Fiqh Kontemporari

HUKUM MERAYAKAN PERAYAAN LAIN

Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa dan agama, sebagai negara yang mempunyai rakyat yang berbilang bangsa faktor keharmonian perlu dijaga dan dipupuk setiap masa. Secara umum, konflik boleh berlaku bila bila masa, namun kita perlu menyedari kewujudan pemangkin, pendorong atau faktor tertentu yang mungkin boleh membawa kepada tercetusnya sesuatu konflik. Antara faktor konflik yang sudah diteliti oleh sarjana adalah faktor ideologi, agama dan budaya.

Oleh

Mohd Hafiz Bin Abdul Salam (hafizsalam@mais.gov.my)
Ketua Pusat Penyelidikan, MAIS

Kepelbagaian agama yang wujud dikenal pasti sebagai salah satu faktor yang boleh mencetuskan konflik, antaranya ialah perbezaan pegangan ajaran agama, sikap penganut agama yang bertindak di luar batasan yang digariskan agama dan undang undang negara serta salah faham antara agama atau dalam kalangan agama yang sama.

Dalam konteks ini, punca konflik antara agama, dapat dilihat bahawa ia kerap berlaku dalam kalangan orang yang tidak memahami agama dengan baik. Adalah sangat penting bagi kita sebagai masyarakat mengetahui dan memahami secara jelas jenis-jenis ritual agama dan budaya lain selain Islam. Dengan memahami faktor berlakunya konflik, ia dapat menjadikan kita masyarakat yang saling hormat menghormati dan saling bertoleransi di antara masyarakat.

Dalam Surah Al Kafirun, Ayat 1-6, Allah SWT memberikan panduan yang jelas bahawa semua masyarakat hendaklah saling menghormati di antara satu sama lain dan tidak boleh memaksa orang lain untuk menyertai acara agamanya, walaupun dengan seruan untuk perpaduan, toleransi dan sebagainya. Langkah terbaik adalah untuk memahami batas agama masing-masing dan tidak memaksa orang lain untuk melakukan sebarang aktiviti yang bertentangan syariat.

Meraikan sambutan agama lain bukanlah dari budaya Islam, namun ia tidak salah selagi mana tidak melanggar batas-batas yang ditetapkan syarak. Sambutan tersebut sudah pasti bukan menyamai atau menyaingi perayaan yang disyariatkan Islam kerana yang disyariatkan hanyalah Aidilfitri dan Aidiladha sahaja. Tetapi apabila ada keperluan dan faedah yang lebih besar untuk umat Islam, mengambil apa yang baik daripada amalan orang bukan Islam boleh dibenarkan apabila ia menepati syarak dan tidak mengandungi syiar atau mengandungi ritual agama orang kafir atau amalan khusus mereka.

Sebagai contoh, sambutan Tahun Baru Cina yang dilaksanakan setiap tahun adalah suatu perayaan budaya dan bukan festival berasaskan ritual keagamaan. Oleh itu, bolehkah umat Islam merayakan Tahun Baru Cina tersebut? Jawapan ringkasnya adalah: “Ya”. Islam bukanlah suatu kepercayaan yang terbatas pada satu entiti budaya sahaja, ia sesuai untuk seluruh umat manusia menjangkaui masa, tempat dan etnik.

Satu lagi contoh lain iaitu Hari Kekasih (Valentine’s Day) adalah upacara keagamaan bukan Islam iaitu mengenang kembali peristiwa kematian St. Valentine. Sambutan Hari Valentine biasanya diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang kemudian menjurus kepada penzinaan. Ini jelas melanggar syariat Islam, merujuk kepada Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Bil.1/2006 pada 21 Februari 2006:

Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine’s Day: Merayakan Perayaan Ini Tidak Pernah Dianjurkan Oleh Islam. Perayaan Tersebut Mempunyai Unsur-Unsur Kristian Dan Amalan Yang Bercampur Dengan Perbuatan Maksiat Adalah Bercanggah Dan Dilarang Oleh Islam.

Orang Islam yang bertindak dengan cara menghina, mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan mufti yang dinyatakan atau dibenarkan melalui sesuatu fatwa boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12, Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) tahun 1995.

Secara keseluruhan, matlamat Islam bukanlah untuk menghapuskan amalan budaya, sebaliknya ia bertujuan untuk mengenal pasti dan menolak amalan yang tidak dibenarkan atau tidak mematuhi ajaran Islam, seperti amalan ritual yang berkaitan dengan agama lain. Umat Islam mesti memahami dengan jelas amalan tertentu, sama ada ia merupakan upacara keagamaan atau sebahagian daripada budaya bangsa tertentu.

Bagi mereka yang beragama Islam, adalah dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam mana-mana aktiviti yang berkaitan dengan adat budaya kumpulan etnik atau kaum tertentu, asalkan ia tidak bercanggah dengan undang-undang Islam. Walau bagaimanapun, adalah dilarang bagi umat Islam untuk terlibat dalam apa-apa perkara atau aktiviti yang berkaitan dengan upacara keagamaan. Walluhua’lam. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button