ANCAMAN AKIDAH: FATWA AJARAN SESAT DI NEGERI SELANGOR

ANCAMAN AKIDAH: FATWA AJARAN SESAT DI NEGERI SELANGOR

thumbnail ummahtoday.com Recovered 01
Sumber imej: ummahtoday.com

Akidah adalah ikatan yang merupakan pegangan asas bagi umat Islam. Keruntuhan akidah boleh menyebabkan runtuhnya agama dalam diri seseorang.

Oleh itu, perkara utama yang perlu dipelajari oleh umat Islam adalah ilmu akidah bagi memastikan agamanya kekal hingga ke akhir hayat. Mutakhir ini, timbul pelbagai ancaman-ancaman akidah yang menyerang umat Islam sama ada ia datang daripada pihak luar ataupun daripada umat Islam sendiri yang berusaha menyeleweng akidah dan kepercayaan masyarakat.

Negeri Selangor mencatatkan statistik ajaran sesat yang tertinggi di Malaysia. Sehingga kini sahaja, sebanyak 45 ajaran sesat telah difatwakan di negeri Selangor.

Terkini terdapat dua ajaran sesat yang telah difatwakan sebagai menyeleweng pada tahun 2022. Ajaran tersebut adalah:

  1. Fahaman dan ajaran Wan Noor Hayati binti Wan Alias (Ibu Yati)
  2. Fahaman dan Ajaran Asmaul Husna oleh Dr. Wan Maseri binti Wan Mohd

Kedua-dua fahaman ini adalah menyeleweng kerana mengandungi elemen-elemen yang jelas bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sebagai contoh, ajaran Ibu Yati membawa doktrin-doktrin yang menyeleweng seperti:

  • Mendakwa Allah SWT mempunyai tiga anak perempuan iaitu Al-Latta, Al-Uzza dan Al-Manna.
  • Menyalahkan tafsir ayat al-Quran seperti berikut:
  • Kiblat sebenar ialah di Becca (Petra), Jordan.
  • Tidak perlu solat.
  • Judi diharuskan.
  • Mendakwa salah satu cara menyembah tuhan yang satu ialah dengan membaca lafaz Ila Ha Ila Ra Ila Ma.
thumbnail sinar harian 01
Sumber imej: sinar harian

Manakala ajaran Asmaul Husna oleh Dr. Wan Maseri membawakan kefahaman seperti:

  • Menafikan kewujudan Nabi Muhammad SAW.
  • Melarang berselawat kepada Nabi Muhammad SAW dan menafikan syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat.
  • Mendakwa bahawa hanya Ajaran Asmaul Husna sahaja merupakan ajaran Islam yang sebenar dan mengkafirkan semua orang yang tidak mengikut ajarannya.
  • Mendakwa Ajaran Asmaul Husna itu diterima terus daripada Allah SWT melalui ilham kepada Dr. Wan Maseri binti Wan Mohd.
  • Menafikan kemunculan Dajjal dan Imam Mahdi.

Hasil penelitian daripada ajaran-ajaran sesat yang ada di negeri Selangor ini, didapati bahawa mereka gemar menyeleweng perkara-perkara asas yang berkaitan dengan:

  1. Ketuhanan – mengaku dirinya sebagai Tuhan
  2. Kerasulan Nabi Muhammad SAW – mengaku dirinya menjadi Nabi atau menafikan kerasulan Nabi Muhammad SAW
  3. Imam Mahdi – mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi
  4. Ibadat – menafikan kefarduan solat dengan menyatakan bahawa solat tidak wajib
  5. Penurunan Wahyu – mendakwa menerima wahyu daripada Allah
thumbnail koran holy book muslims

Daripada semua elemen-elemen ini, didapati bahawa pendakwaan sebagai Imam Mahdi merupakan perkara yang paling gemar dimainkan oleh pengasas ajaran sesat terkini.

Kehidupan kita di akhir zaman ini dipercayai menjadi faktor mengapa ajaran sesat sering muncul dengan mendakwa mereka sebagai Imam Mahdi.

Lebih-lebih lagi, kedatangan virus Covid-19 yang melanda dunia baru-baru ini menguatkan lagi dakwaan mereka bahawa dunia sudah hampir berada di penghujungnya dan umat Islam perlu berusaha mencari kumpulan yang berupaya melindungi mereka daripada kerosakan duniawi.

Tidak dinafikan bahawa tuntutan Islam yang sebenar adalah mengelakkan diri daripada fitnah akhir zaman. Namun begitu, perihal Imam Mahdi ini telah dinyatakan ciri-cirinya dalam hadis Nabi SAW daripada pelbagai riwayat yang mencapai tahap mutawatir secara makna (mutawatir ma’nawi).

Antara ciri-ciri Imam Mahdi yang disebutkan dalam hadis adalah Imam Mahdi bertutur dalam bahasa Arab, bernama Muhammad bin Abdullah, dilantik dan dibaiah oleh umat Islam melalui wakil-wakil mereka, bukannya melantik dirinya sendiri dan lain-lain. Hal ini jelas menunjukkan kebatilan ajaran-ajaran yang mendakwa pengasasnya sebagai Imam Mahdi.

Di sini terzahir pentingnya menuntut ilmu agama dengan mendalam agar tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan sedemikian.

biblical scene jesus christ drinking water with his hands

Membezakan Ajaran yang Benar dan Menyeleweng

Allah SWT telah menjelaskan dalam al-Quran bahawa pegangan yang diamalkan oleh majoriti orang Islam adalah benar. Oleh itu, orang Islam hendaklah mengamalkan ajaran yang telah disepakati oleh para ulama secara ijmak. Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa’ ayat 115:

وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَىٰ وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّىٰ وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ ۖ وَسَاءَتْ مَصِيرًا

Maksudnya: Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran petunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

Dalam sebuah hadis yang panjang daripada Huzaifah al-Yamani RA:

قُلْتُ فَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ ‏”‏ نَعَمْ، دُعَاةٌ عَلَى أَبْوَابِ جَهَنَّمَ، مَنْ أَجَابَهُمْ إِلَيْهَا قَذَفُوهُ فِيهَا ‏”‏‏.‏ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ صِفْهُمْ لَنَا‏.‏ قَالَ ‏”‏ هُمْ مِنْ جِلْدَتِنَا، وَيَتَكَلَّمُونَ بِأَلْسِنَتِنَا

Maksudnya: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: Adakah setelah kebaikan itu ada keburukan? Sabda Nabi SAW: Akan muncul pendakwah-pendakwah yang menyeru ke neraka jahannam, barangsiapa yang menerima seruan mereka maka mereka akan menjerumuskannya ke dalam jahannam. Aku bertanya: Wahai Rasulullah sebutkan ciri-ciri mereka? Rasulullah menjawab: Mereka dari golongan kita dan berbicara dengan lisan-lisan kita.

(Riwayat al-Bukhari, No. 7084)

dancing concert while singer is performing surrounded with lights

Rasulullah SAW memberikan peringatan bahawa di akhir zaman ini akan muncul kelompok-kelompok yang menggunakan al-Quran dan hadis untuk kepentingan tertentu.

Mereka menyeleweng tafsiran al-Quran dan hadis sehingga menjadikannya pelik dan bertentangan dengan kefahaman majoriti ulama.

Hal ini boleh menyebabkan umat Islam yang tidak kuat pegangan akidahnya atau ilmu agamanya terpengaruh dengan perkara tersebut kerana menganggap itu adalah tuntutan daripada al-Quran dan hadis itu.

Nabi SAW sendiri telah memberi jaminan bahawa ilmu agama ini akan dibawa oleh mereka yang dipercayai bagi setiap generasi. Ilmu ini juga penting bagi menangkis takwilan-takwilan menyeleweng daripada orang jahil sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadis daripada Ibrahim bin Abd al-Rahman al-’Uzri, sabda Nabi SAW:

يحمِلُ هذا العِلمَ من كلِّ خلَفٍ عدولُه ينفونَ عنهُ تحريفَ الجاهِلينَ وانتحالَ المبطلينَ وتأويلَ الغالينَ

Maksudnya: Ilmu ini akan dibawa oleh mereka yang adil dalam setiap generasi. Mereka akan menolak penyelewengan yang dibuat oleh orang-orang jahil, pemalsuan orang-orang batil dan takwilan orang-orang yang melampaui batas.

(Riwayat al-Baihaqi)

divination fortune telling created with generative ai technology

Penyelewengan akidah adalah sangat bahaya kerana terpesongnya pemikiran ini sukar atau mengambil masa yang lama untuk dipulihkan.

Oleh sebab itu, mereka yang terpengaruh dengan ajaran yang menyeleweng akan menjalani sesi kaunseling akidah yang dikenali sebagai istitabah dalam tempoh tertentu bagi menjelaskan akidah yang sebenar.

Berbeza dengan kejahilan dalam isu hukum-hakam fiqah, cukup sekadar diberikan penjelasan beserta dalil-dalil untuk mengubah kejahilan mereka. Hal ini kerana apabila ajaran yang menyeleweng telah tersemat dalam minda mereka, proses kaunseling akidah itu mengambil masa yang lama untuk diubah.

Kesimpulan

Menjadi tanggungjawab pihak ulil amri untuk mengambil pendekatan menyekat ‘al-wiqayah berbanding sekadar mengubati ‘al-’ilaj. Ajaran sesat hendaklah diambil tindakan penguatkuasaan dengan menangkap mereka yang terlibat khususnya pengasas sesuatu ajaran tersebut.

Selain itu, langkah pencegahan juga boleh dilakukan dengan menguatkan pengajian ilmu akidah dalam kalangan masyarakat. Sebaiknya, pengajian akidah ini dimulakan seawal pelajar sekolah rendah bagi memastikan akidah mereka mantap dan tidak mudah dipesongkan.

Mudah-mudahan akidah umat Islam khususnya di negeri Selangor terpelihara daripada sebarang penyelewengan.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor