MAIS GALAK ORANG RAMAI SUCIKAN HARTA ANJUR KEMPEN KESEDARAN WANG TIDAK PATUH SYARIAH

MAIS GALAK ORANG RAMAI SUCIKAN HARTA ANJUR KEMPEN KESEDARAN WANG TIDAK PATUH SYARIAH

402151756 722553053123230 8766390662894142763 n
SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini melancarkan sebuah kempen yang dinamakan Kempen Bulan Kesedaran Penyaluran Wang Tidak Patuh Syariah ke Baitulmal MAIS bagi memberi kesedaran kepada orang ramai untuk mengurus harta secara bijaksana sebagaimana yang dituntut oleh hukum syarak.
 
Pelancaran disempurnakan oleh YAD Tan Sri Dato’ Seri Abd Aziz Mohd Yusof, Pengerusi MAIS dalam Majlis Perasmian Seminar Harta Halal Harta Berkat dan Pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Penyaluran Wang Tidak Patuh Syariah ke Baitulmal MAIS Tahun 2023 di sini hari ini.
 
Menerusi kempen itu yang dijadualkan bermula 15 November sehingga 13 Disember 2023, MAIS mengajak orang ramai untuk membersihkan harta yang diperolehi agar kehidupan yang dilalui penuh dengan keberkatan. MAIS berharap agar masyarakat mempunyai kesedaran yang tinggi dalam memastikan setiap aktiviti atau perniagaan yang diceburi adalah bertepatan dengan hukum syarak.
 
Wang Tidak Patuh Syariah merupakan wang atau harta tidak patuh syariah yang diperoleh daripada sumber yang haram seperti transaksi riba, hasil jualan barang curi, duit rasuah, hasil rompakan, duit loteri dan perlindungan insurans konvensional.
 
Sebagai sebuah organisasi ulung yang bertanggungjawab mentadbir dan memegang amanah harta-harta orang Islam, MAIS berperanan untuk menyampaikan maklumat dan pengetahuan kepada seluruh umat Islam betapa pentingnya mengurus harta dengan sempurna berlandaskan hukum syarak.
 
Hasil daripada terimaan wang tidak patuh syariah ini digunakan untuk maslahah umum seperti bantuan pendidikan, perubatan dan pembinaan infrastruktur.
Bagi tahun 2022, MAIS telah menerima kutipan Wang Tidak Patuh Syariah sebanyak RM1.8juta daripada kira-kira 2,000 orang berbanding tahun sebelumnya iaitu pada tahun 2021 adalah sebanyak RM1.5 juta.
 
Menerusi kempen kesedaran ini, MAIS mensasarkan kutipan sebanyak RM 2.5 juta terimaan wang tidak patuh syariah daripada orang ramai.
 
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berhubung aktiviti kempen ini bolehlah mengikuti perkembangan di media sosial MAIS iaitu Facebook Majlis Agama Islam Selangor.
 
Bagi masyarakat yang ingin melupuskan Wang Tidak Patuh Syariah bolehlah dibuat secara tunai atau cek di kaunter Baitulmal ibu pejabat atau pejabat-pejabat agama Islam daerah Selangor atau melalui sistem bayaran online di laman web MAIS iaitu www.mais.gov.my.
 
MAIS juga telah melantik pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang merupakan ejen kutipan Wang Tidak Patuh Syariah semenjak tahun 2020 dan masyarakat boleh membuat bayaran di semua premis kaunter LZS atau melalui e-Zakat Pay di laman web LZS.
 
Semoga seluruh umat Islam dapat menyucikan harta melalui pelupusan Wang Tidak Patuh Syariah ke Baitulmal MAIS dan mudah-mudahan diberkati oleh Allah SWT.
 
 

Add Your Heading Text Here

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor