Man Jadda Wa Jada

DR. MUHAMMAD YUSUF MARLON Dahulu Pelajar Muallaf Kini Pensyarah Kanan Pengajian Islam

Oleh

Dr. Halim bin Mokhtar (halim@kuis.edu.my)
Pensyarah Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Universiti Islam Selangor

Perspektif Ilmu

Dr Muhammad Yusuf Marlon Abdullah merupakan Pensyarah Kanan di Universiti Islam Selangor yang aktif dengan program pembangunan muallaf di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan NGO Islam. Berasaskan pertimbangan ilmu dan hidayah daripada Allah SWT beliau telah mengambil keputusan mengucap syahadah pada 12 Januari 2000. Dengan niat yang ikhlas sepanjang perjalanan menuntut ilmu akhirnya berjaya mencipta kecemerlangan dan menjadi ikon muallaf yang berjaya. Ilmu adalah aset kecemerlangan muallaf. Beliau menjadikan Ilmu sebagai senjata yang paling ampuh dan terbaik untuk mengubah diri muallaf dalam mencapai kesejahteraan dan kejayaan hidup di dunia dan di akhirat serta menutup segala kebejatan yang sering menghantui muallaf selepas memeluk agama Islam.

Travelog Ilmu

Memulakan langkah pertama dengan mempelajari alif ba’ ta’ di Institut Dakwah Islamiah PERKIM, Pengkalan Chepa Kelantan. Dengan bantuan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berjaya menamatkan Sijil 4 Thanawi Pengajian Dakwah dan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia di Kelantan. Seterusnya menyambung pengajian di peringkat Diploma di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor yang dibiayai penuh oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan tamat dengan keputusan cemerlang.

Menyedari Ilmu adalah aset yang sangat bernilai dan kejahilan sesuatu yang merugikan, travelog Ilmu telah diteruskan di tiga peringkat pengajian tertinggi iaitu peringkat Sarjana Muda Pengajian Islam, Sarjana Pengajian Islam dan Doktor Falsafah di Jabatan Dakwah dan Kepimpinan di Fakulti Pengajian Islam UKM sebagai gelanggang Ilmu dan telah mencapai kejayaan cemerlang dan Graduate on time. Inilah anugerah Allah SWT yang terindah kepada insan yang cintakan ilmu sehingga dipermudahkan dan dimurahkan rezeki sepanjang perjalanan ilmu yang ditempuhi. Semua itu akan dapat dicapai jika meletakkan ilmu sebagai teras kecemerlangan diri sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud “Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orangorang yang diberi ilmu pengetahuan (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. (al-Mujadalah: 11).

Titipan Ilmu

Dr Muhammad Yusuf menitipkan beberapa pesanan kepada Sahabat muallaf antaranya:

1. Muallaf bersedia merebut Peluang. Hidup mesti berwawasan dengan meletakkan ilmu sebagai keutamaan setelah memeluk Islam. Menghapuskan kejahilan diri adalah wajib. Pusat Zakat Selangor sentiasa memberikan peluang kepada muallaf yang ingin mendalami ilmu khususnya dalam bidang agama. Sahutlah cabaran jangan sering beralasan.

2. Muallaf bersedia menjadi Sumber Rujukan. Dengan ilmu yang dimiliki pastinya menjadi rujukan keluarga dan rakan-rakan. Pengalaman semasa belajar di IDIP Kelantan Al-Marhum Tuan Guru Nik Aziz pernah memberikan ucapan khusus kepada muallaf iaitu “tidak mustahil muallaf yang ada di hadapan saya ini akan menjadi rujukan kepada orang yang lahir Islam” dan katakata itulah yang memberikan sinar kepada muallaf untuk terus mendalami ilmu Islam.

3. Muallaf bersedia menjadi Agen Islam. Kemampuan untuk memahami dan menjelaskan ajaran Islam dengan baik ketika berlaku persepsi dan salah faham di kalangan masyarakat non Muslim seperti isu penukaran agama dan nama, meraikan perayaan yang jelas bertentangan dengan syariat Islam dan sebagainya merupakan alternatif yang terbaik dalam menerangkan kebenaran dan membina keharmonian beragama.

4. Muallaf bersedia sebagai Pendakwah. Menyampaikan mesej
Islam melalui perkongsian, konsultasi, motivasi dan aktiviti yang
mempromosikan keharmonian, kebaikan dan kesejahteraan
menepati dengan falsafah ajaran Islam.

5. Muallaf bersedia untuk Berubah. Hidup adalah perjuangan. Jadikan Ilmu sebagai bekalan. Matlamat menuntut ilmu mestilah ikhlas kerana Allah. Bersedia berkorban dari sudut tenaga, masa, kewangan dan kehidupan. Jangan malu dan malas dalam menuntut Ilmu. Mohonlah Taufq dan Hidayah Allah. Binalah masa depan yang cemerlang dengan Ilmu.

Sesungguhnya Dr. Muhammad Yusuf Marlon telah menjadi contoh dan ikon muallaf terbaik. Dahulu pelajar muallaf tajaan MAIS sekarang pembayar zakat di LZS. Sumber inspirasi kepada muallaf untuk meneruskan perjuangan Ilmu. Justeru Universiti Islam Selangor (UIS) bersedia menawarkan peluang kepada muallaf khususnya anak-anak muallaf untuk melanjutkan pengajian dengan bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor dan Pusat Zakat UIS. #jommasukUIS #knowledgeispower. Edisi

BIODATA:
Nama: Muhammad Yusuf Marlon Abdullah
Nama lama: Marlon Pontino Guleng
Agama asal: Roman Katolik- Kristianiti
Tarikh Memeluk Islam: 12 Januari 2000
Tempat Lahir: Baguio City Luzon, Filipina
Kerjaya: Pensyarah Kanan, Jabatan Dakwah & Usuluddin,
Fakulti Pengajian Peradaban Islam Universiti Islam Selangor

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button