Gen Q

WABAK ALAF BAHARU: MENANGANI GEJALA FITNAH DI KALANGAN REMAJA

Dalam meniti arus pemodenan era digital, golongan remaja kini dikategorikan sebagai generasi yang paling rapuh mendepani ledakan teknologi maklumat. Namun, di sebalik kemudahan komunikasi tanpa sempadan, terselit satu ancaman senyap yang kian parah merobek institusi sosial dan nilai murni masyarakat iaitu, gejala fitnah. Jika dahulu, fitnah lisan hanya tersebar dari mulut ke mulut dengan impak yang terhad, namun evolusi teknologi kini menyaksikan fitnah beralih ke alam maya dengan impak kerosakan yang lebih berskala besar.

Oleh

Mohd Hafiz bin Abdul Salam (hafizsalam@mais.gov.my)
Ketua Pusat Penyelidikan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) 

Lebih membimbangkan, kemunculan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) seperti deepfake dan klon suara telah disalahgunakan sebagai senjata baharu untuk mencipta pembohongan yang kelihatan benar. AI ibarat pisau bermata dua. Teknologi ini boleh digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencipta fitnah berskala besar, tetapi dalam masa yang sama ia juga boleh dimanfaatkan untuk mengesan dan membendung fitnah.

Dari sudut hukum syarak, Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) telah membuat penjelasan mengenai hukum syarak (Taudhih al-Hukmi) melalui artikel yang menjelaskan hukum penyuntingan gambar menggunakan teknologi AI dibahagikan kepada dua aspek:

Harus (Dibenarkan): Selagi mana ia digunakan untuk perkara yang baik dan bermanfaat menurut syarak. Contohnya, mereka bentuk poster, mencantikkan gambar sedia ada, menjelaskan imej yang kabur, atau dijadikan medium penyebaran dakwah (boleh mendapat pahala).

Haram: Sekiranya Proses suntingan AI tersebut digunakan untuk menghasilkan gambar yang berunsurkan penipuan, imej maksiat, aib seseorang, serta eksploitasi hak cipta milik orang lain tanpa izin.

Manakala, berdasarkan Undang-undang di Malaysia melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sentiasa memantau dan menyiasat fitnah melalui media sosial atas kesalahan menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara tidak wajar untuk membuat, mewujudkan, dan mementaskan hantaran (teks, gambar, video, audio) yang palsu, jelik, mengancam, atau memualkan dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut, atau mengganggu orang lain. Jika sabit kesalahan, pelaku boleh didenda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Justeru, Islam dengan jelas dan tegas melarang sebarang bentuk penyebaran berita palsu atau fitnah melalui tuntutan amalan Tabayyun, malah institusi agama seperti JMNS turut menggariskan hukum haram terhadap manipulasi digital yang menjatuhkan maruah sesama manusia. Allah SWT menjelaskan perkara ini dalam al-Quran (Surah al-Hujurat, 6) yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Oleh itu, sebagai kaedah yang terbaik bagi umat Islam terutamanya remaja agar terhindar daripada gejala fitnah, antaranya:

01 Sentiasa mantapkan diri dengan ilmu.
02 Banyakkan bersabar serta menjaga pertuturan.
03 Kuasai penggunaan media sosial (pastikan berita sahih sebelum dikongsi dan ikuti akaun yang memberi manfaat sahaja).
04 Pilih rakan sebaya yang baik (saling tegur dan memberi nasihat yang baik).
05 Menjauhi aktiviti yang tidak sihat

Secara kesimpulannya, dalam menerima atau menyampaikan sesuatu berita itu, perlulah dipastikan kebenaran dan keabsahan sesuatu berita serta sumbernya. Janganlah kita menjadi penyumbang kepada peningkatan angka penyebaran fitnah atau berita palsu dalam kalangan masyarakat. Berusaha untuk mengelakkan diri dari terjerumus ke dalam lembah fitnah yang dikategorikan sebagai wabak alaf baharu. Wallahua’lam. Edisi

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button