Fokus

HARTA HARAM, REZEKI BERKAT?

Boleh buatkan air jampi ustaz?” Seorang ibu bertanya. “Untuk siapa?” Saya membalas. “Untuk anak saya. Degilnya, minta ampun.” Jawab si wanita. Wajahnya meminta belas.

Oleh

Ustaz Hamizul bin Abdul Hamid (hamizul@zakatselangor.com.my)
Ketua Jabatan Dakwah dan Perundingan, Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Demikianlah. Mutakhir ini isu kekeluargaan terus marak. Suami isteri curang. Ibu bapa dibuang. Adik-beradik berperang. Keluarga berantakan. Kenapakah semua ini terjadi? Adakah ia berpunca dari harta haram yang menjadi santapan keluarga? Mari kita renungkan.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyatakan, sejak Simpanan Syariah diperkenalkan pada 2016, hanya 22 peratus sahaja umat Islam di Selangor yang menukarkan akaunnya kepada syariah. Sedangkan jelas di dalam Fatwa Negeri Selangor, umat Islam wajib mencarum ke dalam akaun Islamik. Adakah baki 78 peratus itu rela menikmati harta haram?

Maaf cakap, di situlah duitnya akan berbaur dengan perkara haram. Ibarat mesin basuh, berbaur di dalamnya kain yang terkena najis anjing dengan kain biasa. Hasilnya apa?

Sementara itu, menurut pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), sehinggalah ke saat ini sambutan umat Islam khususnya di negeri Selangor kepada kempen Penyerahan Wang Tidak Patuh Syariah (WTPS) kepada pihak Baitulmal MAIS tidak begitu memberangsangkan.

Pada tahun 2022, hanya RM1.8 juta telah diterima, berbanding anggaran potensi sebenar yang masih besar. Isunya, ke manakah WTPS itu dimanfaatkan? Jika dimakan bersama kaum keluarga, apakah hukumnya? Apa kesannya?

Lembaga Zakat Selangor (LZS) sendiri dalam isu ini mendedahkan,
angka pembayar zakat harta hanya mencecah sekitar 11 peratus.
Bagi tahun 2022 yang lalu, dari anggaran kira-kira 3.6 juta umat
Islam yang bermastautin di Selangor, hanya sekitar 400 ribu
orang sahaja yang menunaikan zakat.

Sekali lagi, apakah hukumnya jika wang zakat itu dimakan sendiri oleh pemiliknya? Apa pula hukumnya jika dimakan oleh kaum keluarganya? Kesannya apa?

Mengabaikan zakat sudah dianggap menempah kebinasaan. Apa lagi jika sengaja merelakan diri terjun ke lubuk harta haram. Bekerja di sektor yang jelas haramnya, seperti kilang arak, pusat perjudian, menjadi GRO, bekerja dengan ahlong atau ceti haram, terlibat dengan kewangan riba, tokan dadah, penipu siber atau scammer dan banyak lagi.

Isu ini kritikal. Membiarkan harta haram atau lebih parah sengaja mencari yang haram, kesannya amat berisiko. Tidak ada rumusnya harta yang haram akan menghasilkan keberkatan. Berkat itu bersih dan berkat hanya akan datang kala harta itu juga bersih.

Sayangnya, ada orang Islam memandangnya dengan sebelah mata. Kami di Edisi berusaha menimbulkan kesedaran dan mengusulkan pencerahan. Lalu dalam edisi kali ini, kami berusaha menuntaskannya demi kebaikan bersama. Selamat membaca. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button