4/2022Fokus

Cakna Fatwa

Oleh

Ustaz Hamizul bin Abdul Hamid (hamizul@zakatselangor.com.my)
Ketua Jabatan Dakwah dan Perundingan, Divisyen Syariah dan Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Demikianlah. Atas pelbagai alasan, ramai orang merasakan mereka enggan mengikut fatwa semasa. Mereka lupa, mereka juga sebenarnya telah ‘berfatwa’ mengikut kehendak diri mereka sendiri. Akhirnya jadilah, “Tang ni, aku ikut pendapat ni. Tang tu, aku ikut pendapat tu.”

Fatwa bukanlah mainan. Ia hanya boleh dikeluarkan oleh ahli ilmu, yang menguasai nas dari al-Quran dan as-Sunnah, ijmak dan qiyas. Juga mampu memadukan kekuatan akal, serta menyesuaikannya dengan keperluan semasa.

Ingat, berdosa mengeluarkan fatwa tanpa ilmu. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa memberi fatwa tanpa berdasarkan  ilmu, maka dosanya ditanggung oleh orang yang memberi fatwa kepadanya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah) Atas dasar itu, orang awam tidak dibebankan untuk berdalil dan berfatwa dalam serba-serbi amalannya. Orang awam boleh menyandarkan amalan mereka kepada fatwa yang telah dikeluarkan. Demi memahamkan umat, isu fatwa diangkat dalam Edisi kali ini. Selamat membaca

MEMBEDAH FATWA

Masyarakat kita ada dua kategori. Golongan pertama, terlebih alim daripada mufti dan Jawatankuasa Fatwa; golongan kedua tidak kisah langsung tentang fatwa. Golongan pertama sering mempertikaikan fatwa. Golongan kedua, sering meringankan fatwa. Jadilah, golongan pertama berani menolak fatwa, misalnya menolak fatwa zakat pendapatan. Golongan kedua, mengabaikan fatwa, misalnya fatwa pengharaman rokok

Definisi Fatwa

Berkata Al-Imam al-Munawi (1031 h.), Wahbah az-Zuhaili (1436 H) dan Abdullah Abdul Muhsin al-Turki: Fatwa adalah jawapan dari seorang mufti apabila diajukan soalan kepadanya atau penjelasan bagi hukum. Oleh itu, fatwa ialah, keputusan tentang sesuatu hukum agama (yang belum pernah diputuskan lagi) berdasarkan nas al-Quran, hadis, dan sumber hukum lain, termasuk ijtihad oleh mufti (atau mereka yang berwenang tentang keputusan hukum syarak). Dalam konteks hari ini, fatwa yang perlu dipatuhi adalah fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor (JKFNS), berpandukan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Objektif Fatwa

Fatwa yang dikeluarkan oleh JKFNS adalah untuk menyelaraskan pemahaman dan pengamalan Islam di kalangan umat Islam. Ini kerana, ada banyak pendapat fiqah dalam sesuatu isu. Jika tiada satu ketetapan fatwa rasmi, maka ia boleh merosakkan perpaduan umat Islam. Misalnya dalam isu pengamalan tahlilan, talqin dan bacaan Yaasin malam Jumaat, fatwa rasmi menyatakan ia bukanlah bid’ah yang sesat. Ia dapat meredakan polemik yang kian memanas dalam masyarakat.

Konsep Fatwa

Fatwa dikeluarkan demi merungkai persoalan kepada umat Islam. Misalnya, apabila ada persoalan status pelaburan dalam mata wang kripto, maka fatwa mengenainya harus dikeluarkan dengan segera. Ini kerana, ia menyangkut paut aspek kehalalan dan juga kesan zakat ke atasnya.

FATWA DAN PEMERINTAHAN

Umat Islam hendaklah sedar bahawa biar pun banyak fatwa yang terdapat dalam sesuatu isu, namun apabila ada fatwa rasmi yang dikeluarkan oleh JKFNS, maka ia menjadi ‘tali’ yang mengikat semua pendapat itu. Baharulah kesatuan ummah akan terhasil.

PRINSIP PENGGUBALAN FATWA

  1. Ketetapannya adalah untuk memenuhi maslahat ummah terbanyak. Sebab itulah fatwa zakat pendapatan misalnya diwajibkan, kerana dengan melaksanakannya ia memberikan manfaat yang sangat besar kepada umat Islam.
  2. Ketetapan fatwa pemerintah mengangkat khilaf atau pertikaian kalangan umat. Jika tidak ada suatu ketetapan yang boleh dipegang, maka umat Islam akan terus bertegang urat mempertahankan pandangan masing-masing.
  3. Fatwa juga mesti bersifat responsif dan memenuhi keperluan. Maka, fatwa yang dikeluarkan adalah demi melepaskan umat dari belenggu kesalah-fahaman dengan segera.
  4.  Fatwa juga boleh berubah mengikut keperluan zaman dan tempat. Maka, sebab itu fatwa di negara kita mengambil kira keperluan setempat, misalnya fatwa harta sepencarian yang tidak wujud di negara lain tetapi ada di negeri kita.

PENGELUARAN FATWA

Fatwa dikeluarkan apabila adanya keperluan, sama ada atas permintaan pihak masyarakat umum, atau atas justifikasi JKFNS sendiri, ataupun atas arahan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di negeri ini. Umat Islam sebenarnya boleh mengajukan permintaan sesuatu fatwa dengan menulis surat dan dialamatkan kepada Mufti mengenai sebarang persoalan yang belum muktamad atau atas sebarang isu yang boleh menimbulkan kontroversi berkaitan dengan hukum syarak.

KESIMPULAN

Fatwa yang dikeluarkan bukanlah bersifat semberono. Ia mempunyai tujuan yang baik, iaitu mengelakkan perpecahan dalam kalangan umat Islam. Selain itu, fatwa juga bertanggungjawab memacu kehidupan umat Islam menjadi lebih baik lagi pada masa hadapan. Sebab itu fatwa wajib ditaati. Edisi

Check Also
Close
Back to top button