MURTAD & ISU TERKINI
MURTAD & ISU TERKINI
Mutakhir ini, gejala kerosakan akidah semakin menular di negara kita sama ada ianya berkaitan ajaran sesat ataupun membabitkan pertukaran agama.
Perkara ini telah mendapat perhatian serius oleh pelbagai pihak termasuk badan-badan Islam dan perundangan di Malaysia.
Saban tahun, kemunculan gerakan-gerakan sesat semakin bercambah di ikuti isu murtad iaitu keluar dari agama Islam dan menganut agama yang lain.
Murtad dan hukumnya menurut Islam
Murtad menurut bahasa Arab berasal daripada perkataan riddah. Manakala, dari segi bahasa, riddah membawa maksud kembali dari sesuatu kepada selainnya.
Manakala, dari segi syarak, murtad ditakrifkan sebagai keluar daripada Islam dan kembali kepada kufur serta membebaskan diri daripada Islam sama ada dengan niat atau perbuatan atau perkataan sama ada diucapkan dengan gurauan atau penentangan atau iktikad.
Ulama mutakaddimin seperti Mazhab Shafii, Maliki dan Hanbali di mana mereka berpendapat bahawa murtad tergolong dalam dosa-dosa besar yang tidak diampunkan oleh Allah melainkan bertaubat.
Firman Allah SWT yang bermaksud: (Surah al-Baqarah: 217)
Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (Islam), lalu dia mati sedang ia tetap kafir, maka orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya (selama-lamanya).
Kebebasan beragama
Namun yang demikian, Islam sebagai sebuah agama yang syumul dan suci menjamin hak kebebasan beragama.
Islam memberi hak kepada setiap individu untuk memilih agama yang ingin dianuti tanpa ada paksaan malahan Islam menyuruh untuk menghormati amalan agama lain.
Perkara ini telah dirakamkan oleh Allah SWT di dalam firmanNya yang bermaksud: (Surah al-Baqarah: 256)
Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).
Pada fuqaha telah lama membincangkan hak kebebasan agama ini dan jika diteliti terdapat sebahagian fuqaha berpandangan bahawa hak kebebasan beragama yang dimaksudkan adalah hak untuk menganuti sebarang agama iaitu seseorang itu bebas untuk memilih agama dan jika beliau memilih Islam agamanya maka adalah dilarang keras untuk keluar dari agama Islam.
Terdapat juga pandangan yang lain beranggapan bahawa hak kebebasan beragama ini adalah mutlak dan setiap individu diberi kebebasan untuk memilih agamanya.
Murtad menurut Undang-undang
Dalam membincangkan undang-undang berkaitan murtad, terdapat persoalan besar yang perlu diselesaikan iaitu adakah terdapat peruntukan kesalahan murtad di bawah mana-mana enakmen atau akta di Malaysia.
Jika diteliti, sememangnya tidak terdapat undang-undang yang jelas mengenai murtad termasuk hukumannnya.
Ini berikutan undang-undang jenayah Islam yang boleh dikuatkuasakan oleh Mahkamah-mahkamah Syariah di negeri-negeri di Malaysia hanyalah merangkumi hukuman maksima 3 tahun penjara atau 6 sebatan atau RM5000 denda atau kombinasi mana-mana hukuman.
Dalam satu kes melibatkan Siti Amira Nastasya Abdullah yang menjadikan Islam sebagai konten kepada bahan jenakanya ketika mempersembahkan standup comedy di sebuah Café Comedy di Taman Tun Dr Ismal, Kuala Lumpur.
Setelah isu ini mula viral, timbul pula individu-individu yang lain dengan bebas dan beraninya menghina Islam dan Nabi SAW.
Ini sekali gus memberi gambaran tentang bahayanya status akidah umat Islam di Malaysia saat ini.
Justeru itu, badan pendidikan, kerajaan, perundangan dan institusi Islam perlu memainkan peranan penting bagi membendung isu murtad ini dari terus berleluasa
Sumber imej: Faiz Zaki/Shutterstock Kemerdekaan merupakan salah satu nikmat Allah...
Sumber imej: Ai Azimat atau tangkal merupakan sesuatu benda yang dipercayai memberikan tuah...
Taubat itu bermaksud kembali daripada apa yang tercela di sisi...
Islam Jamaah merupakan ajaran yang diasaskan oleh individu bernama Nurhasan...
Sumber imej: evoting.kuis.edu.my BELIA adalah golongan yang menjadi tonggak dan...