MAIS LANCAR PELAN ANTI RASUAH, BENTUK WARGA KERJA BERINTEGRITI TINGGI

MAIS LANCAR PELAN ANTI RASUAH, BENTUK WARGA KERJA BERINTEGRITI TINGGI

420177963 756866829691852 3366631266104069362 n
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melancarkan Pelan Anti Rasuah khusus untuk membentuk warga kerja bebas rasuah dan berintegriti tinggi.
 
Pelancaran pelan anti rasuah itu disempurnakan oleh YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi MAIS dalam Majlis Perutusan Pengerusi MAIS Tahun 2024 di sini hari ini.
 
Pelan Anti Rasuah MAIS menggariskan lima bidang utama iaitu Pengurusan Pentadbiran, Perolehan, Projek, Agihan dan Sumbangan Baitulmal. Sebanyak 39 Inisiatif telah diwujudkan bagi mencegah gejala rasuah berlaku dalam agensi Islam yang melibatkan seluruh warga MAIS, agensi dan anak syarikat serta institusi yang menjalankan fungsi MAIS seperti masjid, surau dan sekolah agama Islam.
 
MAIS berharap agar pelan ini dapat dipatuhi oleh setiap warga kerja MAIS bagi memastikan institusi agama Islam di negeri Selangor sentiasa cekap, telus dan berintegriti selain peningkatan kawalan daripada aspek pengauditan dan kawalan risiko dalaman serta luaran bagi memastikan kredibliti dan integriti organisasi sentiasa terpelihara.
 
MAIS hari ini juga menyampaikan sumbangan kepada Universiti Islam Selangor (RM300,000.00), Maahad Tahfiz Islam Selangor Alam Impian (RM100,000.00), Tabung Infaq Jariah Umat Islam Selangor (RM98,423.00), Jabatan Mufti Negeri Selangor (RM50,000.00), Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (RM50,000.00), PIBG Sekolah Agama Menengah Parit Baru (RM10,000.00) dan Sekolah Rendah Agama An-Nur Kanchong Tengah (RM10,000.00).
 
Sumbangan yang menggunakan peruntukan Baitulmal itu bertujuan untuk membantu melancarkan operasi maslahah ummah dan aktiviti pengimarahan Islam khususnya di negeri Selangor.
 
Di majlis yang sama, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd menyampaikan Sumbangan Wakaf Tunai Korporat berjumlah RM50,000.00 kepada Perbadanan Wakaf Selangor (PWS).
 
Manakala PWS pula menyerahkan sumbangan wakaf kepada Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS) bagi menaiktaraf bilik studio rakaman MSSAAS berjumlah RM56,176.00 dan pengubahsuaian perpustakaan MSSAAS berjumlah RM158,016.00.
Sementara itu, Pengerusi MAIS dalam ucapan Perutusan Pengerusi MAIS Tahun 2024 turut menyeru kepada semua warga kerja MAIS, Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam, Agensi dan Anak Syarikat agar meningkatkan produktiviti kerja dengan lebih baik dalam semua perkara terutama aspek tadbir urus, minat menuntut ilmu dan kesegeraan dalam tindakan.
Tambahnya lagi, beliau berharap agar MAIS bersama Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor, Agensi dan Anak Syarikat MAIS dapat meneruskan momentum kecemerlangan yang natijahnya akan menghasilkan satu kejayaan yang bermakna untuk umat Islam di negeri Selangor.
 
Hadir sama dalam majlis ialah YAD Dato’ Setia Prof. Madya Dr. Haji Anhar Haji Opir, Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor; YB Dato’ Setia Haris Kasim, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor merangkap Anggota MAIS; YB Dr Mohammad Fahmi Ngah, Exco Agama Islam & Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor merangkap Anggota MAIS; YDM Tengku Seri Andika Diraja Tengku Dato’ Iskandar Shah Tengku Ismail Shah Alhaj, Anggota MAIS; Dato’ Prof Madya Dr Haji Mohd Farid Ravi Abdullah, Anggota MAIS; Tan Sri Dato’ Hashim Meon, Anggota MAIS dan Dr Haji Ahmad Shahir Makhtar, Setiausaha MAIS.
 
Turut hadir ialah Pengurusan Tertinggi MAIS, Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor, Agensi dan Anak Syarikat MAIS.
 
 

Add Your Heading Text Here

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor