PENGERUSI MAIS SARAN TERUS SEMARAKKAN SEMANGAT PATRIOTIK

PENGERUSI MAIS SARAN TERUS SEMARAKKAN SEMANGAT PATRIOTIK

454648454 878214494223751 3081756419975719875 n
SHAH ALAM, 11 Ogos-YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyarankan agar seluruh masyarakat terus menyemarakkan semangat patriotik terutamanya dalam bulan kemerdekaan ini.
 
Katanya, semua masyarakat perlu menghayati erti kemerdekaan sebaiknya dan menzahirkan rasa syukur menikmati kemakmuran negara yang dikecapi hari ini.
 
“Kemerdekaan adalah satu kejayaan yang telah dicapai oleh negara kita sepanjang 67 tahun. Kegemilangan dan semangat ini hendaklah disemarakkan agar semangat cintakan negara dan mengingati kejayaan pejuang kemerdekaan sentiasa disemarakkan.
 
Semangat cintakan agama, bangsa dan negara hendaklah sentiasa terpahat di dada kita semua.
“Hayati semangat kemerdekaan dengan mempergiatkan pelbagai aktiviti dan program kemerdekaan dan bersama mengibarkan Jalur Gemilang. Pastikan semangat kemerdekaan tidak luntur dan sentiasa digilap,” ujar beliau lagi.
 
Sehubungan itu, bagi memupuk semangat patriotik menjelang sambutan Hari Kebangsaan ini, Pengerusi MAIS menyempurnakan sesi pelepasan peserta Larian Merdeka MAIS dan program edaran sebanyak 2,000 mini bendera Jalur Gemilang kepada peserta Larian MAIS di kalangan pegawai Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor (JHEIS), agensi dan anak syarikat MAIS serta orang awam.
 
Program Larian Merdeka MAIS mendapat kerjasama dari Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sempena program Hari Shah Alam Tanpa Kenderaan bertujuan untuk meraikan bulan kemerdekaan dengan aktiviti riadah sihat di samping mengeratkan hubungan silaturrahim antara MAIS, Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor, agensi dan anak syarikat MAIS.
 
Program Larian Merdeka MAIS juga merupakan salah satu program sempena Kempen Bulan Pembebasan Riqab MAIS 2024. Antara aktiviti menarik disediakan kepada para pengunjung selain aktiviti larian iaitu Tazkirah Bulan Pembebasan Asnaf Riqab, Acara Kuiz Cabutan Bertuah, Pertandingan Pakaian Beragam (Keluarga) dan Pertandingan Basikal Berhias.
 
MAIS juga membuka kaunter penerangan sepanjang aktiviti berlangsung antaranya ialah Kaunter Penerangan Pemulihan Riqab, Baitulmal dan Guaman Syarie MAIS. Turut terlibat ialah kaunter penerangan Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor, agensi dan anak syarikat MAIS.
 
Aktiviti lain termasuk saringan Kesihatan percuma oleh Avisena dan Klinik As Salam, Senamrobik, jualan produk AEON Big, Bazar Belia Shah Alam oleh Jabatan Belia & Sukan Selangor dan perkhidmatan Zakat On Wheels.
 
Turut hadir ialah YAD Dato’ Emran Haji Kadir, Timbalan Pengerusi MAIS; Dr. Haji Ahmad Shahir Makhtar, Setiausaha MAIS; Tuan Zainor Rashid Hassin, Ketua Pendakwa Syarie, JPSS; Encik Hasnul Redza Abdul Rahim, Pengurus Besar, TERAS dan Encik Mohd Nuri Abdul Aziz, Pengurus Besar, BSHSB.
 
Program larian buat julung kali diadakan ini diharap dapat menyemarakkan semangat patriotik di kalangan masyarakat terutama kepada warga kerja MAIS, JHEIS, agensi dan anak syarikat MAIS dalam memahami erti kemerdekaan negara.
 
Edaran Jalur Gemilang ini juga dibuat supaya warga kerja MAIS, JHEIS, agensi dan anak syarikat MAIS dapat bersama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan dalam mengenang perjuangan pemimpin terdahulu sehingga mencapai kemerdekaan.
 

Add Your Heading Text Here

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor