AWASI PROPAGANDA MEDIA SOSIAL!

AWASI PROPAGANDA MEDIA SOSIAL!

social media marketing concept marketing with applications 1

KEBANGKITAN platform media sosial dalam kehidupan seharian rakyat di negara ini sudah tidak dapat dinafikan lagi.

Menurut Digital 2023: Global Overview Report 2023, jumlah pengguna media sosial di Malaysia telah mencecah seramai 26.8 juta orang setakat Januari 2023 atau bersamaan dengan 78.5% daripada jumlah keseluruhan rakyat di negara ini.

Selain itu, purata masa saban hari yang dihabiskan oleh pengguna untuk menggunakan media sosial adalah 2 jam 47 minit manakala purata masa yang dihabiskan pengguna untuk menggunakan Internet pula adalah selama 8 jam 6 minit.

Berdasarkan statistik yang ditunjukkan itu, jelas menunjukkan bahawa revolusi teknologi dan kecanggihan peranti yang pesat berkembang telah membolehkan rakyat mendapat maklumat mahupun menyebarkan pandangan mereka dengan mudah.

Screenshot 2023 09 27 164620

Platform media sosial umpamanya Facebook, Twitter, Instagram, dan TikTok kini menjadi saluran komunikasi yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ada yang menggunakan untuk tujuan perniagaan secara dalam talian dengan harapan untuk mencari sumber pendapatan dan tidak kurang juga yang menggunakan media sosial sebagai gerbang maklumat dan medium untuk berinteraksi dengan orang lain.

Situasi ini juga sangat sinonim dalam perihal politik yang mana media sosial kini telah membuka satu lembaran luas kepada penyampaian informasi, pembabitan awam serta diskusi yang lebih menyeluruh.

Jika sebelum ini orang ramai tidak mempunyai platform bagi menyuarakan pandangan serta teguran mereka, kini dengan adanya platform sedemikian, mereka boleh berbuat demikian dengan begitu mudah, semudah di hujung jari mereka.

Kemudahan yang tersedia di hadapan mata mereka membuka ruang kepada sang politikus untuk memaksimumkan platform media sosial dalam menyebarkan dakyah ataupun propaganda mereka bagi menyampaikan mesej politik mereka dengan harapan bagi meraih sokongan pengundi.

ASIAN 1

Sifat keterbukaan platform media sosial ini juga turut mendorong content creator atau pencipta kandungan untuk tampil dengan pelbagai jenis kandungan menarik untuk tatapan audiens mereka.

Strategi mereka adalah untuk mencari pasaran dan audiens yang setia dengan jenamanya. Namun dalam keghairahan untuk mencari kandungan-kandungan yang dikehendaki, sejauhmanakah kandungan-kandungan yang ditonton atau dibaca itu benar-benar sahih ataupun lebih bersifat publisiti dan propaganda semata-mata?

Perlu ditegaskan tidak semua yang anda lihat atau dengar di platform media sosial adalah benar belaka. Ada yang dicipta atas dasar untuk meraih viewership dan tidak kurang juga yang dicipta bagi memberi gambaran positif kepada produk atau imej seseorang tokoh.

Malahan, terdapat juga percubaan oleh pihak tertentu untuk menyebarkan propaganda politik di media sosial sebagai strategi dalam menambat hati pengundi.

Screenshot 2023 09 27 155457
Sumber imej: BH Online

Pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) baru-baru ini membangkitkan kebimbangan mereka berhubung trend penyebaran kandungan memudaratkan yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

Menurut MCMC, mereka akan mengkaji semula kerangka kawal selia sedia ada ekoran berlakunya peningkatan tahap kandungan yang dieksploitasi oleh penjenayah dan mereka yang cuba menganggu-gugat keselamatan awam dan keharmonian negara.

Ini kerana terdapat beberapa aplikasi Over-The-Top (OTT) dan platform media sosial yang dilihat gagal mengawal selia penggunaan platform mereka sejajar dengan kepentingan nasional dan perundangan negara. Justeru, tindakan kawal selia yang lebih ketat dan campur tangan oleh pihak pengawal selia adalah diperlukan bagi melindungi kepentingan pengguna dan orang awam.

Tindakan bersama dan usaha yang diambil oleh MCMC adalah penting dalam memastikan masyarakat adalah dilindungi dan mempunyai satu persekitaran yang selamat dalam alam digital.

Langkah berkenaan juga akan dapat memastikan rasa kebertanggungjawapan yang lebih tinggi dan hormat kepada kedaulatan nasional dan pada masa yang sama, memperkasakan perlindungan kepada pengguna terhadap kemudaratan dalam talian, termasuk scam dan aktiviti penipuan.

Di sebalik lambakan kandungan dan maklumat yang bertebaran di media sosial, salah satu cabaran paling sukar adalah bagaimana untuk menentukan ketulenan atau kesahihan sesuatu mesej/propaganda yang disampaikan.

Media sosial membolehkan penyebaran berita palsu dengan cepat dan meluas, dan ini boleh mempengaruhi minda dan persepsi umum. Apabila ini berlaku, ia boleh mencetuskan kekeliruan dan kejadian yang tidak diingini.

people

Selain itu, media sosial juga menjadi platform untuk perpecahan politik dan perbahasan yang tak sihat. Komen-komen atau propaganda berbaur perkauman, agama, penghinaan ke atas institusi diraja (3R) serta penyebaran kebencian, dan retorik politik yang kasar sering kali berlaku dalam ruangan maya.

Ini boleh mencetuskan ketegangan antara kumpulan etnik dan agama, dan menghalang usaha pembangunan negara yang bersepadu. Cabaran tersebut sentiasa berubah-ubah kerana sumber maklumat sentiasa mengubah kaedah komunikasi rangkaian mereka dalam mewujudkan satu bentuk propaganda rangkaian yang tersusun dan sistematik.

Tiga (3) elemen utama dalam rangkaian propaganda perlu diketahui, iaitu manipulasi, maklumat palsu dan radikalisasi maklumat. Ketiga-tiga ini kini menjadi cabaran dalam proses demokrasi sesebuah negara dan aspek kemahiran digital juga mempercepatkan proses digitalisasi demokrasi di sesebuah negara.

Penggunaan dan penguasaan teknologi komunikasi dan media dalam kalangan pengguna media sosial semakin meningkat apabila beberapa kemahiran baharu diterokai dan dipraktikkan dalam mewujudkan satu bentuk rangkaian komunikasi propaganda yang mampu menjadi ancaman kepada keselamatan dan keharmonian sebuah sistem masyarakat yang sudah lama wujud.

Justeru, pengguna media sosial perlulah mengamalkan konsep tabayyun. Menurut Kamus Dewan (Edisi Keempat), tabayyun merujuk kepada sikap semak atau periksa sesuatu perkara terlebih dahulu sebelum disebarkan. Dalam Surah al-Hujurat Ayat 6 ada menyebut:

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

quran being held hands close up

Apa yang dinyatakan dalam Surah al-Hujarat itu adalah bertepatan kerana setiap maklumat yang diterima perlu diteliti terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti memfitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebencian.

Setiap individu perlulah bertanggungjawab dan menanggung amanah acap kali mahu memuat turun maklumat untuk dikongsi dalam media sosial. Ini kerana kandungan berkenaan boleh menjadi viral jika ada pihak tertentu yang mempunyai niat serta agenda tertentu serta cenderung membuat fitnah secara fabrikasi atau rekaan semata-mata.

Memang benarlah kita tidak dapat membaca niat atau fikiran tukang viral yang menyebarkan kandungan, namun sekurang-kurangnya kita sebagai pengguna boleh memanfaatkan akal fikiran untuk menyaring serta meneliti kandungan atau maklumat bagi menentusahkan sama ada ia tepat, berunsur fitnah mahupun suatu dakyah oleh pihak-pihak tertentu sebelum disebarkan kepada orang lain.

Sebagai rakyat yang celik, mereka akan dapat mengenal pasti ciri-ciri kandungan yang disebarkan itu sama ada telah ditokok tambah dengan maklumat yang tidak betul. Ingat, jika sesuatu benda itu nampak terlalu mudah untuk dipercayai, berkemungkinan besarnya ia adalah suatu kandungan palsu.

Rakyat perlu belajar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, berintegriti serta amanah dan tidak membiarkan salah faham kepada maklumat atau bahan yang dikongsi sehingga menyebabkan pencerobohan hak peribadi seseorang.

close up hand holding smartphone 01

Dalam pada itu, rakyat juga boleh memanfaatkan portal Sebenarnya.my yang dibangunkan oleh MCMC untuk melakukan semakan fakta bagi menapis maklumat-maklumat yang belum ditentusahkan.

Menerusi portal Sebenarnya.my, ia menawarkan dua (2) C iaitu Check – menyemak sebarang kandungan diterima yang belum ditentusahkan dan Channel – berkongsi sebarang berita tidak ditentusahkan kepada portal Sebenarnya.my bagi membolehkan MCMC  menentukan kesahihan dengan agensi-agensi yang berkaitan yang mempunyai bidang kuasa ke atas isu berkenaan.

WhatsApp Image 2023 09 27 at 16.50.39

Portal Sebenarnya.my memfokuskan kepada topik-topik berita tempatan/isu yang menjejaskan kepentingan awam atau nasional, yang mana kesahihan berita boleh ditentusahkan oleh saluran-saluran rasmi atau agensi-agensi Kerajaan (berpandukan kepada peranan agensi, bidang kuasanya serta kepakaran mereka). Sebenarnya.my kini telah menjadi salah satu sumber rujukan bagi orang ramai menentukan kesahihan sesuatu berita yang tular. 

Natijahnya, kesan ledakan maklumat, faktor globalisasi dan viral merupakan sebahagian daripada asam garam kehidupan masyarakat pada abad ke-21. Adalah menjadi tanggungjawab rakyat untuk memastikan platform media sosial terus digunakan sebagai penyalur maklumat yang positif.

Jangan sesekali mudah mempercayai sesuatu yang disampaikan bulat-bulat. Sebaliknya, sentiasa membudayakan amalan menyemak terlebih dahulu. Nescaya dengan pembudayaan sikap sedemikian, mampu melahirkan sebuah masyarakat yang cakna dan tahu membezakan antara sebuah berita yang sahih/benar daripada berita bersifat propaganda semata-mata.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor