4/2022Man Jadda Wa Jada

Wang Tidak Patuh Syariah dan Pelaburan Patuh Syariah

Oleh

Shahrul Effendy bin Md Saat (fendy@mais.gov.my)
Eksekutif Perhubungan Awam & Khidmat Pelanggan, MAIS

Kelekaan umat Islam kini dalam mencari pendapatan, memungkinkan wujudnya percampuran rezeki daripada sumber yang halal dan haram. Kebanyakan sumber tersebut pula tidak dipastikan statusnya dengan jelas.

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berperanan dalam menguruskan Wang Tidak Patuh Syariah (WTPS)  terutamanya mengurus harta secara bijaksana berdasarkan hukum syarak. 

WTPS adalah wang atau harta diperoleh daripada sumber haram seperti transaksi riba, hasil jualan barang curi, duit rasuah, hasil rompakan, duit loteri dan perlindungan insurans konvensional. 

Hal ini selaras sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 7, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu, “maka hendaklah menjadi kewajipan majlis untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat

Islam di dalam negeri Selangor selaras dengan hukum syarak”. MAIS mengajak orang ramai supaya membersihkan harta yang diperoleh agar kehidupan yang dilalui penuh dengan keberkatan melalui http://fpx.mais.gov.my/epay/syubhah.php.


PNB DAN PELABURAN PATUH SYARIAH

Hal ini berbeza dengan peranan Permodalan Nasional Berhad (PNB), sebuah firma pelaburan yang menawarkan perkhidmatan pelaburan patuh syariah sepenuhnya.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada tahun 2008 juga telah memutuskan hukum melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) adalah harus.

Kemudian pada tahun 2017, pelaburan dalam unit amanah yang ditawarkan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) iaitu syarikat pengurusan unit amanah milik penuh PNB itu difatwakan sebagai harus oleh kesemua Majlis Fatwa di seluruh negara termasuk Selangor dan Pulau Pinang. 

Wartawan EDISI baru-baru ini berpeluang mengikuti sesi temu bual bersama Ketua Pengurusan Syariah PNB, Dr. Ahmad Basri Ibrahim yang berkongsi maklumat, bagaimana ASNB mencapai status patuh syariah.

EDISI: Apa status unit amanah yang ditawarkan ASNB setakat ini? Adakah kesemuanya patuh syariah?

Ahmad Basri: Ya. Kesemuanya patuh syariah berdasarkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Fatwa di semua 14 negeri telah memfatwakan hukum melabur dalam ASNB adalah harus.

Bagaimana PNB memantau urusan pelaburan dalam ASNB?

PNB mempunyai Panel Penasihat Syariah (PPS) sendiri seperti yang disarankan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang bertanggungjawab memberi nasihat dan pandangan serta memantau urusan berkaitan pelaburan tabung unit amanah ASNB, supaya ia mematuhi syariah.

MAIS menguruskan penerimaan WTPS, bagaimana pula kaedah atau cara PNB menguruskan WTPS?

PNB bukan milik individu tetapi ia adalah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC). PPS berpandangan dan membuat keputusan bahawa apa-apa WTPS diasingkan dan digunakan untuk program Corporate Social Responsibility (CSR) yang diuruskan oleh PNB. 

Bagaimana PNB menggalakkan kesedaran kepada masyarakat untuk membuat pelaburan di PNB?

PNB menggalakkan masyarakat untuk membuat pelaburan adalah dengan menganjurkan program-program kesedaran terutama tentang celik kewangan sepanjang tahun. Bagi celik kewangan Islam pula, kami membuat program khusus ‘Bicara Maqasid” bagi memberikan kefahaman kepada orang ramai tentang bentuk-bentuk pelaburan Islam dan usaha-usaha yang telah dan sedang dilakukan oleh PNB untuk menambah baik pelaburan patuh syariah di PNB.

Adakah PNB berpuas hati dengan tahap pematuhan syariah yang dicapai sekarang?

Kami sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik dan untuk tahun 2021, 76.6 peratus daripada AUM PNB dilaburkan dalam instrumen patuh syariah mengatasi sasaran sebanyak 75.5 peratus pada tahun lepas.

Antara faktor yang meningkatkan paras ini ialah pertambahan pelaburan PNB di luar negara yang mana sebahagian besarnya adalah patuh syariah. Bagi pelaburan saham di luar negara, kepatuhan syariahnya adalah berdasarkan penyedia indeks Islam global seperti MSCI ACWI Islamic, DJIM World Index dan lain-lain. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button