MAIS PERUNTUKKAN RM25 JUTA TANGANI MASALAH SOSIAL

MAIS PERUNTUKKAN RM25 JUTA TANGANI MASALAH SOSIAL

377727832 687492529962616 6384832491005709626 n
Shah Alam, 10 Sept – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan sebanyak RM25 juta dari peruntukan zakat asnaf riqab untuk tahun ini bagi membantu dan membimbing golongan terbabit yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan dan pencegahan selain pelbagai bantuan lain supaya mereka kembali ke pangkal jalan.
 
MAIS menyantuni 2,205 golongan asnaf riqab di Negeri Selangor melalui bimbingan dan bantuan kebajikan bagi golongan terbabit. MAIS juga telah melantik seramai 143 orang Guru Pembimbing Al-Riqab bagi membantu mereka kembali ke jalan yang benar dan diredhai.
 
Peruntukkan RM25 juta diberikan berdasarkan sumbangan geran pemulihan kepada Rumah Pemulihan Riqab, Program Kursus dan Latihan Asnaf Riqab, Perkhidmatan Guru Pembimbing Riqab dan Sumbangan Kebajikan kepada asnaf riqab yang terkesan (bencana alam dan kematian pengurusan jenazah) juga termasuk program-program pemulihan dan pendidikan yang dilaksanakan oleh tiga Rumah Pemulihan Majlis dan 25 buah Rumah Pemulihan ar-Riqab di bawah MAIS yang berperanan membantu pemulihan mereka yang mengalami masalah sosial dari pelbagai kategori.
 
Asnaf riqab merupakan seseorang yang terbelenggu dengan masalah sosial dan masalah aqidah seperti penagihan dadah, sumbang mahram, persetubuhan haram dan orang Islam yang terpesong agamanya. Bagi memberi peluang umat Islam mendekati golongan asnaf riqab, MAIS mengambil inisiatif menganjurkan Kempen Bulan Pembebasan Riqab 2023 yang diadakan bermula 1 September sehingga 30 September 2023.
 
Pelancaran Kempen Bulan Pembebasan Riqab 2023 disempurnakan hari ini oleh Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi MAIS dalam Program Multaqa Murabbi Riqab dan Majlis Perasmian Kempen Bulan Pembebasan Riqab 2023.
 
Turut hadir ialah YBhg Tan Sri Dato’ Hashim Meon, Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS; Dr Haji Ahmad Shahir Makhtar, Setiausaha MAIS, Puan Hajjah Nurhani Salwa Jamaluddin, Timbalan Setiausaha MAIS (Dasar dan Pengurusan) dan Ustaz Suhaimi Ismail, Pengarah Pembangunan Sosial MAIS.
 
Pelbagai program dan aktiviti yang dirangka antaranya ialah Forum Riqab, Ceramah Kesedaran Kesihatan, Program Bimbingan Asnaf Riqab dan pelbagai program secara fizikal dan secara online.
 
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor