PELIHARA KEBERKATAN : JAUHI HARTA TIDAK PATUH SYARIAH
PELIHARA KEBERKATAN : JAUHI HARTA TIDAK PATUH SYARIAH
Menurut Zulkifli Hasan (t.t.), ciri-ciri harta tidak patuh syariah adalah seperti berikut:
- Harta yang dihasilkan daripada aktiviti yang jelas bertentangan dengan syarak;
- Harta yang diperselisihkan hukumnya antara halal dengan haram; dan
- Harta yang berlaku percampuran antara yang halal dengan haram dari sudut ‘ain (benda) atau perbuatan.
Contohnya ialah hasil yang diperoleh daripada aktiviti yang haram seperti hasil jualan anggur kepada pembuat arak, hasil upah membawa arak daripada kilang ke pasaraya yang menjual arak serta hasil jualan senjata kepada musuh Islam.
Dalam konteks kewangan, contohnya adalah faedah yang diperolehi hasil deposit di dalam akaun bank konvensional.
Menurut Mohd Sabree & Khairul Azhar (2019), Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti (SC) meletakkan kriteria sesebuah sekuriti syarikat diklasifikasikan sebagai tidak patuh syariah sekiranya aktiviti teras syarikat tidak selaras dengan syariah seperti berikut:
- Perkhidmatan kewangan yang berteraskan riba (faedah);
- Perjudian dan pertaruhan;
- Pengeluaran atau penjualan barangan yang tidak halal atau barangan yang berkaitan;
- Insurans konvensional;
- Aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan syariah;
- Pengeluaran atau penjualan barangan yang berasaskan tembakau atau barangan yang berkaitan;
- Pembrokeran atau jual beli sekuriti tidak patuh syariah; dan
- Aktiviti lain yang didapati tidak selaras dengan syariah.
Bagi syarikat yang menjalankan aktiviti bercampur-campur antara aktiviti yang selaras dengan syariah dan sebaliknya, (MPS) mempertimbangkan dua kriteria tambahan iaitu:
- Pandangan masyarakat umum tentang imej syarikat berkenaan mestilah baik; dan
- Aktiviti teras syarikat mempunyai kepentingan dan maslahah kepada umat islam dan negara manakala unsur yang tidak selaras dengan syariah adalah amat kecil dan melibatkan perkara ‘umum balwa’, uruf dan hak-hak masyarakat bukan islam yang diperakui oleh islam.
Zaharudin (2010) pula menyatakan, ulama kontemporari bersepakat menyatakan bahawa institusi kewangan Islam dilarang menyediakan perkhidmatan atau kemudahan kepada sesuatu urusan yang haram.
Bahkan, syarikat yang menjalankan aktiviti-aktiviti yang tidak diharuskan syarak atau terlibat dalam urusan transaksi yang haram juga tidak dibenarkan membuka akaun-akaun kewangan Islam seperti akaun semasa (current account) atau akaun deposit (deposit account).
Hal ini kerana, sekiranya institusi kewangan Islam membenarkan pembukaan akaun bagi aktiviti yang tidak diharuskan syarak, maka institusi tersebut boleh dianggap bersubahat atau terlibat dalam aktiviti haram tersebut.
JENIS-JENIS HARTA TIDAK PATUH SYARIAH
Jenis-jenis harta tidak patuh syariah dikategorikan seperti berikut:
(a) Harta Diperolehi hasil daripada Benda yang Dikategorikan Haram
Harta yang diperolehi melalui transaksi dalam sistem riba termasuk perbankan dan insuran konvensional insuran, perjudian, penjualan produk tidak halal dan saham-saham atau sekuriti- sekuriti yang berasaskan riba juga termasuk dalam kategori ini.
(b) Harta Diperolehi Melalui Sumber yang Tidak Menepati Kehendak Syariah
Harta ini merujuk kepada apa sahaja jenis aset yang pada asalnya halal dan sah serta bukan kategori haram tetapi ianya menjadi haram akibat daripada cara mendapatkannya yang tidak menepati kehendak syarak.
Harta tidak patuh syariah dalam kategori ini merujuk kepada apa-apa aset yang didapati melalui penipuan atau kegiatan jenayah seperti rasuah, penyelewengan, harta curi, pecah amanah dan rompakan.
(c) Harta Syubhah
Harta syubhah merujuk kepada status atau kedudukan benda atau aset tersebut yang diragui.
Di antara contoh harta syubhah ialah seperti bayaran pampasan lewat bayar instrumen kewangan Islam dan status pelaburan ASN dan ASB.
Dalam kategori ini, terdapat fatwa yang membenarkan dan terdapat juga fatwa yang mengharamkannya.
Walaupun secara umumnya kita dibenarkan untuk memilih mana-mana fatwa kerana ianya tidak mengikat melainkan sekiranya digazetkan, adalah lebih baik harta syubhah ini tidak digunakan untuk tujuan peribadi atau ianya menjadi hakmilik kita.
Ini bertepatan dengan hadis berkenaan dengan status harta syubhah daripada An-nu’man bin Basyir r.a. katanya : aku mendengar Rasulullah Sallallahualaihiwasallam bersabda:
الحَلَالُ بَيِّنٌ، والحَرَامُ بَيِّنٌ، وبيْنَهُما مُشَبَّهَاتٌ لا يَعْلَمُهَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى المُشَبَّهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وعِرْضِهِ
”Halal itu jelas dan haram itupun jelas dan di antara kedua-duanya itu (terdapat) perkara-perkara yang syubhah, ramai dari kalangan manusia tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga diri daripada perkara syubhat, (maka) dia telah membersihkan agama dan kehormatannya”.
(Riwayat al-Bukhari: 52)
Menurut (Mohd Rofaizal & Muhamad Ismail, 2017), hadis di atas memberi petunjuk kepada umat Islam untuk menjauhi perkara-perkara syubhah kerana dibimbangi akan terjebak ke dalam perkara-perkara yang haram.
Meskipun perkara yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas melalui nas-nas al-Quran dan hadis, akan tetapi di antara kedua-duanya ada perkara syubhah atau kesamaran yang tidak diketahui oleh ramai orang.
Umpamanya harta seperti wang atau emas yang dijumpai di jalan atau di mana-mana.
Sekiranya diketahui pemiliknya, ianya perlu dipulangkan semula dan jika tidak diketahui ianya perlu diserahkan kepada Baitulmal atau pihak berautoriti agar ianya boleh digunakan untuk kemaslahatan umum.
Pendahuluan Secara asasnya, Allah SWT menjadikan manusia hidup secara berpasangan...
Kedudukan raja-raja Melayu di Malaysia termaktub dalam dua buah dokumen...
Pengenalan Petua dan khurafat merupakan dua konsep yang sering dibincangkan...
Ketika dunia dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH 370 pada 8...
Isu Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. atau...