PROGRAM KARNIVAL ORANG ASLI DAN KEMPEN BULAN MUALLAF NEGERI SELANGOR 2024

PROGRAM KARNIVAL ORANG ASLI DAN KEMPEN BULAN MUALLAF NEGERI SELANGOR 2024

460648393 905537178158149 2473260797081232252 n
SHAH ALAM, 21 September – Sempena Bulan Rabiul Awwal 1446H bersamaan 4 September sehingga 5 Oktober 2024 Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menganjurkan program Karnival Orang Asli dan Pelancaran Kempen Bulan Muallaf Negeri Selangor Tahun 2024 yang disempurnakan perasmiannya oleh YAD Dato’ Haji Emran Haji Kadir, Timbalan Pengerusi MAIS. Kempen tersebut bermula dengan memberi pendedahan kepada masyarakat di Negeri Selangor agar sama-sama dapat menyantuni Muallaf dengan memastikan pengurusan pengislaman yang dilaksanakan dengan sempurna.
 
Kempen Bulan Muallaf anjuran MAIS ini bertujuan bagi berkongsi pelbagai isu berkaitan hal ehwal Islam termasuk pendaftaran pengislaman, pendaftaran pernikahan dan dokumen pengenalan diri di samping memberi kefahaman tentang agama Islam.
 
Melalui kempen ini, MAIS mensasarkan seramai seribu orang peserta yang melibatkan Gugusan Kampung Orang Asli yang terdiri daripada enam buah Kampung Orang Asli (KOA) iaitu KOA Busut Baru, KOA Bukit Cheeding, KOA Pulau Kempas, KOA Taman Desa Kemandol, KOA Bukit Perah dan KOA Bukit Kechil.
 
MAIS telah mendaftarkan seramai 2,879 muallaf sepanjang tahun lalu sehingga bulan Ogos 2024. Daripada jumlah 2,879 muallaf, seramai 1,761 muallaf didaftar pada tahun 2023 dan seramai 1,118 muallaf didaftar dari bulan Januari sehingga Ogos tahun 2024.
 
Sehingga kini, sebanyak 41 Pusat Pengurusan Pengislaman (PPP) disediakan oleh MAIS berbanding 39 pusat sebelum ini bagi memudahkan proses pendaftaran pengislaman terutama di Selangor.
 
PPP bertanggungjawab membantu dan memberi konsultasi kepada mana-mana individu yang berhasrat untuk membuat pendaftaran pengislaman dengan suci hati dan kerelaan sendiri tanpa paksaan daripada mana-mana individu atau pun pihak lain.
 
Selain menguruskan proses pengislaman, PPP juga memainkan peranan membantu MAIS dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam proses penjagaan, perlindungan serta pengajaran kepada mereka.
 
PPP MAIS merangkumi Bahagian Pendaftaran Muallaf dan Pembangunan PIBK, Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di setiap daerah Selangor, Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) dan masjid-masjid yang mendapat kebenaran dari MAIS. Antara PPP MAIS adalah PERKIM Cawangan Ampang, Hidayah Centre Foundation (HCF) Selangor, Masjid Al-Falah USJ 9 Subang Jaya dan Masjid Al-Azim Pandan Indah.
 
Selain itu, masyarakat amat digalakkan menjadi pemudahcara dengan membantu mereka ke PPP yang berhampiran beserta dokumen berkaitan agar urusan pendaftaran pengislaman dapat dipermudahkan.
 
Adalah diharap melalui kempen yang dijalankan ini juga secara tidak langsung muallaf mendapat pendedahan agama Islam termasuk maklumat pendaftaran pengislaman secara menyeluruh, tepat dan boleh dijadikan panduan kepada kehidupan mereka.
 
 

Add Your Heading Text Here

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor