Isu

Nabi Pencetus Tauliah

Sudah penat menadah ilmu, dari madrasah hingga ke universiti, apakah masih belum cukup? Apakah belum memadai seorang yang bergelar al-hafiz, menguasai 30 juzuk al-Quran, selagi belum menyandang pemegang tauliah? Lalu, sejauh manakah pentingnya tauliah ini? Hal ini perlu dilihat adil. Perlu dibedah secara saksama. Tanpa prejudis apa lagi menghukum sebelum masanya.

Oleh

Ustaz Hamizul Bin Abdul Hamid (hamizul@zakatselangor.com.my) Ketua Jabatan Dakwah dan Perundingan, Lembaga Zakat Selangor (MAIS

Secara makro, tauliah adalah batas undang-undang. Ia adalah suatu keperluan dalam memastikan semuanya berjalan sebagaimana sepatutnya. Negara tanpa undang-undang, huruharalah jawapannya.

Secara mikronya pula, tauliah adalah lesen bagi seseorang yang mahu mengajarkan agama. Samalah seperti pemandu kereta, wajib dia mempunyai lesen memandu. Biar pun pemandu itu adalah seorang yang sangat mahir, tanpa lesen dia tetap dianggap belum layak memandu. Itulah gambaran tauliah.

Maka, sudah menjadi hak bagi pemerintah sebuah negara untuk mewujudkan undang-undang yang bertujuan menyelamatkan rakyatnya. Di sebalik itu, para agamawan yang membangkang itu juga sepatutnya lebih tahu tentang kepentingan tauliah agama. Mereka pasti sedar, tauliah bukanlah sesuatu yang bertentangan dengan agama. Malah selari dengan keperluan syariat. Ia termaktub dalam apa yang disebut sebagai kebijakan bernegara, atau siyasah syari’yyah oleh seseorang pemerintah.

Atas dasar itu jugalah, maka Allah SWT telah memberikan hak kepada pemerintah untuk menentukan batas-batas dalam sistem yang ada demi menjaga kebaikan rakyatnya. Allah SWT berfirman, iaitu: “(Iaitu) orang-orang yang jika Kami beri kedudukan di bumi, mereka melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.” (al-Hajj: 41)

Maka, tidak salah jika pemerintah mewujudkan batas-batas tertentu demi menyelamatkan rakyatnya. Ia termaktub dalam agenda menyuruh yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Kaedah fiqh juga menyatakan: “Kebijakan Pemerintah atas rakyat harus didasarkan pada prinsip kemaslahatan (menjaga kepentingan rakyat)”.

Maka, adalah malang jika masih ada segelintir agamawan yang terus menolak hakikat ini. Lebih malang lagi jika mereka berhujah kononnya nabi memerintahkan agar ‘sampaikan daripadaku walaupun satu ayat’. Ini kerana, memahami hadis-hadis nabi hendaklah dengan adil. Jangan lupa, amalan tanpa sistem dan kawalan juga bertentangan dengan ajaran Islam. Hal ini telah pun Allah SWT sebutkan di dalam surah as-Saff, ayat 2.

Nabi Muhammad SAW sendiri semasa mahu mengutuskan Muadz bin Jabal r.a ke Yaman, telah menguji terlebih dahulu kefahaman Muadz. Setelah berpuas hati, baharulah nabi mengutuskannya untuk menjadi gabenor dan sekaligus tempat rujukan di sana. Bukankah ini sudah cukup dijadikan dalil mengenai perlunya tauliah?

Kesimpulannya, tindakan DYMM Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di negeri ini dengan mewakilkan urusan itu kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk mengeluarkan tauliah, dan juga memantaunya melalui agensi penguatkuasaan, iaitu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) adalah benar. Ia mempunyai nilai di sisi undang-undang, juga nilainya di sisi agama.

Wallahua’lam. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button