Kedudukan dan keistimewaan kuasa kesultanan adalah terpelihara dan perlu dihormati oleh semua pihak, sama ada warganegara Malaysia mahupun bukan warganegara.

Kuasa kesultanan itu selagi tidak dibataskan selepas kuatkuasa Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, boleh dirujuk kepada adat perlembagaan.

Adat perlembagaan yang diterima amalannya di Tanah Melayu sudah mengalami proses evolusi berlandaskan prinsip patuh syariah. Adat perlembagaan ada yang terkandung dalam undang-undang bertulis dan ada yang berlandaskan pada amalan waktu ketika itu.

Keutuhan adat perlembagaan sepanjang zaman campur tangan British di Selangor tidak terjejas dari aspek kedudukan dan prinsipnya kerana, doktrin nasihat yang diterima oleh Sultan Selangor dalam perjanjian berkaitan tidak mengikat baginda dalam hal ehwal agama Islam dan adat Melayu.

Perbezaan yang berlaku pada hari ini antara istilah adat perlembagaan dengan undang-undang perlembagaan adalah bagaimana ia melalui proses penggubalannya. Undang-undang perlembagaaan di Malaysia pada hari ini dikhususkan kepada undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang tubuh kerajaan dan perlembagaan negeri.

Sedangkan sebelum Hari Persekutuan Tanah Melayu 1948, adat perlembagaan itu merupakan undang-undang perlembagaan seperti yang difahami kini yang tergubal mengikut kelaziman ketika itu.

12a7f913b786ead410bf2750a9e8a738

Enakmen Adat Melayu Selangor

Kedudukan Institusi Diraja dan kuasa kesultanan boleh dipelihara melalui penggubalan adat perlembagaan sebagai undang-undang bertulis dalam sistem perundangan pada hari ini.

Adat perlembagaan adalah adat Melayu. Adat Melayu boleh diangkat sebagai enakmen melalui peruntukan Butiran I Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, adat perlembagaan Selangor boleh digubal dalam bentuk enakmen oleh DUN Selangor.

Dalam pada itu, Butiran 9 Senarai II Jadual Kesembilan membolehkan DUN Selangor untuk mewujudkan kesalahan yang berhubungan dengan adat Melayu. Penggubalan adat perlembagaan dalam bentuk enakmen khususnya menjadi pelindung kepada kelestarian Institusi di-Raja Selangor.

Perkara 150(6A) Perlembagaan Persekutuan menghalang peluasan kuasa perundangan Parlimen mengenai apa-apa perkara hukum syarak atau adat Melayu walaupun dalam tempoh darurat. Kedudukan itu dinikmati juga oleh undang-undang atau adat anak negeri di Sabah dan Sarawak.

Kedudukan istimewa adat perlembagaan yang berada dalam kerangka Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor diberikan jaminan oleh Perkara 150(6A) dimaktubkan juga melalui Perkara 71. Perkara 71(1) berbunyi seperti yang berikut:

Persekutuan hendaklah menjamin hak Raja sesuatu Negeri untuk naik takhta dan memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak dan keistimewaan-keistimewaan di sisi perlembagaan bagi Raja Negeri itu mengikut Perlembagaan Negeri itu; tetapi apa-apa pertikaian tentang hak naik takhta mana-mana Negeri hendaklah diputuskan semata-mata oleh mana-mana pihak berkuasa, dan semata-mata mengikut apa-apa cara, yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negeri itu.

Peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang dirujuk menunjukkan kedudukan istimewa adat Melayu di sisi undang-undang perlembagaan yang menjamin kuasa kesultanan.

people

Kesimpulan

Pemain politik kepartian tidak wajar melandaskan hak kebebasan dalam sistem demokrasi untuk mempersoalkan perkara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh kerajaan negeri.

Dalam musim kempen pilihanraya, lebih mudah berlaku ketelanjuran kata-kata dek keghairahan untuk memancing undi. Lantaran hak kebebasan bersuara dalam sistem demokrasi perlu diberikan kefahaman dengan betul. Pendidikan kenegaraan sahaja tidak mencukupi untuk memelihara kedudukan dan kelestarian Institusi Diraja.

Justeru, untuk mengelakkan mana-mana pihak daripada mempersenda, mempertikai, mencabar apatah lagi menjadikan bahan lawak jenaka sebarang kuasa kesultanan DYMM Sultan Selangor serta bagi memelihara kemuliaan institusinya maka penggubalan Enakmen Adat Melayu (Adat Perlembagaan) Selangor dilihat suatu langkah semasa yang perlu.

Ini kerana adat Melayu dapat menggariskan adab, tertib, warisan budaya, nilai kesopanan dan tatasusila yang perlu dihormati oleh semua pihak. Penggubalan enakmen tersebut juga penting untuk memelihara kesinambungan Institusi di-Raja Selangor yang berdaulat seperti dimaksudkan oleh Perkara 150(6A) Perlembagaan Persekutuan.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor