Kemusykilan Umat

WANG HARAM MENANGGUNG NAFKAH?

Harta tidak patuh syariah ialah harta haram yang diperoleh melalui jalan-jalan yang tidak syarie iaitu mengambil harta yang terdapat larangan ke atasnya atau terdapat balasan (had) ke atas pelakunya, atau terdapat janji buruk berkaitannya, atau yang dinamakan sebagai batil oleh Allah S.W.T.

Oleh

Mohamad Shukry Bin Sulaiman (shukry@muftiselangor.gov.my)
Ketua Penolong Mufti, Jabatan Mufti Negeri Selangor

Mutakhir ini ramai di kalangan masyarakat Islam yang sudah ketandusan rohani akibat sikap materialistik yang menguasai diri. Bagi mereka, segala sesuatu adalah bernilai dengan nilai harta. Manusia sanggup bergolok gadai untuk memperoleh sebanyak mungkin kekayaan, mereka tidak mempedulikan dari mana datangnya harta yang diperoleh, apakah dari sumber yang halal atau dari sumber yang haram. Yang penting, harta dapat dikumpulkan sebanyak-banyaknya untuk memenuhi kehendak nafsu atau pun untuk melayan kehendak keluarga supaya dapat hidup dengan kemewahan dan keseronokan.

Rasulullah SAW ada bersabda, setiap daging yang terbina daripada harta haram maka neraka lebih layak untuknya. (Hadis Sahih, Riwayat Imam Al-Tirmizi)

Mengguna dan membelanjakan harta haram hukumnya adalah haram kerana Islam amat menitikberatkan urusan pengurusan harta sama ada diperoleh daripada pendapatan halal atau haram serta bagaimana ia dibelanjakan.

Harta yang diperolehi daripada sumber yang haram akan dimurkai oleh Allah SWT dan boleh menyebabkan seseorang itu dihumban ke dalam neraka pada hari akhirat kelak. Walaupun seseorang itu melakukan amal soleh seperti solat, puasa, berjihad di jalan Allah SWT, mati syahid dan sebagainya, dia akan tetap mendapat azab di neraka jika dia memperoleh dan memiliki harta daripada sumber yang haram.

Memperolehi harta yang diharamkan oleh Islam adalah seperti rasuah, pecah amanah, penipuan di internet, riba, memakan harta anak yatim, mencuri tulang ketika melakukan pekerjaan, berniaga sesuatu yang diharamkan oleh syariat, menipu dalam timbangan, mencampur adukkan barangan yang elok dengan barangan rosak, menjual barangan yang merbahaya kepada kesihatan dan lain-lain lagi.

Harta yang diperoleh daripada sumber yang haram akan mendatangkan kesan yang buruk kepada diri kita. Antara kesan buruk yang akan menimpa kita disebabkan makan dari hasil harta yang haram ialah;

Doanya tidak akan diterima atau tidak dikabulkan oleh Allah SWT.
Daging yang tumbuh daripada harta yang haram akan dibakar oleh api neraka.

Perlu juga kita ketahui bahawa makanan dan rezeki yang menjadi sajian keluarga akan mempengaruhi sikap, perangai, air muka, hati, dan keseluruhan kehidupan. Sesungguhnya haram itu jelas, halal itu jelas dan antara kedua-duanya ada benda-benda yang syubhah.

Rasulullah SAW menjelaskan orang yang mencari rezeki halal untuk memenuhi keperluan keluarganya sama seperti mujahid dan syuhada. Baginda bersabda bermaksud: “Barang siapa mencari rezeki halal untuk menafkahi keluarganya, ia laksana mujahid (pejuang) di jalan Allah SWT. Barang siapa mencari harta halal untuk menjaga diri daripada keharaman, ia berada pada darjat syuhada (orang yang mati syahid).” (Hadis riwayat Muslim).

Fuqaha bersepakat mengatakan harta tidak patuh syariah ini tidak boleh dilupuskan atau dibuang atau dibazirkan begitu sahaja. Fuqaha sepakat berpandangan bahawa harta ini perlu digunakan atau diagihkan demi kemaslahatan umum. Perbuatan melupuskan harta tidak patuh syariah ini juga menyalahi kaedah syarak yang melarang tindakan idha’ah al-mal iaitu mensia-siakan harta tanpa dimanfaatkan.

Dalam hal ini, menurut Yusuf al-Qaradawi, harta yang diperoleh secara tidak sah atau sesuatu yang haram itu tidak boleh dimiliki sebaliknya ia menjadi milik kepada maslahah ‘ammah. Harta tidak patuh syariah ini tidak boleh sama sekali digunakan bagi tujuan kepentingan diri sendiri, ahli keluarga atau sanak saudara. Bahkan ia menjadi milik umum seperti dibelanjakan kepada perkara-perkara kebajikan seperti membantu anak-anak yatim, perkembangan dakwah atau perkara yang bersifat umum.

Sebagai kesimpulannya, berusahalah mencari rezeki yang halal sedaya upaya dan menafkahi keluarga yang diperoleh daripada sumber-sumber yang diredhai oleh Allah SWT, yang sudah pasti akan diberkati dan mencukupi walaupun sedikit. Adalah sangat penting kepada seorang Muslim mencari rezeki yang halal kerana pada prinsipnya, halal itu amat jelas dan mudah diketahui seperti mana perkara haram amat nyata dan wajib dihindari. Sesuatu yang meragukan dalam urusan harta mestilah dielakkan supaya tidak membawa kepada yang haram.

Sekiranya kita ragu-ragu tentang halal dan haram, merujuklah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk mendapatkan jawapan yang tuntas. Layari www.mais.gov.my. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button