Da’i Adam atau nama penuhnya Muhammad Adam Muhibullah bin Abdullah merupakan peserta muallaf yang pernah mencipta sejarah menjuarai program realiti rancangan dakwah suatu ketika dulu.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya, ke mana hilangnya Da’i Adam selepas menjuarai program Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-6 tahun 2018? Baru-baru ini, penulis berkesempatan mengadakan temubual dengan Da’i Adam mengenai perkembangan terbaru beliau, menyingkap serba sedikit tentang dirinya dari ‘zero ke hero’ yang mengimpikan untuk menjadi ikon inspirasi kepada muallaf.
EDISI MAIS: Perasaan Da’i Adam sebagai peserta muallaf yang berjaya menjuarai program Da’i Pendakwah Nusantara?
DA’I ADAM: Alhamdulillah saya bersyukur atas ketentuanNya. Pada mulanya saya hanya menemani rakan yang ingin menyertai ujibakat, namun atas sokongan keluarga dan rakan-rakan, saya cabar diri saya untuk menyertai program ini. Saya menang bukan kerana saya lebih baik dari yang lain, tetapi saya anggap ianya adalah suatu perancangan Allah untuk saya yang bukan sahaja memberi kesan semasa program, tetapi juga setelah tamat program sehingga sekarang.
EDISI MAIS: Selepas berjaya menjadi juara program Da’i Pendakwah Nusantara, apakah aktiviti yang dilakukan oleh Da’i Adam ketika itu?
DA’I ADAM:Selepas program Da’i, saya sebenarnya masih menyambung pengajian Ijazah yang berbaki satu semester di KUIS. Ketika itu, saya perlu menyusun jadual sebaiknya agar tidak mengabaikan pendidikan dan juga kesihatan. Saya turut mengambil jemputan ceramah, namun terpaksa hadkan kerana faktor masa dan pengajian.
EDISI MAIS: Perkembangan terbaru Da’i Adam?
DA’I ADAM: Alhamdulillah, saya kini bekerja di Lembaga Zakat Selangor (MAIS) sebagai Eksekutif Pembangunan Muallaf Daerah. Selain itu, saya juga semakin aktif mengambil jemputan ceramah dan jemputan-jemputan lain setelah hampir 2 tahun terikat dengan pandemik.
EDISI MAIS: Impian dan perancangan Da’i Adam dalam memberi inspirasi kepada muallaf yang ingin berjaya di luar sana?
DA’I ADAM:Saya berharap semakin ramai muallaf di luar sana dapat berusahabersungguh-sungguh dalam apa jua bidang yang diceburi. InsyaAllah, pasti berjaya, dengan adanya penghayatan agama yang jitu dan utuh. Saya juga masih cuba untuk mencapai beberapa matlamat dan juga impian yang belum tercapai. Semoga dengan
memperbaiki diri dan meningkatkan potensi diri ini mampu menjadi motivasi kepada seluruh muallaf di luar sana. Di samping itu, saya juga sedang berusaha dalam membangunkan asnaf muallaf melalui program-program pembangunan yang dilaksanakan memandangkan kerjaya saya sekarang berhadapan dengan muallaf-muallaf.
EDISI MAIS: Pesanan dan kata-kata Da’i Adam kepada muallaf-muallaf agar terus mendalami agama Islam dengan lebih baik.
DA’I ADAM:Janganlah kita terus selesa bergelar muallaf. Kita tidak selamanya akan dipanggil muallaf. “Stand up’, ingat semula dan cari semula ‘rasa’ indahnya hidayah ketika mula-mula kita merasainya. Saya hanya harap agar muallaf yang lain juga dapat berusaha dan keluar dari ‘comfort zone’ dalam menjadi muslim yang lebih berjaya. Kita semua adalah sama kecuali pada taqwanya.