Fokus
Trending

Polemik Tauliah Di Selangor

A“duhai, tidak habis-habis mengundang polemic! Mungkin itulah yang terlintas di minda, kala membaca tajuk besar itu di akhbar Edisi MAIS kali ini. Demikianlah. Isu tentang tauliah mengajar, sering dibahaskan. Ia bukan isu baharu. Namun ia tidak jemu dilagukan dari tahun ke tahun. Seolah-olah tidak ada sudahnya.

Oleh

Ustaz Hamizul bin Abdul Hamid (hamizul@zakatselangor.com.my) Ketua Jabatan Dakwah dan Perundingan, Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Di satu pihak, mereka sering menuding jari bahawa tauliah untuk mengajar agama adalah karut dan sesat. Agama ini, bukanlah hak milik agensi tertentu. Ia milik Allah SWT.

Lalu mereka pun berhujah, tidak ada sebuah hadis pun yang menerangkan perlunya ada tauliah dalam menyampaikan ilmu agama. Malah mereka sering menekankan bahawa menyampaikan ilmu agama adalah suruhan Allah SWT. Ia Adalah ajaran Rasulullah SAW.

Hakikatnya, memang menyampaikan ilmu agama itu tugas yang sangat mulia. Menjadi satu tuntutan kepada kita untuk saling menyampaikan. Orang yang berilmu namun bersifat mendiamkan
diri kala melihat kebobrokan di depan mata, maka orang itu dianggap tidak amanah dengan ilmu. Di akhirat, mereka akan dipertanggungjawabkan atas kealpaannya itu.

Maka, demi mengelakkan diri dari menjadi ‘syaitan bisu’ itu, ilmu agama wajib disampaikan. Pedulikanlah tauliah. Persetankan semua sistem yang membelenggu. Di satu pihak lain, mereka kukuh menegaskan, betapa perlunya tauliah ini dipertahankan. Mereka tidak menyangkal perihal
pentingnya kebebasan menyampaikan ilmu dan dakwah Islam, namun mereka tidak mahu ia terlalu bebas sehingga mengundang masalah.

Logiknya begitu. Kebebasan tanpa kawalan memang merosakkan. Apatah lagi dalam isu akidah dan syariat, terseleweng sedikit sahaja maka buruklah padahnya. Hujah golongan ini bukanlah omong kosong. Berdasarkan laporan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), sejak tahun 1990-an sehingga kini, berpuluh fatwa mengenai ajaran sesat dikeluarkan.

Malah, sehingga tahun 2022 terdapat lebih 40 ajaran sesat masih wujud di Selangor. Antaranya Ajaran Ibu Yati, Asma Al Husna, Millah Abraham, Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) atau ajaran Sittah Annur dan Rasul Melayu.

Tidak dinafikan, ada juga di antara yang melakukan fitnah dalam ajaran Islam ini adalah dalam kalangan lulusan agama sendiri. Mereka sering mewujudkan suasana tidak nyaman dengan
menyatakan kumpulan itu bid’ah, orang di sana pula sesat dan sebagainya. Akhirnya masyarakat berpecah dengan kefahaman yang melampau ini.

Maka, jika dikatakan isu tauliah ini mengundang polemik, maka yakinilah bahawa di sebalik usaha mewujudkan tauliah itu pun, masih bertali arus pelbagai isu kronik lain yang bersangkutan
dengan ummah. Apatah lagi jika tauliah tidak diwujudkan, apakah benar ia membawa kebaikan kepada umat?

Kami di Edisi MAIS kali ini, cuba meluruskannya. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button