4/2022Artikel Khas

Proses Penyediaan Fatwa Di Negeri Selangor

Oleh

Hasal Bin Senin (hasal@mais.gov.my),
Pembantu Eksekutif , Unit Pembangunan Kompetensi, MAIS

Pada zaman mutakhir ini, pelbagai isu berhubung dengan penentuan hukum Syarak timbul di kalangan masyarakat Islam. Pengeluaran fatwa oleh institusi fatwa merupakan satu mekanisme penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan isu-isu tersebut. Fatwa bukan sahaja menjadi pembimbing kepada rakyat dan masyarakat, malah juga panduan kepada pemerintah. Justeru, fatwa adalah kegiatan penting yang membentuk pemikiran dan kepercayaan umat Islam di alam Melayu dan Negara ini dalam semua aspek kehidupan merangkumi akidah, syariah dan akhlak.

Di Malaysia, institusi mufti dan fatwa merupakan institusi agama yang mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri untuk menyelesaikan persoalan berhubung hukum Syarak serta menjelaskan kesamaran dan kekeliruan  berkaitan sesuatu perkara baru (ahkam al-nawazil al-fiqhiah al-mua’sirah). Institusi ini juga diberi kuasa dan tanggungjawab di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Negeri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dan Sultan/Raja selaku ketua agama Islam bagi Negeri-Negeri mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam dan hukum Syarak, khususnya atas apa-apa persoalan yang belum diselesaikan atau yang menimbulkan pertikaian mengenai atau berhubungan dengan hukum Syarak. Ini adalah selaras dengan kedudukan Islam yang telah dimartabatkan sebagai agama bagi Persekutuan semasa pembentukan Malaysia. 

Keluaran EDISI MAIS pada kali ini akan menerangkan mengenai Tatacara Pembuatan Fatwa di Negeri Selangor seperti penerangan berikut;

Permohonan

Permohonan daripada agensi kerajaan, swasta atau individu untuk mendapatkan sesuatu fatwa bagi isu-isu baharu

Menjalankan Kajian

Sekiranya isu baharu, maka kajian akan dilaksanakan dan seterusnya menyediakan kertas kerja untuk dibentangkan dalam mesyuarat

Pelaksanaan Mesyuarat

Mufti akan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa untuk membincangkan isu tersebut dan membuat keputusan

Pemakluman kepada MAIS

Mufti akan membentangkan keputusan fatwa dalam Mesyuarat MAIS

Memohon Perkenan

Selepas menimbang teliti sesuatu fatwa (sekiranya diwartakan). MAIS akan membuat syor kepada D.Y.M.M. Sultan Selangor untuk mendapat perkenan pewartaan

Pemakluman kepada Kerajaan

Setelah diperkenan oleh D.Y.M.M. Sultan Selangor, MAIS hendaklah memaklumkan fatwa tersebut kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Pewartaan

Setelah dimaklumkan kepada Kerajaan Negeri, fatwa tersebut hendaklah disiarkan dalam warta

Semoga dengan penerangan mengenai Tatacara Pembuatan Fatwa di Negeri Selangor ini semua pihak akan lebih cakna dan prihatin tentang sesuatu fatwa yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Mufti Selangor khususnya dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan umumnya seterusnya mengambil langkah yang sewajarnya dengan mematuhi dan menghormati keputusan fatwa yang telah diwartakan. Moga bermanfaat dan asbab kebaikan. Edisi

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button