4/2022Fiqh Kontemporari

Urus Niaga bersama Syarikat Non-Mulsim Yang Menyalurkan Keuntungan Bagi Perkembangan Agama Selain Islam

Oleh

Mohamad Shukry Bin Sulaiman (shukry@muftiselangor.gov.my)
Ketua Penolong Mufti, Jabatan Mufti Negeri Selangor

Menjadi lumrah dalam kehidupan seharian, manusia berurusan di antara satu sama lain bagi memenuhi keperluan masing- masing. Demi memenuhi keperluan, manusia melakukan aktiviti jual beli, hutang dan lain-lain. Ke semua aktiviti ini dirangkum dan dinamakan sebagai muamalah. Islam sebagai agama yang lengkap dan sesuai kepada semua bangsa dan lapisan masyarakat telah meletakkan asas di dalam perkara yang  berkaitan muamalah ini. Hal ini beUtepatan denJan maIhum firman Allah:

Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba  (Surah al-Baqarah: 275)

Hukum di dalam isu yang berkaitan dengan muamalah ini sebahagiannya bersifat fleksibel kerana sifatnya yang dinamik dan berkembang dari masa ke masa. Namun meskipun bersifat fleksibel, hukum-hakam berkaitan muamalah tidak boleh dikesampingkan sembarangan agar tidak menimbulkan kerugian atau kemudharatan pada masyarakat. 

Secara umumnya, Islam tidak melarang untuk kita melakukan urusan jual beli bersama dengan orang bukan Islam selagimana ianya tidak menimbulkan fitnah. Hal ini bertepatan dengan firman Allah di dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 yang menyatakan, Allah tidak melarang untuk kita berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang bukan Islam yang tidak memerangi orang Islam.

Selain itu, terdapat juga kisah di dalam hadis yang menceritakan bahawa nabi pernah menggadaikan baju perangnya kepada yahudi untuk membeli gandum. Keharusan ini tidak tertakluk kepada transaksi jual beli sahaja bahkan termasuk juga dalam perkhidmatan seperti bekerja untuk majikan yang bukan Islam. Ibn Qudamah merekodkan bahawa Ali r.a. pernah bekerja dengan orang Yahudi untuk mengairi kebun tamarnya dengan upah buah tamar. Kemudian Ali r.a. menemui Rasulullah SAW dan memberikan tamar tersebut kepada baginda lalu baginda memakannya. Berdasarkan dalil ini, hukum bermuamalat bersama orang bukan Islam adalah diharuskan.

Walau bagaimanapun, Islam melarang umatnya saling membantu di dalam perkara batil. Mafhumnya firman Allah SWT:

Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. (Surah al-Maidah: 2)

Di dalam urusan yang berkaitan dengan agama lain, majoriti fuqaha’ berpandangan bahawa haram bagi orang  Islam untuk terlibat dalam urusan yang asalnya harus tetapi kesannya membawa kepada perkara haram seperti melakukan urus niaga dengan syarikat yang menyalurkan keuntungannya untuk perkembangan agama selain Islam, berwakaf untuk pembinaan gereja dan menjual anggur kepada penjual arak.

Di samping itu, agama juga melarang umatnya melakukan perkara yang boleh membawa kepada kejahatan dan kemaksiatan.

Dan janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi sesudah (Allah) memperbaikinya  (Surah al-A’raf: 56).

Anjuran untuk menghilangkan kemudaratan ini juga dikuatkan dengan hadis Nabi SAW, mafhumnya: 

Tidak boleh ada mudarat dan tidak boleh memudaratkan  (Riwayat Ibn Majah, no 2341)

Oleh itu, seorang Muslim tidak boleh melakukan sesuatu perbuatan yang boleh membawa kepada kemudaratan dan kemaksiatan meskipun ia bersifat harus pada asalnya. Ini kerana, kemudaratan itu lebih utama untuk dihilangkan seperti kaedah fiqh yang menyatakan “kemudaratan hendaklah dihilangkan”. 

Kesimpulannya, hukum bermuamalat dengan syarikat bukan Islam pada asalnya adalah diharuskan dengan syarat bukan dalam perkara maksiat atau perkara yang menjurus kepadanya termasuklah perkara yang boleh mengganggu ketenteraman dan sensitiviti umat Islam. Sekiranya sebuah syarikat itu menyalurkan keuntungannya untuk aktiviti perkembangan agama selain Islam, ia mampu menimbulkan kebimbangan dan keresahan dalam kalangan umat Islam serta menggugat akidah umat Islam di Malaysia. Oleh itu, umat Islam dilarang melibatkan diri dalam aktiviti urus niaga atau mempromosikan syarikat yang menyalurkan keuntungannya untuk perkembangan agama selain Islam. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button