4/2022Fokus

Hormat Fatwa

Oleh

Maryam Binti Md Zin (maryam@jais.gov.my), 
Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan, JAIS

Fatwa ialah penjelasan tentang hukum syarak oleh Mufti bagi sesuatu masalah sebagai jawapan bagi soalan yang ditanya. Apabila terdapat persoalan dan kemusykilan mengenai sesuatu hukum dalam Islam, Mufti akan mengeluarkan fatwa sebagai jawapan terhadap persoalan tersebut.

Rasulullah SAW merupakan mufti pertama dalam sejarah fatwa  yang menjelaskan hukum berlandaskan wahyu  Allah SWT. Baginda merupakan manusia yang paling cerdas akalnya dan paling layak mengeluarkan fatwa serta perakuan wahyu akan menjadi penentu terakhir dalam menentukan sesuatu hukum.

Selepas Rasulullah SAW wafat, fatwa sahabat disandarkan kepada beberapa perkara yang berlaku ketika Rasulullah SAW masih hidup. Sekiranya terdapat perselisihan sahabat, fatwa masih tidak bercanggah kerana ia dikira sebagai ijma’ para sahabat.

Fatwa pada zaman tabi’in (bermula dari tarikh peralihan kuasa pemerintahan Muawiyah ibn Abi Sufyan pada tahun 41H), fatwa telah memperlihatkan beberapa perkembangan kerana desakan realiti kehidupan umat Islam pada masa tersebut. Apabila berlakunya perluasan tanah jajahan taklukan Islam yang mempunyai latar belakang kehidupan, kedudukan sosial dan adat resam yang berbeza-beza maka lahirlah hukum-hukum baharu hasil daripada percambahan ijtihad para ulama tabi’in. 

Masa dan zaman peralihan terus berlalu serta penyebaran agama Islam semakin berkembang ke seluruh dunia. Fatwa dalam konteks hari ini ialah fatwa rasmi yang dikeluarkan oleh mufti dan institusi agama yang diberi kuasa oleh pemerintah (ulil al-amri) untuk berijtihad dalam bentuk fatwa semasa sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa. Pendekatan ijtihad semasa banyak dilakukan secara kolektif berbanding secara individu.

Di Malaysia, Perlembagaan Persekutuan pada Senarai II Jadual Kesembilan menyatakan hukum dan doktrin syarak letaknya di bawah pentadbiran Negeri, maka ketua agama Islam Negerinegeri telah melantik Mufti yang bertindak sebagai pengerusi bersama ahli jawatankuasa fatwa melaksanakan peranan memutuskan fatwa di peringkat Negeri sama ada fatwa tersebut diwartakan ataupun tidak.

Di peringkat kebangsaan ia dilaksanakan oleh Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan (juga dikenali sebagai Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia) yang terdiri daripada para Mufti setiap negeri, pakar akademik dan sarjana hukum. Jawatankuasa fatwa Negeri-negeri meneruskan kesinambungan mengeluarkan fatwa berasaskan Al-Quran, Sunnah dan Ijma’ berdasarkan sesuatu isu atau masalah realiti yang berlaku dalam kehidupan harian masyarakat menggunakan kaedah ijtihad berasaskan maqasid syariah dengan mengambil kira adat kebiasaan, budaya, persekitaran dan keperluan masyarakat.

Mereka juga mengambil kira kesan yang bakal berlaku sekiranya sesuatu hukum itu difatwakan kepada masyarakat sama ada  ia akan memberi kesan positif atau negatif. Oleh sebab itu jawatankuasa fatwa akan melakukan pertimbangan secara terperinci antara kebaikan (maslahah) dan keburukan (mafsadah) mengenai sesuai isu dengan mengambil pendekatan sederhana (wasatiyyah) dalam penelitian hukum kerana mengikut jalan majoriti ulama’ Ahlus Sunnah Waljamaah yang sentiasa sederhana dalam memberikan pandangan dalam berijtihad.

Jawatankuasa ini melakukan konsultasi ilmiah terhadap isu yang berlaku dengan mengambil maklumat dari pakar dalam bidang masing-masing sama ada pakar dalam ilmu teras agama mahupun pakar dalam ilmu moden. Kombinasi antara kepakaran ini akan menghasilkan fatwa yang realistik dan efektif.

Justeru, umat Islam pada hari ini perlu menghormati fatwa serta menghindarkan diri dari memberikan pendapat secara terbuka seolah-olah menghina fatwa yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri-negeri sehingga menimbulkan sebarang polemik yang boleh menimbulkan kegelisahan dan mengganggu keharmonian masyarakat. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button