Isu

MERAWAT LUKA SEMALAM: INI TEKAD MAIS

Kemelut dan tragedi sosial ini menyaksikan MAIS dan agensinya, seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan NGO yang didokong MAIS, tidak berpeluk tubuh tanpa melakukan apa-apa. Demi merawat luka itu, berikut adalah antara inisiatif dan komitmen MAIS, LZS dan beberapa NGO dalam mendepaninya.

Oleh

Ustaz Hamizul bin Abdul Hamid (hamizul@zakatselangor.com.my)
Ketua Jabatan Dakwah dan Perundingan, Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

1. Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman

Pusat ini menyediakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling kepada individu serta kumpulan Islam yang terseleweng dan memerlukan pemulihan akidah. Kemasukan ke sini adalah dengan arahan pihak mahkamah atau secara sukarela, namun harus ada dokumen tertentu seperti akuan bersumpah dan laporan polis.

Di sini, terapi yang dijalankan antaranya ialah melalui penghayatan ibadah fardu dan sunat, pemerkasaan ilmu fardu ain, pengajian fqah, sirah, tafsir al-Quran dan sesi kaunseling khususnya menerusi modul Istitabah (taubat) yang disediakan oleh MAIS.

Pusat ini berlokasi di Lot 8789, Jalan Sungai Tua, Hulu Yam Bharu, 44300, Selangor.

2. Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan MAIS

Pusat ini berlokasi di Jalan Raja Chulan, Pekan Sabak Bernam, 45200 Sabak, Selangor

Pusat ini menguruskan perkhidmatan perlindungan, pemulihan dan kaunseling kepada wanita dan gadis yang terlibat dengan gejala aosial dan akidah, termasuklah isu hamil di luar nikah. Kemasukan ke pusat ini adalah dengan arahan pihak mahkamah atau boleh juga secara sukarela, iaitu menerusi penghantaran dokumen meliputi akuan sumpah dan laporan polis.

Bentuk terapi di sini adalah melalui kelas fardu ain (subjek adab, akidah, fqh wanita, ibadah, tahsin solat dan tajwid), kelas kemahiran (jahitan / kraftangan / masakan), kelas pengajian al-Quran / kuliah Maghrib, usrah, kawad kaki / Smart Agro, sesi kaunseling (Individu/ Kelompok), Tuisyen PT3 / SPM, ceramah agensi dan kursus / kem / seminar jati diri.

3. Pusat Pemulihan Dadah / HIV Baitul Islah MAIS AADK

Pusat ini bermukim di Lot Pt 20304 Jalan Air Terjun, 48200 Serendah, Selangor.

Pusat ini menyasarkan untuk mengurus dan menyelia hal ehwal pemulihan pesakit HIV / AIDS dan ia dikendalikan dengan kerjasama pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Mereka yang dimasukkan ke sini kebanyakannya adalah penagih dadah tegar dan juga penghidap HIV.

Cara kemasukan ke sini adalah, sama ada dengan rujukan dari pihak lain ataupun secara sukarela, dengan syarat mereka bersedia untuk bertaubat serta menjaga agamanya. Antara terapi yang dijalankan adalah rawatan klinikal, istitabah, kelas bimbingan dan kelas bimbingan daripada pihak AADK.

4. NGO Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia (Astana Budi)

NGO ini menyediakan dirinya sebagai pusat perlindungan, rawatan dan penjagaan bagi pesakit-pesakit HIV lelaki yang beragama Islam. Kemasukan ke rumah ini adalah dari pemindahan mereka yang sebelumnya mendiami pusat jagaan milik non muslim, termasuk pihak gereja. Antara bentuk terapi di sini ialah dengan mengadakan kursus motivasi, kursus keagamaan dan akhlak, penghayatan ilmu agama dan juga rawatan kaedah Islam.

Pusat ini beralamat di 40160 Sungai Buloh, Selangor.

5. Rumah Darul Ukhwah Yayasan Al-Ijabah

Rumah ini juga bermatlamat untuk memberikan perlindungan, penjagaan dan pemuliharaan kepada pesakit-pesakit HIV muslim yang sebelum ini terlibat dengan dadah dan mengidap HIV/AIDS. Kemasukan mereka ke rumah ini kebanyakannya adalah dari perpindahan pusat perlindungan milik non muslim. Di sini, antara terapi yang dijalankan adalah aktiviti kerohanian, pengajian agama, bacaan al-Quran, zikir dan juga sesi bersama masyarakat.

Rumah ini beralamat di Lot 20, Batu 13, Jalan Tempinis, Kampung Tengah, 47100 Puchong, Selangor.

Kesimpulan

Ini adalah sebahagian daripada inisiatif MAIS demi memastikan luka semalam dijahit kembali, agar mereka dapat kembali ke landasan yang diredai Tuhan. Di sini dana zakat sangat membantu, khususnya di bawah nama Al  Riqab. Terima kasih pembayar zakat, andalah sesungguhnya hero asnaf!

Nota: Info lanjut mengenai intitusi-institusi di atas boleh diperolehi dengan menghubungi Pusat Pemulihan Al-Riqab, MAIS di talian 03-55143400 atau layari www.mais.gov.my. Edisi

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button