Artikel Khas

AYUH BERGANDING BAHU MARTABATKAN AGAMA ISLAM

Tanggungjawab dalam memartabatkan agama Islam di Selangor bukan hanya terletak pada pihak kerajaan semata-mata, sebaliknya ia adalah tanggungjawab setiap umat Islam di negara ini. Institusi Islam tidak seharusnya melihat diri mereka sebagai suatu badan eksklusif dan tidak boleh dikritik atau menerima sebarang teguran terutama dalam soal pengurusan dan pentadbiran Islam Selangor, namun seharusnya dapat bekerjasama dengan setiap individu, agamawan serta pertubuhan Islam yang lebih berpengetahuan atau berpengalaman dalam sesuatu bidang. Kehadiran Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) di Selangor ini tidak seharusnya dilihat hanya sebagai pemain sampingan semata-mata tetapi mereka sebenarnya perlu dianggap sebagai rakan kongsi dan sebahagian daripada agensi Islam negeri.

Oleh

Mohd Hafiz Bin Abdul Salam (hafizsalam@mais.gov.my)
Ketua Pusat Penyelidikan, MAIS

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pula, melihat PIBK ini sebagai suatu badan dakwah Islam yang dapat membantu MAIS dalam melaksanakan tanggungjawabnya untuk mengatur aktiviti dan program secara berkala bagi menjadikan masyarakat lebih memahami dan menghayati ajaran Islam yang suci serta memperbaiki kehidupan mereka ke arah kebaikan.

Keberkesanan mereka menyampaikan Islam melihatkan komitmen yang diberikan dalam mempertahankan nilai murni dan kepentingan Islam serta umat sejagat. Namun, mereka yang menggerakkan PIBK ini terpaksa berjuang dan berusaha dengan sumber yang terhad memandangkan ramai yang melakukan kerja ini secara sukarela tanpa sebarang imbuhan.

Sehubungan itu, sejak tahun 2006 lagi MAIS telah mengambil keputusan untuk mendaftarkan kesemua pertubuhan Islam yang aktif di negeri Selangor. Pendaftaran ini dilaksanakan bagi membantu mereka dari segi kewangan, penyelarasan aktiviti dan memantau pelaksanaan program PIBK di seluruh Selangor. PIBK yang didaftarkan berperanan seperti berikut:

Menjaga, mempertahankan dan memartabatkan agama Islam;
Mengutamakan kepentingan Islam berdasarkan Maqasid Syariah;
Membangunkan masyarakat Islam yang sejahtera di Negeri Selangor berpandukan pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah;
Menangani isu semasa akidah dan sosial secara proaktif dan bersepadu;
Membina jaringan kerjasama, saling menghormati dan membantu satu sama lain.
Mengusahakan, memperbaiki, mengukuhkan silaturahim dan ukhuwah Islamiah dengan mengelakkan perpecahan dan perbalahan.

Sehingga tahun terakhir 2022, sebanyak 97 PIBK telah mendaftar di MAIS dengan pecahan kategori seperti berikut:

Berdasarkan kategori tersebut pula, 10 kluster PIBK telah diwujudkan yang bertujuan untuk memudahkan pihak MAIS dalam merekod dan memantau setiap program serta aktiviti yang dilaksanakan oleh pihak PIBK. Senarai kluster tersebut adalah:

Kluster 1: Kluster Dakwah dan Islah
Kluster 2: Kluster Pemantapan Akidah
Kluster 3: Kluster Pemerkasaan Halalan Toyyiban
Kluster 4: Kluster Pendidikan Islam
Kluster 5: Kluster Pembangunan Muallaf
Kluster 6: Kluster Pemulihan Al-Riqab
Kluster 7: Kluster Kebajikan Fakir dan Miskin
Kluster 8: Kluster Kebajikan Anak Yatim
Kluster 9: Kluster Pembangunan Kekeluargaan Islam
Kluster 10: Kluster Amar Makruf Nahi Mungkar

Kesemua kluster tersebut akan dipantau oleh penyelaras kluster, di mana penyelaras ini juga berperanan dalam membantu proses sumbangan dana, mengawal selia aktiviti dan membuat pelaporan berkala bagi setiap PIBK yang berdaftar dalam mesyuarat yang berkaitan.

Secara kesimpulannya, sebahagian masyarakat Selangor masih lagi bergelumang dengan kemaksiatan dan keruntuhan moral yang semakin berleluasa dan sangat membimbangkan. Justeru, peranan PIBK ini dilihat dapat membantu pihak MAIS untuk mengislahkan masyarakat ke arah membina kehidupan yang lebih baik berteraskan ajaran Islam yang suci adalah sangat diharapkan. Kerjasama dalam melaksanakan tanggungjawab untuk menjaga, mempertahankan dan memartabatkan kesucian agama Islam secara bersepadu dari sebarang anasir ataupun ancaman yang boleh menggugat kedudukan Islam sama ada dalam bentuk ancaman akidah mahu pun ancaman sosial kepada umat Islam. Oleh itu, tanggungjawab MAIS dalam melahirkan masyarakat generasi Rabbani di Selangor dapat dizahirkan dengan lebih berkesan. Walluhua’lam. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button