PELIHARA KEBERKATAN : JAUHI HARTA TIDAK PATUH SYARIAH

PELIHARA KEBERKATAN : JAUHI HARTA TIDAK PATUH SYARIAH

png business proposal purchase hands holding money 1024x683 1
Institusi kewangan Islam dilarang menyediakan perkhidmatan atau kemudahan kepada sesuatu urusan yang haram.

Menurut Zulkifli Hasan (t.t.), ciri-ciri harta tidak patuh syariah adalah seperti berikut:

  • Harta yang dihasilkan daripada aktiviti yang jelas bertentangan dengan syarak;
  • Harta yang diperselisihkan hukumnya antara halal dengan haram; dan
  • Harta yang berlaku percampuran antara yang halal dengan haram dari sudut ‘ain (benda) atau perbuatan.

Contohnya ialah hasil yang diperoleh daripada aktiviti yang haram seperti hasil jualan anggur kepada pembuat arak, hasil upah membawa arak daripada kilang ke pasaraya yang menjual arak serta hasil jualan senjata kepada musuh Islam.

Dalam konteks kewangan, contohnya adalah faedah yang diperolehi hasil deposit di dalam akaun bank konvensional.

Menurut Mohd Sabree & Khairul Azhar (2019), Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti (SC) meletakkan kriteria sesebuah sekuriti syarikat diklasifikasikan sebagai tidak patuh syariah sekiranya aktiviti teras syarikat tidak selaras dengan syariah seperti berikut:

  • Perkhidmatan kewangan yang berteraskan riba (faedah);
  • Perjudian dan pertaruhan;
  • Pengeluaran atau penjualan barangan yang tidak halal atau barangan yang berkaitan;
  • Insurans konvensional;
  • Aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan syariah;
  • Pengeluaran atau penjualan barangan yang berasaskan tembakau atau barangan yang berkaitan;
  • Pembrokeran atau jual beli sekuriti tidak patuh syariah; dan
  • Aktiviti lain yang didapati tidak selaras dengan syariah.
credit card payment buy sell products service 1024x681 1
Kriteria sesebuah sekuriti syarikat diklasifikasikan sebagai tidak patuh syariah sekiranya aktiviti teras syarikat tidak selaras dengan syariah.

Bagi syarikat yang menjalankan aktiviti bercampur-campur antara aktiviti yang selaras dengan syariah dan sebaliknya, (MPS) mempertimbangkan dua kriteria tambahan iaitu:

  • Pandangan masyarakat umum tentang imej syarikat berkenaan mestilah baik; dan
  • Aktiviti teras syarikat mempunyai kepentingan dan maslahah kepada umat islam dan negara manakala unsur yang tidak selaras dengan syariah adalah amat kecil dan melibatkan perkara ‘umum balwa’, uruf dan hak-hak masyarakat bukan islam yang diperakui oleh islam.

Zaharudin (2010) pula menyatakan, ulama kontemporari bersepakat menyatakan bahawa institusi kewangan Islam dilarang menyediakan perkhidmatan atau kemudahan kepada sesuatu urusan yang haram.

Bahkan, syarikat yang menjalankan aktiviti-aktiviti yang tidak diharuskan syarak atau terlibat dalam urusan transaksi yang haram juga tidak dibenarkan membuka akaun-akaun kewangan Islam seperti akaun semasa (current account) atau akaun deposit (deposit account).

Hal ini kerana, sekiranya institusi kewangan Islam membenarkan pembukaan akaun bagi aktiviti yang tidak diharuskan syarak, maka institusi tersebut boleh dianggap bersubahat atau terlibat dalam aktiviti haram tersebut.

JENIS-JENIS HARTA TIDAK PATUH SYARIAH

Jenis-jenis harta tidak patuh syariah dikategorikan seperti berikut:

(a) Harta Diperolehi hasil daripada Benda yang Dikategorikan Haram

friends having fun while playing poker 1024x684 1
Judi adalah aktiviti yang jelas bertentangan dengan syarak.
Kategori harta tidak patuh syariah ini merujuk kepada apa-apa harta yang diperolehi hasil daripada transaksi yang bertentangan dengan syarak seperti riba, judi, arak dan benda dikategorikan haram yang lain.

Harta yang diperolehi melalui transaksi dalam sistem riba termasuk perbankan dan insuran konvensional insuran, perjudian, penjualan produk tidak halal dan saham-saham atau sekuriti- sekuriti yang berasaskan riba juga termasuk dalam kategori ini.

(b) Harta Diperolehi Melalui Sumber yang Tidak Menepati Kehendak Syariah

Harta ini merujuk kepada apa sahaja jenis aset yang pada asalnya halal dan sah serta bukan kategori haram tetapi ianya menjadi haram akibat daripada cara mendapatkannya yang tidak menepati kehendak syarak.

Harta tidak patuh syariah dalam kategori ini merujuk kepada apa-apa aset yang didapati melalui penipuan atau kegiatan jenayah seperti rasuah, penyelewengan, harta curi, pecah amanah dan rompakan.

(c) Harta Syubhah

Harta syubhah merujuk kepada status atau kedudukan benda atau aset tersebut yang diragui.

Di antara contoh harta syubhah ialah seperti bayaran pampasan lewat bayar instrumen kewangan Islam dan status pelaburan ASN dan ASB.

Dalam kategori ini, terdapat fatwa yang membenarkan dan terdapat juga fatwa yang mengharamkannya.

Walaupun secara umumnya kita dibenarkan untuk memilih mana-mana fatwa kerana ianya tidak mengikat melainkan sekiranya digazetkan, adalah lebih baik harta syubhah ini tidak digunakan untuk tujuan peribadi atau ianya menjadi hakmilik kita.

Ini bertepatan dengan hadis berkenaan dengan status harta syubhah daripada An-nu’man bin Basyir r.a. katanya : aku mendengar Rasulullah Sallallahualaihiwasallam bersabda:

الحَلَالُ بَيِّنٌ، والحَرَامُ بَيِّنٌ، وبيْنَهُما مُشَبَّهَاتٌ لا يَعْلَمُهَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى المُشَبَّهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وعِرْضِهِ

 

”Halal itu jelas dan haram itupun jelas dan di antara kedua-duanya itu (terdapat) perkara-perkara yang syubhah, ramai dari kalangan manusia tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga diri daripada perkara syubhat, (maka) dia telah membersihkan agama dan kehormatannya”.

 (Riwayat al-Bukhari: 52)

Menurut (Mohd Rofaizal & Muhamad Ismail, 2017), hadis di atas memberi petunjuk kepada umat Islam untuk menjauhi perkara-perkara syubhah kerana dibimbangi akan terjebak ke dalam perkara-perkara yang haram.

Meskipun perkara yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas melalui nas-nas al-Quran dan hadis, akan tetapi di antara kedua-duanya ada perkara syubhah atau kesamaran yang tidak diketahui oleh ramai orang.

capital tablet exchange screen skyscraper 1024x683 1
Berkata al-Muhallab, perkara yang samar-samar antara halal dan haram tertakluk kepada dalil asal kedua-duanya.

Mana-mana perkara yang ditegakkan dalil baginya, maka ia akan disandarkan kepadanya.

Kadang-kadang ada dua dalil yang saling bertentangan sehingga berlakunya kesamaran dalam pandangan hingga menyukarkan untuk melakukan tarjih (Ibn Battal, 2003).

Al-Nawawi (2000) menegaskan orang yang berwaspada tentang dirinya pasti tidak akan menghampiri hima Allah (kawasan larangan Allah), tidak bergantung dengan perkara yang membawa kepada maksiat.

Dengan sebab itu, dia tidak terjebak dalam sebarang perkara syubhah. (Mohd Hapiz, 2018)

Al-Hasan ibn Ali r.a. meriwayatkan sebuah hadis:

دَعْ ما يَريبُك إلى ما لا يَريبُك ، فإنَّ الصدقَ طمأنينةٌ وإنَّ الكذبَ رِيبةٌ

Maksudnya: “Tinggalkanlah perkara yang meragukan kamu kepada perkara yang tidak meragukan. Sesungguhnya kebenaran itu suatu ketenangan dan pendustaan itu suatu keraguan”

(Riwayat al-Tirmizi, no. hadis 2518)

(d) Harta Bercampur Halal dan Haram

Jenis harta tidak patuh syariah ini merujuk kepada harta yang bercampur di mana

sebahagiannya adalah haram dan sebahagian lagi adalah halal.

Sebagai contoh harta yang diperolehi daripada sumber yang halal dan haram seperti perniagaan yang melibatkan instrumen kewangan Islam dan dalam masa yang sama mempunyai transaksi dan pendapatan daripada perbankan konventional.

Sekiranya dapat dikenalpasti daripada percampuran harta itu tadi, harta yang diperolehi sumber haram itu tidak boleh digunakan untuk tujuan peribadi dan ianya perlu diberikan kepada kemaslahatan umum.

(e) Harta yang Tidak Diketahui Sumbernya

money wallet street groundxa 1024x683 1
Di antara harta yang sering kali tidak jelas kedudukannya merujuk kepada harta yang tidak diketahui sumbernya.

Umpamanya harta seperti wang atau emas yang dijumpai di jalan atau di mana-mana.

Sekiranya diketahui pemiliknya, ianya perlu dipulangkan semula dan jika tidak diketahui ianya perlu diserahkan kepada Baitulmal atau pihak berautoriti agar ianya boleh digunakan untuk kemaslahatan umum.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor