Fokus
Trending

Isu Muallaf: Solusi di Sebalik Isu

Mencari Solusi di Sebalik Isu Muallaf di Malaysia

Memeluk Islam di Selangor tidaklah sesusah membina Taj Mahal. Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menyediakan 34 Pusat Pengurusan Pengislaman (PPP) yang bertanggungjawab membantu mereka yang mahu memeluk Islam. Inisiatif ini turut didokong Pejabat Agama Islam Daerah, Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) dan 15 di Masjid dengan kebenaran MAIS.

Namun demikian, isu-isu yang timbul pasca keislaman itulah yang merungsingkan. Isu-isu inilah yang menjadi satu beban moral dan agama kepada MAIS, agar dapat ditangani dengan hikmah. Lebih utama
lagi, agar ia sampai tidak mencacatkan imej Islam.

Ya, mana mungkin kita hanya menyenaraikan sahaja segala isu tanpa berfikir jalan keluar. Justeru itu, demi merungkai perdebatan ini, MAIS dan seluruh agensi sebenarnya sangat serius membantu muallaf di Selangor.Bukti keseriusan itu terpapar bukan pada perkataan atau kertas-kertas kerja; sebaliknya ia telah, sedang dan akan terus diterjemahkan ke dunia nyata.

Buktinya, melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS), muallaf telah difatwakan sebagai asnaf paling utama dan disekalikan dengan asnaf fakir dan miskin. Ertinya, segala skim bantuan yang diberikan kepada fakir dan miskin, turut layak diterima mereka. Lebih dari itu, ada skim tertentu khusus buat mereka seperti skim bantuan berkhatan dan bantuan perkahwinan muallaf.

Keseriusan ini juga terpamer dengan penubuhan Baitus Salam oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sejak 1980-an lagi. Kala itu, ia berfungsi sebagai pusat perlindungan muallaf. Seterusnya pada 2014,
MAIS telah membangunkan kompleks lebih sempurna di Jalan Kebun, Klang dan beroperasi penuh pada 2016. Tahun 2017, transformasi Baitus Salam disempurnakan dengan pengurusan yang lebih efisien oleh LZS.
Kini ia bukan sekadar rumah perlindungan, kerana turut berfungsi sebagai pusat komuniti muallaf yang mewujudkan ruang paling kondusif untuk mereka saling bertemu dan menguatkan. Malah inilah kesempatan
untuk mereka menyusun semula hala tuju, selain tempat uzlah dari musibah kehidupan. Jelas, Baitus Salam hakikatnya telah memberikan satu momentum yang cukup penting kepada perkembangan muallaf di
Selangor.

JAIS juga sering berkolaborasi dengan pelbagai NGO yang ada di Selangor untuk merangka gerak kerja dakwah kepada muallaf, dengan penglibatan pelbagai etnik, sama ada orang asli yang dahulunya
menganut animisme mahu pun dalam kalangan kaum lain yang lebih terbuka kepada penerimaan Islam dan perbedaan fahaman.

Kerjasama dengan NGO seperti Unity Global misalnya, menatijahkan kursus perkaderan dakwah kepada non-muslim yang ditawarkan secara percuma. Lebih utama lagi, ia mendapat sentuhan pendakwah muallaf berpengalaman seperti Saudara Shahkirit bin Kakulal Govindji dan lain-lain lagi.

Matlamatnya adalah untuk memastikan dakwah kepada non muslim dan muallaf berjalan dengan hikmah, berilmu dan uslub yang betul. Selain ia juga menjadi medan untuk menyelesaikan pelbagai masalah
yang berbangkit dalam kalangan muallaf pasca keislaman mereka. Lebih penting, ia adalah inisiatif agar mereka kekal dalam akidah dan terelak fitnah riddah (murtad). Malah pelbagi NGO Islam turut aktif membantu muallaf, sehingga banyak sekali kini yang bertindak menjadi badan penyantun muallaf.
Antaranya, Islamic Outreach Abim, Hidayah Center Foundation dan Multiracial Reverted Muslim.

MAIS juga menunjukkan komitmen yang sangat tinggi apabila sentiasa ke depan mempertahankan akidah muallaf, walaupun berhadapan dengan situasi kalah menang di mahkamah. Misalnya pada 25 Januari 2022, MAIS merayu kepada Mahkamah Rayuan agar dikembalikan status Islam kepada penukaran agama sepihak tiga kanak-kanak. Isu bermula dengan dengan tindakan seorang lelaki telah menukar agama tiga orang anaknya kepada Islam secara sepihak pada 16 Mac 2015. Ibu mereka yang non-muslim mendakwa dia tidak dirundingi langsung, selain anak-anaknya juga enggan memeluk Islam. Hakikatnya, masih banyak lagi kes yang dilalui oleh MAIS dan tidak mampu dimuatkan di ruang yang ringkas ini.

Pendidikan muallaf juga menjadi prioriti MAIS. Melalui LZS, Kelas Bimbingan Muallaf diadakan dengan kerjasama erat pihak masjid dan para asatizah yang dilantik sebagai Guru Pembimbing Muallaf.
Silibus pendidikan yang komprehensif disediakan, selain Elaun Khas Kehadiran diberikan. Jika sebuah keluarga mempunyai lima orang ahli, maka kelima-limanya dibayar elaun dengan nilaian RM40 sekali hadir. Malah usia lima tahun muallaf di Selangor, diambil kira sejak mereka mula memasuki kelas, bukannya dari saat mereka mengucapkan dua kalimah syahadah.

Karnival Muallaf Kebangsaan turut menjadi penanda aras kepada pencapaian muallaf. Selangor boleh berbangga, kerana sebelum COVID-19 melanda, Karnival Muallaf Kebangsaan tahun 2019 menyaksikan delegasi muallaf Selangor pulang dengan menggondol Johan dalam syarahan lelaki dan Naib Johan dalam syarahan wanita, selain Naib Johan pertandingan amali solat dan juga Johan sepak takraw antara negeri.

Kesimpulannya, MAIS dan agensinya termasuk NGO, telah berusaha sebaiknya untuk membantu para muallaf di Selangor. Tinggal lagi, sejauh manakah pula umat Islam berperanan dalam menyantuni mereka. Juga jangan lupa, bagaimana pula peranan para muallaf itu sendiri dalam membangunkan potensi diri ke tahap yang lebih baik dan sekaligus terselamat dari bahana tindakan yang merugikan. Wallahua’lam.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button