WASPADA DENGAN SAMBUTAN HARI GHADIR

WASPADA DENGAN SAMBUTAN HARI GHADIR

images 1
Sumber imej: www.voaindonesia.com

‘Idul Ghadir atau Perayaan Hari Ghadir merupakan hari kebesaran yang disambut oleh Syiah Imamiyah pada setiap 10 Zulhijah. Hari ini merupakan hari yang dipercayai Syiah Imamiyah bahawa Ali bin Abi Talib RA mendapat lantikan rasmi daripada Rasulullah SAW sebagai pengganti dan pewaris Baginda SAW. Peristiwa ini turut dikenali sebagai peristiwa Ghadir Khum.

Diriwayatkan oleh Al-Saduq bahawa pada 18 Zulhijah tahun 10 Hijrah, Rasulullah SAW ketika itu sedang dalam perjalanan pulang daripada selesai menunaikan haji di Mekah. Sesampainya Baginda SAW ke satu tempat yang bernama Khum, di antara Mekah dan  Madinah, Baginda SAW memberhentikan rombongan yang merupakan penduduk Madinah, daripada kalangan Muhajirin dan Ansar. Baginda SAW kemudian berdiri bersama Ali bin Abi Talib RA kemudian mengangkat tangan Ali bin Abi Talib RA, seraya bersabda:

“Sesungguhnya aku mengingatkan kamu kepada dua perkara yang berat, iaitu Al-Quran, dan Ahli Baitku. Sesungguhnya keduanya tidak akan berpisah sehinggalah bertemu denganku di syurga. Siapa yang dahulunya aku adalah mawlanya, maka Ali adalah mawlanya. Ya Allah, walikanlah sesiapa yang mewalikannya, bantulah sesiapa yang membantunya, musuhilah sesiapa yang memusuhinya, rendahkanlah sesiapa yang merendahkannya, dan berikanlah kebenaran kepadanya di mana sahaja dia berada”.

Syiah sangat berpegang dengan riwayat ini, malahan mereka sangat taksud dengan peristiwa ini. Sehingga Al-Qummi di dalam tafsirnya meriwayatkan daripada Al-Saduq, bahawa setelah Baginda SAW mengucapkan ucapan ini, Rasulullah SAW memandang ke arah langit dan berkata:

“Ya Allah, bukankah aku telah sampaikan?”.

Kemudian Jibril AS turun kepada Baginda SAW, menyampaikan ayat 3 daripada surah Al-Maidah, iaitu:

Pada hari ini Aku telah menyempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku cukupkan bagi kamu nikmat-Ku, dan Aku redha bagi kamu Islam sebagai agama”.

Ayat yang masyhur ini didakwa Al-Qummi bahawa kesempurnaan agama yang disebutkan di dalam ayat, mengisyaratkan kepada pelantikan Ali bin Abi Talib RA sebagai pengganti Rasulullah SAW. Tidak turun ayat ini, hanya setelah Baginda Rasulullah SAW mengumumkan pelantikan Ali bin Abi Talib RA di hadapan seluruh rombongan Baginda SAW.

4c3n6b8780885b2bmb7 800C450
Sumber imej: https://parstoday.ir/

Dengan demikian, Syiah membesarkan hari ini sejak daripada kurun ke-3 Hijrah. Al-Mas’udi mendakwa bahawa keturunan Ali bin Abi Talib RA, dan pengikut Ali bin Abi Talib RA sangat merayakan hari ini. Al-Kulaini turut mendakwa bahawa perayaan Hari Ghadir disambut oleh Ali Al-Rida, individu yang didakwa sebagai Imam Maksum ke-8 di sisi Syiah Imamiyah Mazhab Imam Dua Belas.

Daripada zaman pemerintahan Syiah Ismailiyyah Safavid di Iran, sehingga kini, perayaan ini masih disambut secara besar-besaran. Bandar suci Najaf merayakan hari ini dengan pesta di Masjid Ali Bin Abi Talib RA, dengan pengisian ibadah dan kuliah oleh para penceramah Syiah yang terkemuka.

4c0vc43ca3e77c23zma 800C450
Sumber imej: https://parstoday.ir/

Syiah turut mengkhususkan Hari Ghadir ini dengan ibadah yang khusus. Di antaranya ialah solat sunat ‘Idul Ghadir yang dilakukan pada solat Zohor. Al-Tusi meriwayatkan di dalam Tahzibul Ahkam, bahawa solat ini didirikan dua rakaat, dan dalam setiap rakaat setelah membaca Al-Fatihah, dibacakan 10 kali surah Al-Ikhlas, kemudian 10 kali ayatul Kursi, dan dihabiskan dengan 10 kali surah Al-Qadr. Al-Tusi turut menukilkan bahawa solat ini mengandungi pahala setaraf dengan 100 kali haji, 100 kali umrah dan dijamin dicukupkan semua keperluan di dunia dan di akhirat.

Selain daripada solat sunat ‘Idul Ghadir, Syiah juga mendakwa sunat hukumnya untuk berpuasa Hari Ghadir, Amalan ini berdasarkan hadis yang berbunyi:

“Sesiapa yang berpuasa pada 18 Zulhijah (Hari Ghadir) maka Allah SWT akan menuliskan baginya pahala seolah-olah berpuasa selama 6 bulan”.

4c3n91a1d84b262bmba 800C450
Sumber imej: https://parstoday.ir/

Hari Ghadir juga merupakan salah satu daripada empat hari raya Syiah (‘Idul Fitri, ‘Idul Adha, ‘Idul Ghadir dan Hari Jumaat) yang disunatkan untuk membaca doa Nudbah. Doa ini merupakan doa yang disandarkan kepada Ja’far Al-Sadiq. Di dalamnya mengandungi unsur rintihan, tangisan dan memohon pertolongan kepada Muhammad bin Al-Hasan Al-Mahdi. Di dalamnya juga terdapat penyebutan berkenaan pelantikan Ali bin Abi Talib RA sebagai pengganti Rasulullah SAW.

Perayaan ini, pada hakikatnya bukanlah satu perayaan yang berasaskan daripada sumber-sumber yang sahih. Hadis Ghadir Khum dan hadis Al-Tsaqalayn yang dijadikan sumber asas Syiah untuk memperbesarkan peristiwa pelantikan Ali bin Abi Talib RA pada hakikatnya tidak seperti yang didakwa Syiah. Peristiwa Ghadir Khum ini berlaku ketika ada beberapa Sahabat R.Anhum yang mempertikaikan keputusan Ali bin Abi Talib RA dalam pembahagian ghanimah dari Yaman. Kejadian ini tidak bermakna lantikan pengganti Rasulullah SAW, kerana hal yang sebesar itu selayaknya disebut Baginda SAW dalam Khutbah Wada’ yang melibatkan semua umat Islam, bukan hanya penduduk Madinah dari kalangan Muhajirin dan Ansar sahaja. Terlalu banyak riwayat-riwayat lain yang membenarkan lantikan Abu Bakar RA, hatta Ali bin Abi Talib RA menerima pelantikan Abu Bakar RA sebagai pengganti Rasulullah SAW.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor