MAIS SUMBANG RM10.9 JUTA BANTU OPERASI RUMAH PEMULIHAN RIQAB (RPR)

MAIS SUMBANG RM10.9 JUTA BANTU OPERASI RUMAH PEMULIHAN RIQAB (RPR)

434680294 797183028993565 3176472837699953542 n
SHAH ALAM, 29 Mac – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini menyerahkan sumbangan RM10.9 juta kepada 27 buah Rumah Pemulihan Riqab (RPR) menerusi Geran Bantuan Pemulihan Riqab bagi membantu kebajikan asnaf riqab khususnya di Negeri Selangor.
 
Sumbangan RM10,973,640.00 itu melibatkan kos program, pengurusan dan penjagaan Asnaf Riqab di Rumah Pemulihan Riqab yang berada di bawah seliaan MAIS bagi tahun 2024.
Antara RPR yang menerima bantuan ialah Rumah Teduhan Kasih, Rumah Puteri Arafiah, Rumah Penawar Alam Jaya, Rumah Perlindungan dan Bimbingan Wanita Bayt Rahmah dan Rumah Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah.
 
MAIS juga turut menyumbang sebanyak RM357,000.00 kepada 1,190 orang asnaf riqab di negeri ini bagi membantu asnaf-asnaf tersebut membuat persiapan awal menyambut kedatangan Syawal tidak lama lagi.
 
Sumbangan yang menggunakan peruntukan zakat asnaf riqab ini bertujuan untuk membantu asnaf riqab yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan kawalan bagi menggalakkan mereka kembali ke pangkal jalan.
 
MAIS berharap bantuan yang diberikan dapat digunakan sebaiknya terutama kepada pengusaha RPR bagi membantu rumah terbabit menjalankan tanggungjawab sosial untuk memastikan asnaf riqab tersebut diberi perlindungan, pemulihan dan bimbingan yang sewajarnya.
 
Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi MAIS pada Majlis Tadarus dan Iftar Perdana Rumah Pemulihan Riqab Tahun 2024 di sini hari ini.
 
Majlis ini juga berjaya menghimpunkan seramai 145 orang asnaf riqab untuk bertadarus disusuli dengan Majlis Khatam Al-Quran dan Solat Sunat Tarawikh.
Turut hadir ialah Tan Sri Dato’ Hashim Meon, Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS; Dr Haji Ahmad Shahir Makhtar, Setiausaha MAIS; Puan Norzaihan Mohd Zain, Timbalan Setiausaha (Operasi) MAIS dan Tuan Haji Azmi Kassim, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor.
 
 

Add Your Heading Text Here

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor