HADIS AHAD: DI MANA KEDUDUKANNYA

HADIS AHAD: DI MANA KEDUDUKANNYA

people reading holy quran

PENDAHULUAN

Seperti yang kita ketahui, Al-Quran dan hadis merupakan sumber rujukan utama bagi umat Islam untuk mengetahui asas pendalilan hukum-hakam di dalam Islam.

Hadis bermaksud semua perkara yang disandarkan kepada Rasulullah SAW sama ada dari segi perkataan, perbuatan dan pengakuan Baginda SAW.

Secara umumnya, berdasarkan kepada jumlah perawi yang meriwayatkan hadis, ulama membahagikan hadis kepada dua iaitu: hadis Mutawatir dan hadis Ahad.

Hadis Mutawatir adalah hadis yang diriwayatkan oleh sekumpulan perawi yang ramai pada setiap peringkat sehingga mustahil untuk mereka berpakat untuk menipu.

Hadis Ahad pula adalah hadis yang tidak mencapai tahap hadis Mutawatir. Artikel ini akan mengupas secara ringkas mengenai kedudukan hadis Ahad dalam Islam.

PEMBAHAGIAN HADIS AHAD

koran holy book muslims public item all muslims table

Secara umum Hadis Ahad terbahagi kepada tiga iaitu: masyhur‘aziz dan gharib.

Pertama, hadis masyhur merupakan hadis yang diriwayatkan oleh sekurang-kurang tiga orang perawi atau lebih di setiap peringkat ataupun salah satu peringkat sanadnya namun tidak mencapai had bilangan mutawatir.

Kedua, hadis ‘aziz iaitu hadis yang diriwayatkan oleh sekurang-kurangnya dua orang perawi di setiap peringkat ataupun salah satu peringkat sanadnya.

Ketiga, hadis gharib iaitu hadis yang diriwayatkan oleh sekurang-kurangnya seorang perawi di setiap peringkat ataupun salah satu peringkat sanadnya.

KEDUDUKAN HADIS AHAD DALAM ISLAM

islamic book koran

Penerimaan hadis Ahad sebagai dalil atau hujah adalah bergantung kepada sejauh mana ia menepati syarat hadis sahih iaitu:

  • pertama, sanad yang bersambung;
  • kedua, diriwayatkan oleh perawi yang thiqah (dipercayai) kerana bersifat adil (tidak fasiq) dan dhabit (kuat ingatan);
  • ketiga, tiada kecacatan pada hadis; keempat, tidak syaz atau tidak bercanggah dengan hadis lain yang lebih kuat darjat kesahihannya.

Berdasarkan syarat-syarat ini, umat Islam wajib menerima hadis Ahad yang menepati syarat hadis sahih sebagai dalil atau hujah dalam penentuan hukum syarak.

Pada zaman Imam al-Syafie, telah muncul satu golongan di Basrah yang menafikan kebenaran hadis ahad, sama ada mereka daripada golongan Syiah Rafidhah atau Muktazilah. Golongan ini mendakwa bahawa hadis tersebut tidak boleh dijadikan hujah kerana ia adalah sebuah khabar yang diragui kesahihannya.

Oleh itu, Imam al-Syafie telah menolak kekeliruan mereka dengan mengemukakan pelbagai hujah dan dalil daripada al-Quran, hadis, amalan sahabat, tabi’in dan ulamak mujtahidin di dalam kitab beliau yang masyhur iaitu kitab ‘al-Risalah’.

Antaranya ialah hadis daripada Abdullah bin Mas’ud RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Semoga Allah memperindah diri seorang hamba yang mendengar kata- kataku, lalu menghafalnya, memahaminya dan menyampaikannya kepada orang lain. Boleh jadi orang yang mendapat ilmu itu tidak begitu faham dan boleh jadi dia menyampaikannya kepada orang yang lebih faham daripadanya”.

Riwayat al-Tirmidzi dan Ibn Majah

Berdasarkan hadis ini, jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW membenarkan seseorang itu menyampaikan hadis kepada orang lain.

Hal ini secara langsung telah membuktikan bahawa riwayat daripada seorang perawi adalah hujah yang wajib diterima.

muslim women reading quran mosque during ramadan

Tambahan pula, Imam al-Syafie turut membalas hujah golongan ini dengan ancaman melalui hadis Nabi SAW terhadap kemunculan kumpulan antihadis yang hanya berpegang kepada al- Quran semata-mata dan mengingkari hadis.

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ubaidullah bin Abi Rafi, daripada bapanya bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Janganlah sesekali aku temui seseorang daripada kamu yang duduk bersandar di tempat duduknya, lalu apabila datang suatu arahan daripadaku, sama ada daripada perkara yang aku larang atau yang aku perintahkan, lantas dia berkata: ‘Kami tidak tahu. Apa yang kami dapati dalam kitab Allah (al-Quran) sahaja yang kami ikut.”

Riwayat Abu Dawud, al-Tirmidzi dan Ibn Majah

Selain itu, Imam al-Syafie juga menyebut bahawa Nabi SAW telah mengirimkan wakil Baginda ke pelbagai tempat untuk menyampaikan ajaran dan risalah Baginda.

indian cameleers camel driver with camel silhouettes dunes sunset jaisalmer rajasthan india

Sebagai contoh, Nabi SAW mengutuskan Qais bin ‘Asim, al-Zibriqan bin Badr dan Ibn Nuwairah ke kabilah masing- masing kerana ketiga-tiganya adalah orang yang jujur dan dipercayai.

Baginda turut mengutus Ibn Sa’id bin al-‘As ke Bahrain, Mu’az bin Jabal ke Yaman dan sebagainya.

Terdapat juga sebahagian ulama fiqah yang tidak beramal dengan sesetengah hadis Ahad, bukan kerana menolak kehujahannya, akan tetapi kerana faktor lain seperti terdapat hadis lain yang berlawanan dengannya, tidak mengiktiraf kelayakan perawi yang meriwayatkannya atau mereka mempunyai pandangan tertentu terhadap isi hadis tersebut.

KESIMPULAN

side view muslim teacher student teaching how read koran mosque

Berdasarkan kepada perbincangan ringkas di atas, dapatlah disimpulkan bahawa penerimaan terhadap hadis Ahad adalah bergantung kepada sejauhmana hadis Ahad memenuhi syarat- syarat hadis sahih.

Jika syarat tersebut dipatuhi maka ia diterima sebagai dalil dan hujah dalam pembentukan hukum syarak. Oleh itu, menolak untuk beramal dengan hadis Ahad adalah satu perbuatan yang salah dan bertentangan dengan prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Umat Islam perlu lebih berhati-hati dalam menerima sesuatu ilmu baharu tanpa merujuk kepada mereka yang ahli dalam bidang tersebut.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor