MAIS CERIAKAN ANAK YATIM, SUMBANG DUIT RAYA

MAIS CERIAKAN ANAK YATIM, SUMBANG DUIT RAYA

435066005 800267762018425 2094367929247904599 n
Paya Jaras, 3 April – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) meneruskan tradisi menceriakan anak-anak yatim dengan menyampaikan sumbangan duit raya bagi menambah kegembiraan buat mereka dalam menyambut hari raya yang bakal tiba.
 
Sumbangan yang diadakan setiap tahun ini bertujuan membantu meringankan beban dan menambah keceriaan anak-anak yatim dalam menjalani ibadah puasa serta persiapan menyambut Syawal.
 
Penyerahan sumbangan duit raya disampaikan oleh YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi MAIS kepada 129 orang anak-anak yatim di Rumah Kasih Harmoni melalui peruntukan Baitulmal MAIS dalam Program Agihan Bubur Lambuk MAIS bersama Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor, Agensi dan Anak Syarikat MAIS di sini hari ini.
 
Bersempena Ramadhan tahun ini, MAIS turut mengadakan program gotong royong memasak dan mengagihkan sumbangan sebanyak 1,000 bekas bubur lambuk kepada rumah anak yatim di sekitar Selangor.
 
Sumbangan bubur lambuk diagihkan kepada Rumah Kasih Harmoni, Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur (PEKIAS) dan Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak Yatim Damai, Kuang. Menariknya lagi, edaran bubur lambuk turut diagihkan kepada masyarakat setempat yang
berdekatan.
 
Program bertujuan sebagai inisiatif MAIS untuk mengimarahkan bulan Ramadhan dan
mengeratkan hubungan silaturrahim di samping berkongsi rezeki dengan komuniti setempat
terutama kepada penghuni rumah anak yatim.
 
Terdahulu, MAIS telah memperuntukkan dana sumbangan berjumlah RM600,000.00 bagi tahun 2024 dalam menyantuni kebajikan seramai 11,386 orang anak yatim yang berdaftar di negeri Selangor.
Dana sumbangan diberikan menerusi peruntukan Baitulmal MAIS kepada Yayasan Islam Darul Islam (YIDE) iaitu anak syarikat MAIS yang bertanggungjawab untuk mengurus dan menyelia hal ehwal kebajikan anak-anak yatim sekitar Selangor.
 
Sebagai sebuah agensi Islam yang bertanggungjawab dalam menyantuni anak yatim, MAIS berharap bantuan yang disumbangkan dapat dimanfaatkan untuk pengurusan rumah anak yatim yang berdaftar di bawah YIDE di samping dapat memelihara kebajikan dan hal ehwal pengurusan anak yatim di Negeri Selangor.
 
Dalam majlis yang sama, MAIS juga turut menyampaikan bantuan fidyah MAIS berupa pek makanan kering kepada 10 keluarga yang layak dengan nilai keseluruhan sebanyak RM2,230.00.
 
Program yang diadakan ini dengan kerjasama Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor iaitu
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Mufti Negeri Selangor, Jabatan Pendakwaan
Syariah Negeri Selangor dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor.
 
Selain itu, program ini juga mendapat kerjasama dari agensi dan anak syarikat MAIS iaitu
Lembaga Zakat Selangor (LZS), Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Yayasan Islam Darul
Ehsan (YIDE), Universiti Islam Selangor (UIS), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd dan Bakti Suci Holding Sdn Bhd.
 
Turut hadir ialah Dr Haji Ahmad Shahir Makhtar, Setiausaha MAIS dan Encik Nur Mohd Razali Abdullah, Pengurus Besar YIDE.
 

Add Your Heading Text Here

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor