WASIAT KEPADA WARIS
WASIAT KEPADA WARIS
“Arwah bapa saya pernah menyatakan semasa hayatnya, beliau ingin memberikan sebidang tanah kepada saya dan adik lelaki secara sama rata selepas dia meninggal dunia nanti.
Namun, kami masih mempunyai 2 orang abang, manakala ibu telah meninggal dunia semasa kami masih kecil lagi. Walau bagaimanapun, perkara itu kami tidak laksanakan kerana kedua abang kami tidak bersetuju dengan apa yang telah dikatakan oleh arwah bapa tersebut.
Sehingga kini, telah 3 tahun kematian arwah bapa berlalu. Tanah tersebut dan termasuk wang simpanan arwah bapa belum dibuat pembahagian lagi”.
Soalnya, adakah apa yang dinyatakan oleh arwah bapa itu dianggap sebagai wasiat? Sekiranya ia adalah wasiat, bagaimana wasiat ini boleh dilaksanakan?
Wasiat adalah pengakuan seseorang yang diperbuat pada masa hayat ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut hukum syarak selepas dia mati sama ada dinyatakan perkataan wasiat atau tidak.
Bermaksud, berdasarkan kenyataan arwah bapa semasa hayatnya, maka apa yang dikatakan oleh arwah bapa itu boleh dianggap sebagai wasiat.
Secara umumnya, jumhur fuqaha’ berpendapat wasiat kepada waris adalah tidak diharuskan dalam undang-undang Islam dan wasiat hanya sah dibuat kepada bukan waris yang menerima bahagian harta di bawah peraturan faraid.
Berdasarkan kepada pandangan ini, asal hukum wasiat kepada waris adalah tidak sah melainkan jika waris lain bersetuju dengan wasiat yang dibuat ketika pewasiat meninggal dunia.
Oleh itu, pelaksanaan wasiat kepada waris adalah tergantung kepada persetujuan dan keizinan daripada waris yang lainnya.
Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abi Umamah al-Bahili r.a. yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT telah memberi setiap orang yang berhak akan haknya, oleh itu tidak harus berwasiat kepada waris.”
(Riwayat Ahmad)
Namun demikian, dalam keadaan di mana jika sesuatu wasiat itu dibuat kepada waris, maka pelaksanaannya adalah tertakluk kepada persetujuan waris-waris yang lain.
Ini berdasarkan hadis daripada Ibn ‘Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak harus berwasiat kepada waris melainkan jika diizinkan oleh warisnya yang lain.”
(Riwayat Abu Daud)
Jika persetujuan gagal diperolehi, maka wasiat tersebut dianggap terbatal. Larangan wasiat kepada waris adalah bagi menjaga keutuhan sistem kekeluargaan Islam dalam hal-hal kehartaan.
Setiap waris telah ditentukan bahagian pusaka masing-masing apabila seseorang meninggal dunia.
Justeru apabila ada sebahagian waris yang diberikan wasiat, ini dibimbangi akan menimbulkan perselisihan dalam kalangan waris tersebut akibat ada waris yang memperoleh harta pusaka dengan dua sumber; iaitu melalui wasiat dan faraid.
Keadaan berbeza jika wasiat diberikan kepada bukan waris yang lebih menjurus kepada sedekah si mati atau ehsan.
Hal ini kerana pemberian harta pusaka kepada waris atas jalan wasiat akan mengurangkan nilai harta pusaka kepada hanya dua pertiga bahagian sahaja dan ini sudah tentu menjejaskan hak bahagian waris yang lain.
Jika waris telah bersetuju dengan wasiat tersebut, sudah pasti permusuhan dalam kalangan mereka dapat dielakkan.
Oleh itu, undang-undang Islam telah menggariskan syarat tertentu bagi menentukan persetujuan itu benar-benar mengikat.
Ini bermakna, persetujuan itu hanya dianggap sah jika memenuhi syarat atau kriteria yang telah ditetapkan.
Peraturan ini adalah penting bagi mengelakkan sesetengah waris yang berkepentingan mengeksploitasi waris lain supaya memberikan persetujuan ini.
Syarat-syarat bagi waris yang memberi persetujuan terhadap wasiat yang diberikan kepada waris tertentu adalah sebagaimana berikut :
- Waris yang memberi persetujuan itu mestilah tergolong daripada orang yang berkeahlian untuk melakukan tabarru’ iaitu baligh, berakal, tidak disekat tasarrufnya (mahjur ‘alayh) kerana bodoh, dungu atau dalam keadaan sakit mati (marad al-maut). Oleh sebab itu, persetujuan yang dibuat oleh waris kanak-kanak, gila, kurang akal adalah tidak sah. Termasuk juga dalam hal ini adalah persetujuan yang dilakukan oleh wali mereka. Fuqaha’ mazhab Syafi’i menambah bahawa waris yang memberikan persetujuannya itu mestilah tahu mengenai harta yang diwasiatkan. Dengan demikian, tidak sah persetujuan dalam konteks ini jika waris yang menyetujui wasiat itu sendiri tidak mengetahui apa harta yang diwasiatkan oleh pewasiat.
- Menurut jumhur fuqaha’, persetujuan para waris itu mestilah dilakukan selepas kematian pewasiat. Berdasarkan hal ini, persetujuan yang diperoleh semasa pewasiat masih hidup adalah tidak sah. Persetujuan yang dilakukan ketika pewasiat masih hidup itu boleh ditarik semula selepas kematian pewasiat dan ini akan menyebabkan wasiat itu menjadi batal.
Kedua-dua syarat ini, selain terpakai kepada kes wasiat kepada waris, juga terpakai kepada wasiat yang melebihi satu pertiga daripada harta pewasiat.
Bagi pengurusan harta yang lebih terancang bolehlah merujuk Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi solusi terbaik urus harta anda dan layari www.mais.gov.my atau siswa.mais.gov.my untuk info lanjut berkaitan wasiat ini.
Sumber imej: Faiz Zaki/Shutterstock Kemerdekaan merupakan salah satu nikmat Allah...
Sumber imej: Ai Azimat atau tangkal merupakan sesuatu benda yang dipercayai memberikan tuah...
Taubat itu bermaksud kembali daripada apa yang tercela di sisi...
Islam Jamaah merupakan ajaran yang diasaskan oleh individu bernama Nurhasan...
Sumber imej: evoting.kuis.edu.my BELIA adalah golongan yang menjadi tonggak dan...