Fiqh Kontemporari

ZAKAT (ASNAF RIQAB) MENYANTUNI GOLONGAN TERSASAR SOSIAL DAN AKIDAH

Budaya songsang semakin menular dalam kalangan masyarakat Malaysia. Majoriti masyarakat Malaysia menolak tuntutan golongan ini kerana gaya hidup songsang yang diamalkan mereka bertentangan dengan norma masyarakat dan Perlembagaan Malaysia. Permasalahan kecelaruan seksual dan jantina, yang merujuk kepada komuniti Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transgender (LGBT) bukan merupakan isu baru. Sebaliknya, Allah SWT telah menjelaskan tentang permasalahan homoseksual yang berlaku di kalangan umat Nabi Luth a.s. Perbuatan homoseksual tersebut jelas merupakan perkara yang keji sebagaimana frmanNya dalam Surah al-A’raf pada ayat 80-84.

Oleh

Hasal Bin Senin (hasal@mais.gov.my) Pembantu Eksekutif, Unit Pembangunan Kompetensi, MAIS (UIS)

Berasaskan kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor 2011, peruntukan daripada sumber zakat boleh digunakan bagi membebaskan umat Islam yang terbelenggu dengan masalah sosial dan akidah bagi memastikan mereka bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Mutakhir ini, permasalahan sosial amat membimbangkan dengan peningkatan jumlah orang yang menghidap HIV dan perlakuan seks songsang, kes wanita hamil tanpa nikah, peningkatan jumlah penagih dadah, judi dan arak, kanak-kanak terpinggir tanpa pendidikan dan perlindungan yang selamat, warga emas gelandangan, peningkatan golongan LGBT serta orang yang mendapat penyakit mental akibat dari penyalahgunaan dadah dan ajaran sesat. Lebih malang lagi, mereka ini sebahagiannya adalah umat Islam yang memerlukan bimbingan untuk mereka kembali bertaubat. Justeru, MAIS menggalas tanggungjawab membantu membimbing asnaf al-Riqab supaya mereka kembali bertaubat dan menjadi mukmin yang diredhai Allah SWT.

KESAN TIDAK MENYANTUNI GOLONGAN LGBT

a) Penyebaran Penyakit Berjangkit yang kronik
Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Majlis AIDS Malaysia dan Yayasan AIDS Malaysia menunjukkan bahawa jangkitan HIV secara majoritinya disumbangkan oleh golongan heterosexual iaitu sebanyak 42 peratus. Laporan ini juga menunjukkan bahawa golongan homosexual dan bisexual penyumbang kedua kepada jangkitan HIV iaitu sebanyak 36 peratus.

b) Pengaruh Promosi LGBT meluas di Media Sosial
Berdasarkan pemerhatian umum dengan merujuk kepada laman sesawang www.ranker.com dengan kata kunci “Top LGBT Social Networks” terdapat lebih kurang 80 laman sosial yang dikenalpasti mempromosikan agenda LGBT, profl masyarakat Malaysia berdaftar di laman-laman sosial LGBT, penglibatan masyarakat Melayu mencatatkan peratusan yang kedua tertinggi.

c) Pengaruh Kepada Generasi Masa Depan Negara
Golongan LGBT ini telah mencatatkan peningkatannya saban tahun tidak kira di Malaysia mahupun di dunia. Jumlah golongan homoseksual ini telah meningkat seramai 310,000 orang dalam tempoh lima tahun pada tahun 2018 berbanding 2013 yang mencatatkan seramai 173,000 orang. Statistik menunjukkan sepanjang tempoh 20 tahun, jumlah peningkatan golongan transgender pula adalah lebih 100 peratus iaitu seramai 30,000 orang pada tahun 2018 berbanding 10,000 orang pada tahun 1988.

PERANAN BAHAGIAN PEMULIHAN AL-RIQAB

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Pemulihan Al-Riqab berperanan untuk memberi perlindungan, pemulihan, rawatan kepada golongan LGBT hijrah yang termasuk dalam golongan asnaf Al-Riqab supaya mereka dapat kembali ke ke jalan yang benar.

i. Perlindungan
Bahagian Pemulihan Al-Riqab berperanan menyantuni komuniti LGBT dalam memberi perlindungan kepada mereka. Sebagai contoh jika pihak Bahagian Pemulihan Al-Riqab dapat mengenal pasti mana-mana komuniti LGBT yang dibuang keluarga, tiada tempat tinggal dan tiada punca pendapatan akan diberikan tempat perlindungan dibawah Rumah perlindungan NGO yang telah berdaftar di bawah MAIS. Selain itu juga, sebahagian daripada mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang serius seperti mengidap penyakit HIV/AIDS. Bukan itu sahaja, malah juga akan menyalurkan bantuan makan minum mengikut keperluan sehingga mereka mampu untuk berdikari.

ii. Pemulihan
Usaha pemulihan yang telah diberikan kepada golongan LGBT adalah menyediakan kelas bimbingan agama yang telah dianjurkan oleh rumah-rumah pemulihan Al-Riqab pada setiap minggu dan turut mengadakan program-program pemulihan dan sebagainya. Mereka akan mendapat bimbingan yang sepenuhnya daripada guru-guru yang dilantik supaya masalah yang dihadapi oleh mereka dapat dipulihkan dengan sebaiknya. Antara topik perbincangan bagi pemulihan tersebut adalah merangkumi aqidah, ibadah, tauhid, syariah dan sebagainya. Disamping itu juga, mereka akan mendapat bimbingan kaunseling secara tidak langsung.

iii. Rawatan
Sebahagaian komuniti yang mempunyai latar belakang yang kurang baik dari segi kesihatan yang menyebabkan ada segelintir mereka yang menghidap penyakit HIV/AIDS. Setelah dikenal pasti tahap keperluan mereka, bantuan rawatan tersebut segera disalurkan, walaupun kos rawatan dan ubat yang diperlukan adalah sangat tinggi. Anggaran rawatan penyakit seperti HIV/AIDS tersebut mencecah RM3,000 setahun. Selain itu juga, rawatan Spiritual Islam juga turut disediakan. Adalah menjadi tanggungjawab pihak Bahagian Pemulihan Al-Riqab untuk membantu menyediakan rawatan secara fzikal dan rohani komuniti, sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi memastikan mereka sentiasa dibantu.”

KESIMPULAN

Kesimpulannya adalah wajar kita menjauhi sikap sambil lewa dalam membanteras gejala ini, barangkali hari ini ia adalah masalah anak orang lain, namun tidak mustahil esok lusa ia akan terkait dalam kekeluargaan kita. Saya menyeru semua pihak berpadu tenaga bersama-sama bahagian Al-Riqab MAIS bagi menyantuni golongan LGBT dengan penuh berhikmah agar mereka kembali ke pangkal jalan dan berubah menjadi golongan yang akan menjalani kehidupan berlandaskan maqasid syariah yang ditetapkan oleh Islam. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button