IBADAH KORBAN
IBADAH KORBAN
Kebiasaannya menjadi tuntutan kepada umat Islam pada setiap tanggal 10 zulhijjah meraikan Aidil Adha sekali gus menyempurnakan ibadah korban sesuai sunnah Nabi Ibrahim AS.
Umumnya definisi ibadah korban ialah (udhhiyyah) iaitu Binatang ternakan yang disembelih untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT pada Hari Raya haji dan tiga hari Tasyri‘.
Allah SWT memerintahkan ibadah korban seperti mana firmanNya dalam surah al-Kauthar: 2 yang bermaksud:
“Maka kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur”.
Fokus utama ibadah korban adalah untuk melihat sejauhmana keikhlasan dan ketakwaan kita sebagai seorang hamba, sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yan sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa dari kamu”. (Surah al-Hajj: 37)
Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis, mafhumnya:
“Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu”. (Hadis Riwayat Tirmidzi).
Sejarah Ibadah korban yang pertama telah dirakam oleh Allah SWT dalam as-saaffat ayat 102 yang bermaksud:
(Ibrahim berkata) wahai anakku, sesungguhnya aku telah melihat di dalam mimpi bahawa aku menyembelih kamu, maka telitikanlah apa pandangan kamu. (Ismail berkata) wahai bapaku, lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu. Nescaya kamu akan mendapati bahawa aku ini – Insha Allah – tergolong dari kalangan mereka yang sabar
(Surah as-Saffat: 102).
Antara fadhilat ibadah korban menurut Rasulullah SAW ialah menambah amal kebajikan, sesuai dengan sabda baginda:
“Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan”. (Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)
Dalam hadis yang lain ibadah korban boleh menjadi penebus dosa, Nabi SAW bersabda kepada putrinya Saidatina Fatimah RA, mafhumnya:
“Hai Fatimah, berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu”.
(Hadis riwayat al-Bazzar dan Ibnu Hibban)
Sabda Nabi SAW, mafhumnya:
“Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla.” (Hadis riwayat Thabrani)
Di samping itu, Allah SWT juga sangat menyukai amal ibadah korban, dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah Ta’ala daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tunduk-tunduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih.” (Hadith riwayat Tirmidzi)
Namun terdapat juga peringatan yang Allah berikan kepada mereka yang mampu untuk melakukan ibadah korban tetapi mereka tidak memilih untuk melakukannya. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya, sabda Nabi SAW: Maksudnya:
“Barangsiapa yang ada kemampuan untuk berkorban tetapi tidak melakukannya, janganlah dia hadir bersama kami di tempat sembahyang kami
Dalil-dalil di atas merupakan hujah kepada pensyariatan serta tuntutan Allah SWT untuk melakukan ibadah korban.
Namun dalam keadaan ramai umat Islam meraikan ibadah korban ini, ternyata ada segelintir pemikiran yang menganggap perbuatan mengorbankan haiwan termasuk dalam kategori tidak bermoral.
Malah mimpi Nabi Ibrahim AS berkenaan perintah untuk menyembelih anaknya Ismail AS dianggap sebagai mimpi yang bukan dari Allah SWT, tidak mungkin Allah mengeluarkan arahan kepada Nabi Ibrahim supaya membunuh anak sendiri.
Yang mengarahkan kejahatan hanyalah syaitan. Itulah beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh Siti Kassim di Facebook beliau pada 1 dan 10 september 2017 yang lalu.
Seharusnya sebagai seorang muslim kita menuntut ilmu dengan kaedah dan thuruq yang betul, bukannya dengan mentafsirkan ayat al-Quran dan hadis mengikut hawa nafsu sendiri.
Oleh itu, sebelum kita mengeluarkan apa kenyataan berkaitan dengan bidang yang luar dari kepakaran kita, maka rujuklah orang yang pakar dalam bidang tersebut, sebagai contoh sekiranya kereta kita rosak, maka seharusnya kita merujuk kepada mechanic kereta bukannya kepada pegawai perubatan. Justeru Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kalian tidak mengetahui”
(Surah an-Nahl: 43).
Kesimpulannya, setiap amal ibadah yang disyariatkan Allah SWT kepada hambanya adalah suatu perintah untuk menilai sejauh mana ketaatan dan kepatuhan kita sebagai seorang hamba.
Nabi Ibrahim AS memilih ketaatan dan kepatuhan kepada Allah berbanding cinta seorang ayah kepada seorang anak, maka peristiwa itu menjadi saksi kepada hebatnya pengorbanan dari ayah dan anak yang taat kepada perintah Allah SWT.
Kemajuan teknologi telah merubah cara manusia berkomunikasi. Jika dahulu, interaksi...
Sumber imej: https://medium.com/ Usaha-usaha mengembangkan ajaran Islam pada hari ini...
Sumber imej: https://www.ppsignature.com/ Perkahwinan adalah satu ikatan melalui akad nikah...
Sumber imej: Faiz Zaki/Shutterstock Kemerdekaan merupakan salah satu nikmat Allah...
Sumber imej: Ai Azimat atau tangkal merupakan sesuatu benda yang dipercayai memberikan tuah...