Gen Q

JAUHI ZINA – ELAK DOSA BERULANG

Menurut statistik jumlah kelahiran anak luar nikah yang melibatkan remaja sangat membimbangkan. Ianya juga melibatkan pembuangan bayi yang tidak berdosa akibat ketelanjuran yang dilakukan. Isu ini telah menimbulkan persoalan apakah remaja Islam kini menganggap bahawa perbuatan zina sehingga mengandung berkali-kali merupakan suatu normalisasi budaya dan diterima dengan hati yang terbuka.

Oleh

Dr. Halim Bin Mokhtar (halim@kuis.edu.my)
Ketua Jabatan Dakwah dan Usuluddin
Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Universiti Islam Selangor (UIS)

Dalam sebuah Rancangan TV memaparkan pengakuan jujur dan berani gadis Melayu Islam yang sudah beberapa kali menggugurkan kandungan dan akhirnya insaf mahu melahirkan anak luar nikah. Inilah realiti yang telah berlaku apabila tidak rasa malu dan insaf melakukan dosa yang berulang yang menyebabkan berlaku kerosakan di dalam komuniti.

Kajian yang telah dijalankan faktor terjadinya perzinaan di kalangan remaja antaranya disebabkan oleh perkara berikut:

KECENDERUNGAN PENGARUH RAKAN SEBAYA

Ia adalah teman yang paling rapat di kalangan remaja. Kebergantungan kepada ibu bapa semakin kurang. Rakan lebih disayangi daripada keluarga. Segala bertingkah laku akan mewarnai kehidupannya meskipun nilai bertentangan supaya diterima oleh rakan-rakan.

KECANDUAN MEDIA SOSIAL

Segalanya di hujung jari. Mudah dan pantas tanpa sekatan dan tapisan. Tanpa sempadan kepada maksiat dengan mencetuskan dorongan yang negatif.

KELALAIAN IBU BAPA

Kesibukan dalam kerjaya, komunikasi terhad, terlalu percaya dan meletakkan tanggungjawab mendidik kepada pihak sekolah sahaja.

KEJUTAN BUDAYA

Gaya hidup yang bebas telah mempengaruhi minda untuk terjebak dengan budaya yang tidak bermoral.

KEINGINAN MENCUBA

Mengalami perasaan ingin tahu serta kehendak mencuba
perkara baru dalam hidup sehingga terjebak dengan seks bebas tanpa menghiraukan kesan di sebaliknya.

KURANG DIDIKAN AGAMA

Gagal dalam melaksanakan perintah dan larangan Allah dalam kehidupan, halal dan haram, dosa dan pahala tidak dapat dibezakan.

KEBEBASAN PERGAULAN

Tanpa pengawasan, gejala pergaulan bebas ini dianggap sebagai normalisasi budaya bagi manusia di alaf baru ini yang mendorong perzinaan.
Akibat daripada perbuatan zina telah menyebabkan beberapa
perkara :

1. Keturunan menjadi porak-peranda
2. Hilangnya sifat malu
3. Tersebar penyakit
4. Lahirnya anak zina atau anak tidak sah taraf
5. Kes pembuangan bayi”

Lantaran insiden perzinaan semakin rancak berkembang maka beberapa usaha perlu dilaksanakan bagi mengelakkan dosa berulang dan mengekang kemurkaan Allah. Antara langkah yang mesti diambil:

1. Pengukuhan Jati Diri Remaja. Memiliki keteguhan keimanan yang kental. Nilai taqwa dan integriti yang tinggi tidak mudah terpengaruh dengan perkara yang merosakkan diri.

2. Perkasa institusi Keluarga. Ketua Keluarga mesti berperanan memantau aktiviti anak-anak, berkomunikasi dan utamakan sesi bersama keluarga.

3. Pencegah Bersama Komuniti. Segala usaha pencegahan zina adalah tanggungjawab bersama atas dasar amar ma’ruf nahi mungkar. Komitmen pimpinan setempat adalah keutamaan.

4. Pemerkasaan ilmu Pengetahuan. Penekanan isu pengharaman zina, mudarat dan berkaitan dengan aurat, bersentuhan dan batas pergaulan remaja perlu ditegaskan dalam Pendidikan.

5. Program Pembangunan Remaja. Menyediakan program kem jati diri dan sesi kaunseling dalam membentuk remaja yang hebat dan emosi yang stabil .

6. Pencegahan melalui media sosial. Kerjasama para pendakwah dan NGO menyediakan siri pesanan ringkas mengenai bahaya zina melalui ruang media sosial remaja seperti Tik Tok, Instagram dan FB.

7. Kesepakatan pimpinan Umara, Ulama dan Dai. Mengutamakan maqasid syariah dalam tadbir urus. Meletakan prinsip agama di hadapan, bukan setelah tiada jalan penyelesaian.

8. Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan. Mendapatkan perkhidmatan perlindungan, pemulihan, dan Kaunseling kepada remaja yang terlibat dengan gejala sosial dan akidah di talian 03 32161286. “Jangan buntu jangan keliru, insya-Allah kami cuba bantu”.”

Kesimpulannya perbuatan zina merupakan dosa besar yang sangat memberikan kesan kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup manusia. Remaja mestilah bersedia untuk menjauhi segala anasir yang boleh mendorong kepada perzinaan. Jangan ulangi dosa. Anda bijak jauhi zina. Ingatlah amaran Allah di dalam Surah Al Isra’ ayat 32:

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”. (Surah Al-Isra’ : 32). Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button